Bentang sejadah buat guru berjalan, agama Islam tak ajar hormat sampai taasub


  • Mukmin
  • Rabu, 04 Sep 2024

Tular satu video memaparkan pelajar pondok pengajian membentang sejadah bagi membolehkan guru mereka berjalan sebagai tanda hormat.

DALAM Islam, kedudukan orang yang berilmu adalah sangat tinggi.

ALLAH SWT secara jelas menyebut dalam al-Quran bahawa orang yang berilmu memiliki darjat yang lebih tinggi daripada orang yang tidak berilmu.

Hal tersebut menunjukkan betapa pentingnya ilmu dalam pandangan agama kita.

BACA LAGI: Lafaz talak ketika isteri suci, ramai lupa 5 adab cerai ikut ajaran Islam

BACA LAGI: 'Patutnya 'settle' tepi bukan cerai depan orang ramai ketika TikTok live'

Rasulullah SAW juga bersabda bahawa siapa yang mengikuti jalan menuntut ilmu, maka ALLAH akan memudahkan jalan mereka ke syurga.

Perkara itu menandakan bahawa menghormati dan memuliakan guru adalah sebahagian daripada budaya Islam yang perlu diterapkan.

Akan tetapi sejauh manakah adab dalam menghormati guru itu?

Terdapat segelintir pihak dilihat taasub dalam ‘mengagung-agungkan’ guru mereka sehinggakan mencium tangan dalam keadaan berlutut.

Ada juga situasi di mana sebahagian pondok pengajian taasub menghormati guru dengan bertindak menghampar sejadah di sepanjang laluan guru mereka berjalan.

Mengulas berkenaan isu tersebut, Ustaz Suhail Sufian memberi pandangan bahawa kita perlu berhati-hati agar tidak melampaui batas dalam menghormati individu yang diagungkan sebagai guru.

“Dalam usaha untuk memuliakan guru, kadang-kadang kita mungkin terjebak dalam amalan yang berlebihan hingga menyebabkan masalah.

“Misalnya, jika kita terlalu fanatik hingga menganggap segala tindakan guru adalah betul tanpa mengira apa pun boleh membawa kepada taasub.

“Rasulullah SAW dan para sahabat menunjukkan adab yang baik dalam menghormati guru tanpa melampaui batas.

“Kita perlu mengikut jejak ini dan memastikan bahawa adab kita sesuai dengan ajaran Islam dan tidak menjadi beban kepada diri sendiri atau orang lain.

Suhail berkata, terdapat juga isu apabila masyarakat kadang-kadang kurang menghormati guru dan memandang remeh peranan mereka.

“Ada yang menganggap ilmu yang diterima dari guru tidak lebih baik daripada yang diperoleh dari sumber lain seperti internet. Ini adalah satu kesalahan besar.

“Ilmu yang diajar oleh guru memiliki keberkatan dan pemahaman yang mendalam yang tidak dapat diperoleh hanya dengan membaca internet.

Suhail menegaskan kepada orang ramai agar sentiasa mengamalkan adab yang sesuai dalam perhubungan terutamanya dengan guru kerana perbuatan itu dilihat kian pupus.

1484764

Amalan mencium tangan guru, apa hukumnya dalam Islam? — mStar

“Guru-guru hendaklah sentiasa menjadi teladan dalam segala aspek termasuklah adab dan etika mengajar.

“Manakala kepada pelajar, hormatilah guru dengan cara yang sesuai dan penuh rasa syukur serta rendah hati, “ katanya kepada Majoriti.

Pendakwah bebas itu berkata, cara beradab juga mungkin berubah mengikut peredaran zaman.

Kini, ada juga dalam kalangan pelajar memuliakan guru dengan menawarkan pertolongan seperti membuatkan air dan makanan serta mencuci baju guru mereka misalnya.

“Perkara ini masih dalam syarak lagi dan tiada masalah kerana ia adalah adab seperti mana kita memuliakan ibu bapa,” ujarnya.

Terdahulu, tular satu video di negara jiran yang memaparkan sebuah sekolah pondok seolah-olah mewajibkan pelajar membentang sejadah bagi membolehkan guru mereka berjalan sebagai tanda hormat.

“Menjadi masalah apabila kita mewajibkan sesuatu perkara yang tak wajib,” katanya.

“Terdapat juga sesetengah tempat lain mewajibkan pelajar meminum air tangan guru (guru basuh tangan dan minum daripada air basuhan) yang dilihat sebagai memuliakan guru.

“Paling merisaukan adalah apabila kita bermuamalah atau hidup dengan guru-guru, mereka mewajibkan perkara-perkara yang tidak wajib pun dalam agama.

"Kita menyusahkan diri kita dengan perkara-perkara yang sebenarnya tidak perlu dalam agama.

"Jika guru ingin berjalan, biarkanlah dia berjalan.

"Kita perlu ingat, Nabi sendiri tidak melakukan perkara seperti itu,” tegasnya.

"Nabi sudah memberi peringatan mengenai hal ini dan bersabda, ‘hancurlah orang-orang yang berlebih-lebihan dalam beramal yang bermaksud jika kita berlebihan dalam melakukan kebaikan, itu juga termasuk dalam peringatan tersebut,” tambahnya.

Hal itu bermakna berbuat kebaikan juga perlu pada kadar dan tempatnya.

bfe

Ibu bapa dan guru adalah golongan yang wajib dihormati. — Agensi

Bertanya berkenaan pelajar berkemungkinan sebelumnya tidak sedar amalan taasub di tempat pengajian mereka, Ustaz Suhail mengulas lanjut adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan anak mereka belajar dalam lingkungan yang selamat daripada fitnah dan kesesatan.

"Jangan hanya bergantung pada harapan bahawa dengan menghantar anak ke sekolah tahfiz atau pondok, masalah akan selesai.

"Kadang-kadang, ibu bapa juga dilihat melepaskan tanggungjawab mereka tanpa memantau perkembangan anak secara mendalam.

"Ibu bapa perlu menapis tempat pengajian berkenaan bagi memastikan anak-anak mereka benar-benar belajar dengan baik dan pergi ke tempat yang sesuai untuk mendapatkan pendidikan,” ujarnya.

Beliau berkata, adab dengan guru yang sebenarnya dalam Islam ada dinyatakan dalam kitab Ihya' Ulumuddin oleh Imam Ghazali menyenaraikan beberapa adab penting antaranya hendaklah merendahkan suara apabila bercakap dengan guru, dan disarankan untuk bermanis muka apabila bertemu.

“Pelajar juga perlu memanggil mereka dengan panggilan yang sopan.

Suhail turut memperjelas berkenaan adat pada zaman sekarang yang mewajibkan pelajar mencium tangan ketika bersalam dengan guru yang mana perkara itu sebenarnya adalah tidak wajib.

Sekiranya untuk memperbaiki akhirat dan memperelokkan diri dengan guru adalah tidak mengapa bergantung pada niat, menurutnya.

Untitled design - 1

Adab semasa menuntut ilmu daripada guru adalah penting. — Shutterstock

Beliau berkata, terdapat satu hadis yang menggambarkan situasi apabila seorang sahabat hendak mencium tangan Nabi Muhammad SAW, malah Nabi bertindak menarik tangannya.

"Sebahagian ulama berpendapat bahawa mencium tangan itu adalah bidaah atau perkara yang tidak dicontohkan oleh Nabi Muhammad SAW.

"Ada juga yang berpendapat bahawa mencium tangan tidak dibenarkan dan sebagainya.

"Namun, dalam amalan budaya masyarakat Arab khususnya adalah perkara biasa untuk melakukan salam, pelukan dan kemudian mencium tangan guru sebagai tanda hormat.

"Ini adalah sebahagian daripada budaya mereka yang mungkin berbeza dengan amalan di tempat lain.

“Khilaf atau perbezaan pendapat mengenai mencium tangan ini adalah perkara yang dibenarkan dalam Islam.

"Khilaf dalam Islam memang wujud dan ada perkara yang tidak boleh dipertikaikan seperti kewajipan menghormati guru,” jelasnya.

Katanya, terdapat juga perlebihan yang berlaku adalah penggunaan hadis dhaif oleh sesetengah 'tok guru’ mendakwa bahawa mencium tangan mereka dapat membawa seseorang ke syurga dengan mengaitkan Nabi Muhammad SAW.

Tegasnya, amalan itu perlu ditolak kerana hadis tersebut tidak mempunyai asas yang kuat.

Beliau menasihati orang ramai agar belajar untuk melaksanakan amalan tersebut pada kadar yang sederhana tanpa menimbulkan fitnah terhadap Islam.

"Namun, jika amalan tersebut menjadi melampau sehingga menimbulkan fitnah atau lebih menyerupai budaya lain yang bukan budaya Islam, maka kita perlu kembali memperbetulkan amalan tersebut," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram