DALAM konteks keselamatan, perbatasan antara orang dewasa dan kanak-kanak memainkan peranan yang sangat penting untuk melindungi kesejahteraan fizikal dan emosi mereka.
Orang dewasa bertanggungjawab untuk memahami dan menghormati batasan itu sebagai kunci memastikan mereka dilindungi serta selamat.
Kini, konten bersama kanak-kanak banyak tidak kira di pihak ibu bapa itu sendiri atau orang lain dimuat naik di media sosial dan dilihat seakan-akan melangkaui batasan sehingga menjadi perbualan masyarakat.
BACA LAGI: [VIDEO] Kiamat makin dekat, Daryl Goch lokasi sebenar munculnya Yakjuj Makjuj?
BACA LAGI: Bentang sejadah buat guru berjalan, agama Islam tak ajar hormat sampai taasub
Mana abang bas mana? Macam ni lah cara buat content tepat sebagai seorang pemandu bas sekolah. See how he's keeping safe distance but still is approachable to the kids? See how he blurs out their faces? Very safe, very mindful... pic.twitter.com/3qWBuyHk3n
— (madam) lissa angking (@lissalaila_) September 16, 2024
Rentetan dari konten-konten sedemikian, menjadi persoalan kepada umum sejauh manakah batasan antara orang dewasa itu terhadap kanak-kanak dan remaja bawah umur yang dianggap tidak normal?
Adakah ia sesuai dimedia sosialkan sehingga privasi mereka terdedah?
Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff menjelaskan berkenaan isu konten kanak-kanak yang dimuat naik dan disalah gunakan itu adalah sangat sensitif dan memerlukan perhatian serius terhadap hak dan keselamatan kanak-kanak.
"Kita tidak boleh menggunakan wajah seseorang terutama kanak-kanak bawah umur tanpa izin ibu bapa dalam konten.
"Begitu juga, kita perlu mendapatkan izin individu tersebut jika mereka telah mencapai umur dewasa sebelum menggunakan wajah atau percakapan mereka.
“Pihak-pihak tertentu yang menggunakan kanak-kanak sebagai konten dalam laman sosial seperti Facebook perlu mendapatkan keizinan daripada ibu bapa terlebih dahulu.
“Mereka tidak boleh menggunakan wajah atau tubuh badan kanak-kanak tersebut semata-mata untuk tujuan konten tanpa kebenaran.
“Tindakan ini mendedahkan kanak-kanak tersebut di media sosial kerana privasi mereka akan terjejas.
“Mereka berkemungkinan terjebak dalam situasi atau perkara-perkara yang tidak digalakkan oleh Islam dan undang-undang,” katanya ketika dihubungi Majoriti.
Perbatasan antara orang dewasa dan kanak-kanak memainkan peranan yang sangat penting untuk melindungi kesejahteraan fizikal dan emosi mereka. — Agensi
Izhar Ariff berkata, orang ramai harus memahami isu itu kerana perlu menyedari bahawa zaman kini adalah penuh dengan fitnah dan boleh menyumbang kepada apa-apa perkara.
Beliau berkata, tiada batasan yang ditetapkan dalam Islam terhadap sentuhan pada kanak-kanak kecuali kawasan-kawasan yang disyariatkan sebagai aurat iaitu pusat sehingga lutut.
“Tidak kisahlah sama ada bapa saudara atau ibu saudara memang tiada batasan yang ditetapkan dalam Islam.
“Namun, kita tidak boleh sesuka ataupun bermain di kawasan pusat dan lutut kanak-kanak sama ada sejenis ataupun bukan sejenis,” katanya.
Mengulas dengan lebih terperinci soal itu, perbatasan sentuhan adalah tidak salah jika bapa atau ibu saudara ingin mencium anak saudara, menurutnya.
"Ini kerana antara bapa (atau ibu) saudara kandung dan anak saudara, tidak ada pembatalan wuduk.
"Malah, mereka adalah mahram jika berlainan jantina.
"Cuma dia tidak boleh melakukan sesuatu yang pelik atau luar daripada syariat Islam.
"Sebagai contoh, mencium mulut ke mulut tidak sesuai dan biasanya tiada orang yang mencium anak saudara mereka sebegitu.
"Ini boleh menimbulkan fitnah dan juga boleh merendahkan maruah kanak-kanak tersebut," jelasnya.
Konten yang mendedahkan kanak-kanak tidak seharusnya dimuat naik di media sosial.
Beliau berkata, apa pun isu di media sosial tidak boleh dijatuhkan hukum.
“Hal ini kerana, ia melibatkan bukan sahaja aspek hukum hakam tetapi juga perkara lain yang perlu dipertimbangkan," katanya.
Beliau turut menegaskan akan peranan ibu bapa pada masa kini adalah mengajar dan mendidik anak-anak tentang agama.
"Pada masa yang sama, kita perlu memantau pergerakan dan urusan mereka untuk memastikan anak-anak tidak terjebak dalam masalah sosial," ujarnya.
Selain itu, Datuk Izhar Ariff menekankan agar ibu bapa juga perlu memantau dengan siapa individu yang rapat dan bermain dengan anak-anak.
Dari sudut lain, ibu bapa juga perlu memerhatikan perwatakan anak-anak untuk memastikan mereka tidak mudah melakukan perkara yang dilarang atau terjebak dengan orang yang salah, katanya.
“Dalam situasi lain, sekiranya seseorang individu mendapat keizinan ibu bapa untuk membawa anak-anak keluar, maka tanggungjawab menjaga anak-anak tersebut terletak pada orang yang diberi izin.
"Namun, penting untuk diingat bahawa izin tersebut tidak bersifat mutlak.
"Orang yang diberi izin tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya sehingga menjejaskan maruah atau keselamatan anak atau menyebabkan gangguan oleh pihak ketiga.
"Izin tersebut hanya untuk aktiviti seperti berjalan-jalan atau makan. Untuk hal seperti media sosial atau publisiti perlulah mendapatkan izin tambahan daripada ibu bapa.
"Pandangan saya adalah Islam mengajar kita untuk berhati-hati dalam semua perkara.
"Kita perlu peka terhadap tindakan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada orang lain.
"Oleh itu, kita perlu berhati-hati agar tidak menyusahkan orang lain atau menyebabkan sebarang kemudaratan,” tegasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram