IMAM Hamzah, seorang tokoh agama yang dihormati dan juga guru kung fu terkenal di Masjid Asia Kaifeng, China memberi peluang kepada pengunjung untuk menyelami dengan lebih mendalam tradisi yang berusia lebih 600 tahun.
Beliau yang dikenali sebagai ahli seni bela diri adalah generasi keenam daripada aliran kung fu Cha Quan dan merupakan pemegang warisan budaya yang kaya dengan seni itu.
Menerusi video berdurasi 4 minit yang dimuat naik di laman X (Twitter) itu memaparkan Imam Hamzah membawa pengunjung melihat beberapa koleksi peribadinya termasuk senjata tradisional yang digunakan dalam seni bela diri di kediaman miliknya.
BACA LAGI: [VIDEO] Ramai masih keliru hukum sebenar pegang al-Quran tanpa wuduk walaupun berlapik
BACA LAGI: Guna ubat kandungi sumber haram boleh jika darurat, tapi cukup ikut kadar diperlukan
"Ini adalah tempat Imam dan juga tempat saya mengamalkan seni kung fu," katanya sambil menunjukkan bilik yang penuh dengan senjata dan alat latihan.
Imam Hamzah turut berkongsi minatnya dalam kaligrafi dengan menunjukkan beberapa karya tulisan hasil tangan miliknya yang menjadi tumpuan ramai.
"Saya juga menulis kaligrafi, ini adalah satu cara saya menyampaikan budaya dan kepercayaan saya," jelasnya.
Selain itu, pengunjung berpeluang melihat pingat yang diberikan oleh kerajaan Qing, sebuah anugerah yang berkaitan dengan penciptaan Huang Pai Cha Quan, salah satu bentuk seni bela diri yang terkenal di China.
Difahamkan pingat tersebut sangat jarang dapat dilihat di luar filem kung fu dan ia melambangkan penghormatan dan warisan seni bela diri Cina.
"Ini adalah simbol budaya tradisional Cina yang sangat berharga bagi saya.
"Ia menggabungkan seni, agama dan sejarah," kata Imam Hamzah.
Sebagai seorang yang mendalami kedua-dua dunia seni bela diri dan Islam, beliau turut menunjukkan koleksi tulisan surah Al-Fatihah dalam versi Cina yang mencerminkan penghormatan terhadap tradisi Islam di China.
Melalui usaha itu, Imam Hamzah bukan sahaja mempertahankan seni bela diri tradisional tetapi juga menunjukkan bagaimana Islam dan budaya Cina boleh hidup berdampingan, masing-masing memberi sumbangan dalam kehidupan sosial dan semangat masyarakat setempat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram