JUMLAH penagih dadah yang mendapatkan rawatan secara sukarela di agensi seperti Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) di bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) masih di tahap yang sangat rendah iaitu sebanyak 30 peratus daripada keseluruhan 169,691 penagih di seluruh negara.
Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, angka itu berdasarkan statistik AADK setakat September 2024.
Beliau berkata, sehubungan itu, Pindaan Akta Penagih Dadah (APD) 2024 memperluaskan lagi akses kepada penagih dadah untuk mendapatkan rawatan dan pemulihan bagi masalah ketagihan bahan terlarang itu.
BACA LAGI: Trump tewaskan Kamala Harris, 'negeri atas pagar' bantu kemenangan pilihan raya Presiden AS
BACA LAGI: Kes tekap seterika di UPNM: Tiada unsur buli, hanya gurau spontan — Polis KL
Kategori dadah sintetik paling tertinggi direkodkan setakat September 2024.
Menurutnya, pindaan baharu yang akan dikuatkuasakan pada awal tahun 2025, antara lain bagi memberi kesedaran dan menggalakkan penagih-penagih tampil secara sukarela bagi mendapatkan rawatan di agensi terbabit.
Pindaan itu juga katanya, memberikan kuasa tambahan kepada AADK dalam usaha memulihkan individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah khususnya dalam aspek rawatan.
"Pindaan itu memberikan ruang yang lebih luas untuk individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah datang secara sukarela bagi mendapatkan rawatan tanpa perlu melalui proses mahkamah.
"Perkara ini dilihat sebagai langkah besar ke arah penambahbaikan sistem pemulihan yang lebih mesra dan terbuka kepada mereka yang ingin berubah," katanya pada sesi Sembang Santai Ketua Pengarah AADK Bersama Media, pada Rabu.
Ruslin berkata, terdapat lima fokus utama dalam pindaan itu antaranya akses rawatan kepada penyalahgunaan dadah dan bahan, memperluas akses rawatan dan pemulihan secara sukarela, kawal selia komprehensif pusat pemulihan dadah persendirian, profesionalisme pegawai pemulihan dan juga pemantapan peranan sukarelawan.
"Melalui pindaan Akta Penagihan Dadah, AADK kini lebih bersedia untuk menerima individu yang ingin mendapatkan rawatan secara sukarela tanpa melalui proses undang-undang.
"Dalam usaha ini, AADK akan menubuhkan Pusat Penilaian Dadah (Drug Assessment Center) yang bertujuan untuk melakukan penilaian awal terhadap individu yang datang untuk rawatan.
"Ini adalah inisiatif penting kerana ia membolehkan AADK menilai tahap keparahan ketagihan mereka dan seterusnya menentukan rawatan yang paling sesuai.
"Kami juga sedang menjalankan projek perintis di Kuala Muda, Kedah untuk pusat penilaian ini yang dijangka akan dilaksanakan sepenuhnya apabila pindaan Akta Penagihan Dadah berkuat kuasa.
"Oleh itu, individu yang datang untuk rawatan akan dapat dinilai dalam tempoh lima hari dan diberikan rawatan segera di pusat pemulihan yang sesuai sama ada di Puspen, pusat pemulihan komuniti atau di pusat pemulihan swasta," katanya lagi.
Statistik jenis penagihan dadah serta bahan terlarang di Malaysia pada 2024.
Di sebalik statistik yang membimbangkan itu, Ruslin berkata, AADK berjaya merawat 86,195 orang pada tahun ini melalui pelbagai saluran termasuk di institusi pemulihan seperti Puspen, komuniti dan pusat pemulihan swasta.
"Kami percaya bahawa rawatan adalah langkah pertama dalam usaha memulihkan individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Dalam perkembangan sama, Ruslin berkata, dilaporkan jenis penggunaan dadah paling ketara adalah jenis sintetik dengan kategori Amphetamine Type Stimulants (ATS) menjadi penyumbang terbesar membabitkan 119,410 orang.
Katanya, dadah ATS dihasilkan secara pemprosesan campuran bahan kimia antaranya syabu, ice, dan batu dalam bentuk kristal, manakala dalam bentuk tablet seperti pil kuda, ecstacy dan pil yaba. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram