'Patutnya 'settle' tepi bukan cerai depan orang ramai ketika TikTok live'


  • Mukmin
  • Selasa, 30 Jul 2024

Bekas Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman, berpendapat sekiranya isteri menghormati suami dan tidak bertikam lidah, kemungkinan dia tidak dijatuhkan talak. — Gambar/OHBULAN!

TREND perceraian dalam kalangan pasangan beragama Islam ketika siaran langsung di media sosial dilihat semakin meningkat dan menjadi sesuatu yang amat membimbangkan.

Tular baru-baru ini seorang peniaga kosmetik berumur 37 tahun, diceraikan dengan talak satu oleh suaminya yang berusia 40-an ketika wanita tersebut sedang bersiaran langsung di TikTok pada Rabu lalu.

Wanita berkenaan sempat bergaduh mulut dengan suaminya sebelum bercerai dengan mereka dilihat saling meninggikan suara kepada satu sama lain.

BACA LAGI: Tak sampai setahun kahwin dah cerai gara-gara dengkur, peguam syarie dedah kes perceraian tak masuk akal di Selangor

BACA LAGI: Makin ramai langgar tempoh idah lepas cerai, hadir kursus kahwin sekadar dapat sijil? Dah tiba masa tambah baik buat ujian lisan

553

Abdul Rahman berkata, prosedur perceraian sepatutnya dibuat di mahkamah.

Isu tersebut telah mendapat perhatian bekas Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman yang berpendapat pasangan itu mungkin berdepan dengan masalah lama dan belum diselesaikan secara baik.

Menurutnya, hal tersebut berkemungkinan menjadi punca yang membawa kepada perbalahan mereka.

"Prosedur perceraian sebegitu walaupun tanpa pengetahuan kebenaran mahkamah, tetap jatuh hukumnya.

"Tetapi dari segi peraturan Islam, perceraian tersebut adalah salah kerana mengikut undang-undang apabila seseorang hendak bercerai mestilah memohon terlebih dahulu kepada mahkamah.

"Ketika diceraikan, seorang isteri itu hendaklah berada dalam keadaan yang suci dan belum disentuhi contohnya.

"Sekiranya diceraikan ketika haid hukumnya jatuh dan ini antara sebab mahkamah membuat keputusan agar perceraian dipohon di mahkamah kerana risau berlaku perceraian tidak mengikut syarak dan berdosa," katanya ketika dihubungi Majoriti.

Menjelaskan secara terperinci berkenaan video tular pengasas kosmetik diceraikan itu, bekas Mufti Pahang berpandangan sebagai seorang isteri tidak boleh mencabar suami.

"Jika kita lihat dia tidak menghormati suaminya mengikut secara Islam.

"Pada ketika itu sekiranya dia menghormati suaminya dan tidak bertikam lidah, kemungkinan dia tidak dijatuhkan talak.

"Sebagai seorang isteri tidak seharusnya menjatuhkan atau memburukkan suami di depan orang ramai terutamanya, dan pada akhirnya diceraikan.

"Perceraian tanpa kita berfikir panjang menyebabkan berlakunya perbalahan bukan sahaja antara suami dan isteri mungkin merosakkan keharmonian dan hubungan keluarga," katanya.

varia-2ssss-250x145

Perselisihan faham atau perbalahan perlu diselesaikan dengan cara yang baik seperti yang dianjurkan oleh Islam. — Gambar hiasan

Mengulas lanjut, beliau berkata perbalahan melibatkan masalah rumah tangga perlu diselesaikan secara baik bukan hadapan ramai yang dapat mengundang imej buruk terhadap maruah keluarga.

"Nampak gaya kedua-dua pihak ada salah masing-masing dan sepatutnya 'settle' tepi, bukan di depan orang ramai secara live," ujarnya.

Terdahulu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, sebarang perselisihan faham atau perbalahan perlu diselesaikan dengan cara yang baik seperti yang dianjurkan oleh Islam.

Beliau menasihatkan jika ada kebuntuan dalam perkahwinan jangan cepat membuat keputusan untuk bercerai kerana banyak langkah perlu diambil terlebih dahulu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram