Kelantan rekod paling ramai penagih, dekat negara jiran punca 'barang' senang diakses


  • Primer
  • Rabu, 06 Nov 2024

Dadah jenis sintetik kategori Amphetamine Type Stimulants (ATS) menjadi penyumbang terbesar kepada penyalahgunaan dadah di Malaysia. — Gmabar hiasan

NEGERI yang mencatatkan kes penyalahgunaan dadah tertinggi adalah Kelantan dengan mencatatkan 980 orang bagi setiap 100,000 penduduk diikuti oleh Terengganu (925 orang), Perlis (884 orang), dan Kedah (790 orang).

Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, di Lembah Klang terutamanya Selangor, kadar penyalahgunaan dadah adalah lebih rendah, dengan 290 orang bagi setiap 100,000 penduduk.

Beliau berkata, Kelantan menjadi negeri yang tinggi dalam penyalahgunaan dadah berikutan lokasinya yang bersempadan dengan negara jiran.

BACA LAGI: Trump tewaskan Kamala Harris, 'negeri atas pagar' bantu kemenangan pilihan raya Presiden AS

BACA LAGI: Kes tekap seterika di UPNM: Tiada unsur buli, hanya gurau spontan — Polis KL

"Hotspot lokasi peningkatan itu berlaku di negeri-negeri sempadan yang berdekatan dengan negara jiran yang menjadikan bahan-bahan dadah itu diakses dengan mudah," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu penangkapan enam rakyat Malaysia termasuk seorang artis dikir barat moden yang ditahan di sebuah hotel berhampiran Sungai Golok kerana dipercayai memiliki dadah pada Jumaat lepas.

Dalam pada itu, Ruslin berkata, berdasarkan data terkini, majoriti penyalahgunaan dadah adalah membabitkan penganggur sebanyak 33 peratus, diikuti oleh individu bekerja sendiri (25 peratus) dan sektor swasta (22 peratus).

Jelasnya, perkara itu menunjukkan bahawa masalah penyalahgunaan dadah bukan sahaja melibatkan individu dalam kalangan golongan bekerja tetapi juga mereka yang tiada pekerjaan tetap.

"Harapan AADK adalah untuk memberi peluang kedua kepada mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah untuk mendapatkan rawatan yang mereka perlukan tanpa rasa takut akan dikenakan tindakan undang-undang," katanya.

Beliau berkata, Pindaan Akta Penagih Dadah (APD) 2024 akan memastikan bahawa setiap individu yang terlibat dalam masalah ketagihan dadah diberi rawatan yang sepatutnya dan mereka tidak dipandang sebagai penjenayah tetapi sebagai pesakit yang memerlukan rawatan untuk pemulihan.

"Sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam hal ini, AADK berkomitmen untuk memastikan bahawa setiap usaha yang dilaksanakan dapat memberikan kesan yang positif kepada individu yang terlibat.

"Kami juga berharap agar masyarakat dapat memberi sokongan terhadap inisiatif ini agar dapat bersama-sama menangani masalah penyalahgunaan dadah secara lebih berkesan," katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram