BAB pengurusan jenazah merupakan topik penting yang perlu diketahui semua memandangkan setiap insan pasti akan merasai kematian.
Bahkan, tanpa ilmu yang cukup dalam pengurusan jenazah boleh mengakibatkan wujud perbalahan di antara keluarga dan pihak pengurusan jenazah terutamanya pihak surau terutama soal menentukan waktu yang tepat untuk pengebumian.
Malah keadaan itu juga menjurus keadaan sehingga ada penduduk berkecil hati dan merajuk dengan pihak bertanggungjawab hanya disebabkan lewat menguruskan pengkebumian jenazah.
Bercakap soal itu, Pensyarah dan Pakar Kajian Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam UKM, Prof Madya Dr Ahmad Yunus Mohd Nor berkata, seseorang yang meninggal dunia perlulah dikebumikan dengan segera.
BACA LAGI: Kain di ampaian kena sihir waktu Maghrib? Ustazah Asmak kongsi cara elok sidai baju di malam hari
BACA LAGI: Pengamal 'childfree' bukan saja rugi di dunia malah akhirat — Pakar Agama
Pengurusan jenazah perlulah mendapat persetujuan ahli keluarga.
Bagaimanapun, jika terdapat halangan yang menyebabkan urusan pengebumian terpaksa dilewatkan, maka perkara itu dibenarkan di sisi agama.
"Bergantung dengan keadaan. Kalau ada keperluan bagi jenazah untuk lakukan bedah siasat, melibatkan kes mahkamah atau pihak politik perlu lakukan siasatan lanjut sehingga menjadi kelewatan.
"Maka, ianya dibenarkan untuk memberi ruang kepada pihak tertentu jalankan tugas mereka ke atas mayat tersebut," katanya kepada Majoriti.
Tidak hanya itu, Ahmad Yunus berkata, aspek pengurusan jenazah juga perlulah menitikberatkan soal persekitaran.
"Biasanya di kampung pukul 10 malam orang dah tidur. Jadi tiada masalah untuk dikebumikan pada waktu pagi.
"Bahkan, perkara itu dapat memberi ruang dan masa buat penggali kubur untuk membuat persiapan selain persiapan lain seperti membaca talkin," katanya.
Tambahnya lagi, waktu yang sesuai untuk pengebumian jenazah adalah perkara yang perlu ditetapkan sendiri oleh pihak keluarga.
"Untuk elak ada individu yang tertanya-tanya bila waktu kebumi, risau tak sempat lihat dan sebagainya, maka pihak keluarga perlu sentiasa menyampaikan waktu terkini kepada pihak pengurusan kariah supaya dapat memberitahu kepada penduduk kampung dan juga individu terdekat," katanya.
Bagaimanapun, mayat tidak boleh disengajakan untuk dikebumikan dalam tempoh waktu yang terlalu lambat sehingga berhari-hari.
"Jenazah tidak dikira lewat sebenarnya jika dikebumikan pada keesokan harinya pada waktu pagi.
"Ianya menjadi lewat sekiranya sengaja membiarkan mayat tidak dikebumikan berhari-hari tanpa sebab yang kukuh," katanya.
Ini kerana, Ahmad Yunus berkata, perkara itu tidak dibenarkan kerana menyamai amalan agama budha.
"Amalan agama Buddha ataupun agama Hindu yang mana mayat itu disuntik kemudiannya disimpan ke dalam Nirvana," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram