PERNAHKAH anda mendengar kisah seorang pemuda bernama Uzair, salah seorang tokoh penting dalam sejarah Bani Israel yang disebut dalam al-Quran?
Walaupun hanya disebut sekali dalam surah al-Taubah ayat ke-30, kisah hidupnya yang penuh dengan keajaiban dan pengaruh besar terhadap masyarakatnya menjadikannya dihormati.
Berdasarkan petikan dari penulisan dalam Kalam Sindo News oleh Rusman H Siregar berkata, kisah mengenai Uzair yang tertidur selama 100 tahun adalah salah satu peristiwa luar biasa yang diceritakan dalam al-Quran.
BACA LAGI: [VIDEO] Ramai masih keliru hukum sebenar pegang al-Quran tanpa wuduk walaupun berlapik
Dikatakan Uzair terkenal dengan penghafalan dan penulisan kitab Taurat serta peranannya dalam memulihkan agama Yahudi.
Menurutnya memetik surah al-Baqarah, ayat 259, ALLAH menceritakan tentang seorang hamba-Nya yang melalui sebuah negeri yang sudah hancur dan bertanya bagaimana ALLAH akan menghidupkan kembali negeri itu.
Tulis Rusman H Siregar, sebagai jawapan kepada pertanyaan itu, ALLAH menidurkan hamba itu selama 100 tahun kemudian membangkitkannya semula.
Apabila ditanya berapa lama dia tidur, hamba itu menjawab sehari atau separuh hari, walhal sebenarnya sudah 100 tahun berlalu.
Menurut ulasan dari penulisan itu menjelaskan hamba yang dimaksudkan dalam ayat tersebut adalah Uzair, seorang tokoh besar dalam kalangan Bani Israel.
Jelasnya, meskipun al-Quran tidak menyebutnya sebagai nabi, para ulama berpendapat bahawa Uzair adalah salah seorang nabi yang diutus kepada Bani Israel.
Uzair terkenal dengan penghafalan dan penulisan kitab Taurat serta peranannya dalam memulihkan agama Yahudi selepas kehancuran besar yang berlaku pada zaman pemerintahan Raja Bukhtunassar.
Ulasnya, selepas Uzair dibangkitkan, dia kembali kepada kaumnya namun mereka tidak mengenalinya kerana perbezaan zaman.
Difahamkan, seorang wanita tua berusia 120 tahun akhirnya mengenali Uzair dan setelah meyakinkannya, wanita itu menyebarkan berita tentang kembalinya Uzair.
Tambah penulisan itu, Uzair juga bertemu dengan anaknya yang pada ketika itu sudah pun berumur 118 tahun sedangkan ketika Uzair tertidur, anaknya baru berusia 18 tahun.
Menurut Rusman H Siregar, kisah Uzair tidak terhenti di situ apabila kaum Yahudi yang mengenali Uzair sebagai penghafal kitab Taurat menganggapnya sangat mulia dan ada yang menggelarnya 'anak ALLAH'.
Anggapan itu timbul apabila mereka menyaksikan dua bintang jatuh dari langit dan menghentak dada Uzair yang menurut mereka adalah tanda kekuasaan Tuhan, jelas penulisan itu.
Tambahnya, selain perkara itu, kemampuan Uzair untuk menyalin kembali kitab Taurat yang sudah musnah tanpa bantuan selain ingatannya dianggap sebagai mukjizat menjadikannya lebih dihormati.
Bagaimanapun, menurut Rusman H Sirega, ALLAH menegur kepercayaan melampau itu dalam al-Quran menerusi petikan surah at-Taubah, ayat 30:
وقالتِ الۡيهُوۡدُ عُزيۡرُ ۨابۡنُ اللٰهِ وقالتِ النصٰرى الۡمسِيۡحُ ابۡنُ اللٰهِؕ ذٰ لِك قوۡلُهُمۡ بِا فۡواهِهِمۡ ۚ يُضاهِئُون قوۡل الذِيۡن كفرُوۡا مِنۡ قبۡلُ ؕ قاتلهُمُ اللٰهُ ۚ انٰى يُؤۡفكُوۡن
“Dan orang-orang Yahudi berkata, 'Uzair adalah anak ALLAH’ dan orang Nasrani berkata, "Al-Masih anak ALLAH." Mereka mengucapkan kata-kata yang sama seperti orang-orang kafir yang terdahulu. ALLAH melaknat mereka kerana berpaling dari kebenaran".
Rusman H Sirega berpendapat perkara itu adalah bentuk penyelewengan daripada akidah tauhid yang mengajarkan bahawa ALLAH itu Maha Esa.
Walaupun hanya sebahagian kecil kaum Yahudi yang berkeyakinan demikian, ALLAH melaknat mereka kerana menyamakan hamba-Nya yang soleh dengan Tuhan.
Jelasnya, meskipun Uzair dihormati oleh kaumnya, dia tetap merupakan seorang hamba ALLAH yang taat dan bukan anak Tuhan.
"Dia adalah seorang nabi yang menyampaikan wahyu dan petunjuk serta menyelamatkan kitab Taurat daripada hilang begitu sahaja.
"Kaum Yahudi yang fanatik menganggapnya sebagai anak ALLAH, tetapi ALLAH mengingatkan mereka bahawa Uzair adalah hamba-Nya yang mulia dan taat," tulisnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram