[VIDEO] Jangan hadiahkan anak ikut kemahuan mereka, baik bantu hafal surah al-Mulk — Faridah Hanim


  • Mukmin
  • Jumaat, 20 Sep 2024

Menerusi podcast Bincang Sebalik Tabir, Datuk Faridah Hanim Haron berpendapat ibu bapa seharusnya menghadiahkan anak-anak dengan bantu menghafal surah al-Mulk.

RAMAI ibu bapa pada zaman moden ini berusaha memberikan yang terbaik untuk didikan anak-anak mereka.

Namun, seringkali kita terlupa bahawa bukan semua yang dianggap penting sebenarnya bermanfaat untuk mereka.

Sebagai ibu bapa yang berusaha untuk mencapai kemahuan anak, kita mungkin mengabaikan nilai-nilai yang lebih mendalam seperti pendidikan agama.

BACA LAGI: [VIDEO] Kiamat makin dekat, Daryl Goch lokasi sebenar munculnya Yakjuj Makjuj?

BACA LAGI: Bentang sejadah buat guru berjalan, agama Islam tak ajar hormat sampai taasub

Tanpa menyedari, kita mungkin membiarkan anak-anak merindui perkara yang lebih bermakna misalnya penghafalan al-Quran yang bukan sahaja memberi manfaat duniawi malah di akhirat.

Melalui podcast Bincang Sebalik Tabir yang tular baru-baru ini membahaskan isu itu apabila tetamu jemputannya Datuk Faridah Hanim Haron menggambarkan bagaimana anak-anak tidak merindui atau menginginkan sesuatu yang belum mereka kenali.

"Contohnya, di rumah saya tidak ada sama sekali saluran televisyen.

"Apabila kita membelikan mainan untuk anak, sering kali itu dilakukan untuk memenuhi keinginan kita sebagai orang dewasa bukan kerana anak benar-benar menginginkannya.

"Anak-anak yang belum pernah melihat atau menggunakan mainan tertentu tidak akan merinduinya kerana mereka tidak mempunyai pengalaman atau pengetahuan tentang perkara itu," kongsinya.

Jadi, ia menyoroti bagaimana keinginan orang dewasa kadang-kadang tidak sejajar dengan keperluan atau keinginan sebenar anak-anak, menurutnya.

Katanya, didikan yang terbaik oleh ibu bapa adalah dengan menghadiahkan anak dengan membimbing mereka dalam menghafal surah al-Mulk ketika mereka kecil.

Dia menekankan ibu bapa sepatutnya lebih tegas dan membawa mereka ke sekolah Islam untuk menghafal al-Quran bukan sebaliknya mengikuti kehendak anak-anak.

"Sekolah Islam dahulu adalah yang terbaik dalam akademik.

"Mereka mula dengan menghafal al-Quran sebelum menguasai subjek lain.

"Dengan menghafal al-Quran, sel-sel dalam tubuh anak dapat berfungsi dengan baik.

"Bayangkan peluang yang ada jika mereka ingin belajar perubatan atau menjadi arkitek, semuanya menjadi lebih mudah dengan asas yang kuat," katanya.

Pada pandangannya, tidak semua perkara harus dihalang tetapi perlulah mengikut jalan yang direda ALLAH.

"Zaman dahulu tidak ada kesedaran mengenai Islam yang tidak seperti sekarang.

"Perkara ini belum terlambat lagi dan berikanlah anak-anak dengan didikan kasih sayang yang sebaiknya," katanya.

Sementara itu, meninjau di ruangan komen, satu akaun yang dikenali sebagai huda_ezad berkongsi jirannya tidak memiliki televisyen semasa kecil dan terfikir sama ada mereka tidak berasa bosan.

Katanya, tanggapannya itu silap kerana mereka menggnakan masa adalah untuk mempelajari al-Quran.

"Kini, mereka semua telah menjadi individu yang cemerlang.

"Ibu dan bapa mereka masing-masing berkhidmat sebagai guru Sains dan ustazah. Saya sangat berbangga dengan pencapaian mereka," tulisnya.

Salah seorang pengguna, Fdzwan.ismail turut berkongsi adalah tidak menjadi masalah untuk memiliki televisyen kerana kini terdapat banyak konten Islamik.

"Ajarkan anak melayari saluran Islamik di Youtube.

"Malah surah al-Mulk juga dapat didengar pada setiap hari, dengan cara itu InshaALLAH anak akan berasa seronok," komennya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram