[VIDEO] Berani tempur di medan perang, Nusaybah binti Ka'ab ikon wanita Islam patut dicontohi


  • Mukmin
  • Isnin, 02 Sep 2024

Nusaybah adalah salah seorang daripada dua wanita yang secara peribadi memberikan taat setia kepada Nabi Muhammad SAW. — AMUST

SEJARAH wanita dalam Islam mencerminkan perubahan luar biasa dalam memartabat hak-hak wanita.

Pada zaman pra Islam di Arab, wanita dianggap berada pada kedudukan rendah dan sering menjadi mangsa yang diperlakukan tidak adil seperti pembunuhan bayi perempuan secara hidup-hidup.

Namun, Islam membawa perubahan besar dengan mengangkat martabat wanita setara dengan lelaki.

BACA LAGI: Kecil hati kerana jenazah lewat dikebumi, pakar pengurusan kata tak jadi masalah jika ada sebab tertentu

BACA LAGI: [VIDEO] Kenali Mansa Musa, tokoh Islam yang lebih kaya dari Elon Musk atau Bill Gates

Islam mengajarkan bahawa kejayaan atau kegagalan seseorang sama ada lelaki atau wanita adalah bergantung pada iman dan kelakuan mereka sendiri.

Perubahan besar berjaya dibawa oleh Nusaybah binti Ka'ab, seorang tokoh awal Islam yang terkenal dengan keberanian dan dedikasinya memartabatkan wanita dalam menegakkan agama Islam.

Menurut sumber penulisan Sound Vision yang dikarang oleh Zahirah Lynn Eppard menceritakan pengorbanan Nusaybah binti Ka'ab semasa peperangan Uhud.

"Semasa perang Uhud, Nusaybah menunjukkan semangat perjuangan yang tiada tandingannya.

"Ketika pertempuran berlangsung, dia bersama wanita-wanita lain membawa air dan merawat tentera yang cedera.

"Apabila pemanah Islam meninggalkan posisi (kedudukan dalam perang) mereka lalu menyebabkan keadaan menjadi darurat, Nusaybah tidak teragak-agak untuk bertindak.

"Dengan pedang dan busur di tangan, dia bersama suaminya, Ghazzayah bin 'Amr, dan anaknya, Abdullah bertindak sebagai perisai manusia untuk melindungi Nabi Muhammad SAW daripada serangan musuh.

"Umar bin Al-Khattab menceritakan bahawa dalam perang Uhud, ke mana sahaja Nabi SAW berpaling, baginda sentiasa melihat Ummu 'Umarah (Nusaybah) berjuang di barisan hadapan," memetik artikel.

DE8B78E3-FBFD-4593-833D-65960C0DD244

Perang Uhud adalah pertempuran kedua terbesar antara tentera Islam di bawah pimpinan Nabi Muhammad SAW dan pemimpin Quraisy. — The Patriot Asia

Penulisan artikel tersebut menjelaskan keberanian Nusaybah tidak terhad di medan perang sahaja.

Kisah kepahlawanannya dalam menegakkan Islam turut disaksikan oleh anaknya apabila Nusaybah cedera dalam pertempuran.

"Selepas membalut luka anaknya, Nusaybah membalas dendam terhadap musuh yang mencederakannya.

"Nabi Muhammad SAW sendiri memuji keberaniannya dengan menyatakan bahawa Nusaybah berperang lebih baik daripada ramai lelaki.

"Menyedari apa yang dikatakan oleh Nabi, Nusaybah berdoa agar dia dan keluarganya diterima sebagai teman di syurga dan menganggap segala penderitaan di dunia tidak lebih penting berbanding ganjaran akhirat," ulas artikel.

Artikel tersebut turut menceritakan Nusaybah terus aktif dalam perjuangan Islam sepanjang pemerintahan Abu Bakar Al Siddique dan Umar bin Al-Khattab.

"Dia turut mengambil bahagian dalam beberapa peperangan penting seperti perjanjian Aqabah, Hudaybiyah, Khaybar, dan Hunayn.

"Di bawah pimpinan Abu Bakar, Nusaybah menunjukkan keberanian yang luar biasa dalam perang al-Yamamah apabila dia tercedera dengan mengalami 11 luka serta kehilangan tangannya pada umur 60 tahun.

"Keberanian dan keteguhan imannya tidak pernah pudar walaupun dua anak lelakinya, Abdullah dan Habib syahid semasa bertempur dalam perjuangan Islam," tulis Zahirah.

Dapat dilihat, Nusaybah merupakan contoh cemerlang wanita Islam yang mempamerkan keberanian, dedikasi, dan komitmen terhadap perjuangan agama Islam.

Kisahnya bukan sahaja memperlihatkan perubahan dalam memartabat wanita dalam masyarakat Islam tetapi juga memberi inspirasi kepada semua dengan semangat juangnya yang kekal hingga kini.

Kisah tersebut turut disokong dalam penulisan portal About Islam yang menceritakan Nusaybah adalah wanita Islam paling terkenal dengan keperibadiannya yang unggul terutama sifat keberanian yang ditunjukkan dalam membela Nabi Muhammad SAW semasa perang Uhud.

"Hadith sahih mencatatkan lebih 70 orang sahabat cedera dan ramai lagi yang syahid (Al-Bukhari, Buku no. 59, Hadith no. 322).

"Nusaybah terus mengambil senjata ketika melihat Nabi sedang berperang sendirian dan bertindak melindunginya," memetik artikel.

Jelas penulisan itu, Dr Al Hashimi menceritakan bahawa Nusaybah berjuang dengan berani dan tidak mementingkan diri dalam membela Nabi.

BeFunky-collage-9-16

Nusaybah yang cedera parah dalam perang Uhud tetap bangkit melawan menetang musuh ISLAM. — FMC

"Kemenangan peperangan itu pada akhirnya memberi banyak pelajaran yang diperoleh oleh pejuang Islam dalam perang Uhud yang direkodkan.

"Tercatat dalam rekod itu adalah peranan Nusaybah dan keluarganya dalam membela kekasih Allah, Nabi Muhammad SAW.

"Dalam pergorbanan membela Nabi, Nusaybah mengalami luka yang teruk tetapi dia tidak mengeluh atau berputus asa.

"Beliau bahkan meminta Nabi untuk berdoa agar dia dan keluarganya menjadi ahli syurga.

Menerusi penulisan itu, dapat dirumuskan bahawa Nusaybah dikenali dalam sejarah Islam sebagai seorang ikon dan pahlawan terkenal.

Dia juga dikenang sebagai wanita yang sangat sabar dan mementingkan orang lain.

Salah seorang anak lelakinya syahid dalam pertempuran dan Nusaybah menunjukkan kepercayaan serta keteguhan tinggi kepada ALLAH SWT apabila reda menerima berita kematian anaknya itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram