PERNAHKAH anda membayangkan semut, makhluk kecil yang sering kita anggap remeh juga bertasbih kepada ALLAH?
Terdapat sebuah kisah Nabi yang digigit semut mengajarkan umat Islam tentang kebijaksanaan, keadilan dan pentingnya menjaga keseimbangan dalam setiap perilaku dan tindakan kita terhadap semua perkara.
Amatlah penting cara kita memperlakukan makhluk hidup serta bagaimana tindakan yang berlebihan dapat mendatangkan akibat yang mungkin kita sendiri tidak sangka.
BACA LAGI: [VIDEO] Ramai masih keliru hukum sebenar pegang al-Quran tanpa wuduk walaupun berlapik
Dalam syariat Islam, membakar hidup-hidup makhluk hidup dengan api adalah dilarang.
Berdasarkan sebuah penulisan buku bertajuk 'Nabi yang membunuh semut' oleh Dr Abu Hafizhah Irfan berkata, terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW menceritakan kisah seorang Nabi yang digigit seekor semut.
Menurutnya, kisah itu menceritakan nabi tersebut kemudian memerintahkan agar sarang semut tersebut dibakar.
Namun, ALLAH menegur tindakan tersebut melalui wahyu yang mengingatkan bahawa hanya kerana digigit semut, tidak seharusnya kesemua kelompok makhluk yang bertasbih kepada-Nya dihukum.
Beliau berkata, hadis itu mengingatkan kita bahawa jumlah Nabi dan Rasul sangat banyak lebih dari yang kita ketahui.
Rasulullah SAW menyebutkan bahawa ada lebih 300 Nabi yang diutus ALLAH walaupun jumlah tepatnya hanya diketahui oleh ALLAH.
Dalam pada itu, beliau menerangkan larangan menghukum binatang dengan menggunakan api.
Jelasnya, dalam syariat Nabi pada awalnya memperbolehkan hukuman dengan membakar.
Namun, dalam syariat Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW, membakar hidup-hidup makhluk hidup dengan api dilarang kecuali dalam situasi tertentu seperti hukuman bagi pembakar manusia.
Tambahnya, Rasulullah SAW juga menegaskan bahawa api adalah milik ALLAH yang tidak seharusnya digunakan oleh umat manusia sebagai alat seksaan.
Beliau berkata, adalah diperbolehkan membunuh binatang yang membahayakan.
Menurutnya, secara umum Islam melarang pembunuhan terhadap semut, lebah, burung hud-hud dan burung shurad.
Namun, apabila binatang tersebut membahayakan manusia seperti dalam situasi semut yang menggigit Nabi, maka diperbolehkan untuk membunuhnya.
Katanya, hadis itu mengajarkan bahawa Islam menentang kekerasan berlebih dan mendorong tindakan yang berpatutan dalam bertindak balas terhadap bahaya.
Dr Abu Hafizhah menjelaskan salah satu pelajaran penting dalam hadis itu adalah pengingatan bahawa semua makhluk termasuk semut, bertasbih dan menyucikan ALLAH.
Ulas beliau, meskipun kita tidak dapat mendengar atau memahami tasbih mereka, ALLAH mengingatkan kita bahawa segala yang ada di langit dan bumi adalah milik-Nya dan semuanya bertasbih kepada-Nya.
Makhluk-makhluk itu tidak patut disakiti tanpa alasan yang jelas kerana mereka juga merupakan sebahagian dari ciptaan ALLAH.
Tegasnya, hadis tersebut memberikan pelbagai pelajaran tentang hikmah, keadilan dan pengingatan agar tidak melampaui batas dalam memberi hukuman.
Katanya, sebagai umat Islam, kita diajar untuk bertindak secara bijaksana, mempertimbang kesan dari setiap tindakan dan selalu mengingatkan bahawa segala sesuatu di dunia, sama ada besar atau kecil, bertasbih dan menyucikan ALLAH. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram