DALAM kehidupan beragama, kita sering fokus kepada amalan-amalan sunat dan rutin wajib yang dianggap dapat mendekatkan diri kepada ALLAH.
Namun, terdapat satu aspek yang kadang kalanya terlepas pandang tetapi sebenarnya jauh lebih penting iaitu kebersihan hati.
Hati yang bersih daripada sifat-sifat buruk seperti dengki, dendam dan niat jahat adalah asas utama dalam membentuk keperibadian yang baik dan amalan diterima di sisi ALLAH.
@ustazwadiannuarofficial Hati Dengki Dan Dendam | Ustaz Wadi Annuar #ustazwadiannuar #ustazwadiannuar❤️ #ustazwadiannuarofficial #ustazwadianuar #dakwah #syurga #sunnahnabi #akhirzaman #islam ♬ original sound - Aki Seruling - AKI Seruling
Mengapakah hati yang bersih dan akhlak baik lebih penting daripada amalan sunat yang dilakukan serta bagaimana sikap dan keadaan hati mempengaruhi penerimaan ibadah seseorang insan?
Menurut perkongsian video oleh Ustaz Wadi Annuar berkata, hati yang bersih daripada sifat dengki, dendam, dan niat jahat adalah kunci utama dalam kehidupan beragama.
Katanya, perkara tersebut adalah lebih penting daripada timbunan amalan sunat yang dilakukan oleh seseorang Muslim.
Dalam konteks itu, Ustaz Wadi menerangkan bahawa memiliki akhlak yang baik dan hati yang bersih adalah jauh lebih berharga daripada sekadar mengumpulkan amalan-amalan sunat.
"Kita sering mendengar tentang seseorang Muslim meskipun giat beribadah dan mengamalkan amalan sunat namun memiliki hati yang keras, gelap dan zalim.
"Bahkan, terdapat hadis yang mengingatkan kita bahawa seseorang yang seperti ini akan berada dalam kalangan ahli neraka.
"Contohnya, seorang wanita yang meskipun banyak beribadah tetapi mulutnya sering menyakiti hati jiran-jirannya.
"Dalam hadis yang lain, Nabi Muhammad SAW telah memperingatkan bahawa wanita seperti ini juga termasuk dalam kalangan ahli neraka.
"Peringatan ini penting bagi kita semua.
"Ia menunjukkan bahawa amalan-amalan sunat walaupun sangat dihargai, tidak dapat menutup kelemahan hati yang penuh dengan sifat buruk," katanya.
Tegasnya, adalah penting bagi umat Islam perlu memastikan bahawa hati sentiasa bersih dan akhlak baik selari dengan amalan ibadah yang dilakukan.
Amalan ibadah tambahan seperti berpuasa sunat belum tentu menjamin pahala dan dosa seseorang sekiranya tidak menjaga lisan. — Gambar fail
Memetik sumber Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), ada menyatakan Rasulullah SAW menasihatkan agar orang yang beriman kepada ALLAH dan rasul-Nya agar bercakap perkara yang baik.
"Jika tiada kata-kata baik, lebih baik diam sahaja.
"Peringatan itu menekankan betapa pentingnya menjaga tutur kata agar tidak menyakiti hati orang lain kerana kata-kata buruk boleh menyebabkan permusuhan dan kekacauan.
"Selain menjaga lidah, Rasulullah SAW juga mengingatkan tentang pentingnya tingkah laku yang baik.
"Kita harus mengelakkan tindakan yang melanggar hak dan maruah orang lain.
"Namun, dalam masyarakat masa kini, adab dan sopan santun semakin terhakis akibat pengaruh kebendaan dan nafsu,” menurut sumber.
Dalam penulisan Pengarah Majlis Hukama’ Mulis, Mohamad Razif Mohamad Fuad menerusi bukunya yang bertajuk 59 Mutiara Nabawi menyatakan terdapat perbezaan pandangan ulama dalam menetapkan hukum adakah semua hal melibatkan pertuturan akan dihitung atau hanya berkenaan dosa dan pahala?
“Menurut pandangan Ibn Abbas berdasarkan (yamhullah ma yasha) setiap saat tutur kata itu dihitung oleh ALLAH sama ada termasuk dalam amal yang baik atau sebaliknya.
“Perkara yang baik dan buruk akan ditetapkan pembalasannya sementara selainnya akan terus dihapuskan atau dibuang,” petikan muka surat 105.
Jika tiada perkataan yang baik ingin dibicara adalah lebih baik berdiam sahaja. — Gambar hiasan/DT Peduli
Penulisan itu menyebut jelas Imam al-Ghazali menyatakan bahawa menjaga lisan itu lebih penting daripada menjaga dinar dan dirham.
"Yunus bin Ubaid berkata, 'tidaklah seorang manusia itu terjaga lisannya melainkan aku melihat ia menjadi perisai pada seluruh perbuatannya' [Rujuk Ihya' Ulum al-Din, jil. 3, hIm. 111].
"Imam al-Nawawi menegaskan bahawa perlunya bagi setiap mukalaf memelihara seluruh tutur katanya kecuali yang ada keperluan (maslahah) padanya dan apabila sama kadar maslahah dalam berkata-kata dan diam.
“Adalah sunat berdiam kerana boleh jadi perkataan yang dibolehkan menjadi perkataan yang haram atau makruh, bahkan inilah kebiasaannya. [Rujuk al-Azkar, hIm. 516].
"Lidah adalah salah satu anggota badan yang dapat menimbulkan kekuatan bagi diri sendiri dan orang lain.
"la juga dapat memusnahkan dan menghancurkan kekuatan itu seperti akibat yang ditimbulkan oleh perbuatan lidah dengan cara mengumpat, memfitnah dan berdusta,” tulisnya.
Terdapat potongan hadis perkongsian oleh Dr. Kamilin Jamilin yang merupakan Ahli Majlis Fatwa Wilayah Persekutuan dan Perlis berkenaan lisan:
إن العبد ليتكلمُ بالكلِمةِ مِن سخطِ اللهِ تعالى لا يُلقِي لها بالا يهِوي بها فِي جهنم
“Maksudnya: Sungguh, boleh jadi seorang hamba itu mengucapkan suatu kalimah yang dimurkai oleh ALLAH Ta'ala tanpa dia peduli (akan implikasi atau baik buruk)nya, dia akan jatuh ke dalam neraka jahanam kerana perkataannya itu" [hadis riwayat al-Bukhari].
Justeru, adalah penting bagi umat Islam terutamanya para pemimpin, ilmuwan, dan masyarakat umum untuk menunjukkan contoh yang baik dalam pertuturan dan tingkah laku.
Umat Islam harus diingatkan bahawa segala tindakan seseorang adalah amanah dari ALLAH yang harus dipertanggungjawabkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram