BILA ditanya siapakah individu yang paling terkaya di dunia, sudah pasti yang terlintas di fikiran mungkin salah seorangnya adalah Elon Musk, pengusaha Tesla dan SpaceX.
Pada zaman moden, kedudukan peringkat orang terkaya di dunia sering berubah-ubah dan ia bukanlah semata-mata ukuran kekayaan yang sebenar.
Hakikatnya erti kekayaan yang sebenar adalah keimanan dan ketaqwaan seseorang individu kepada jalan ALLAH.
BACA LAGI: Kain di ampaian kena sihir waktu Maghrib? Ustazah Asmak kongsi cara elok sidai baju di malam hari
Sejarawan menganggarkan kekayaan Mansa Musa adalah sekitar $400 bilion dalam nilai dolar pada masa sekarang. — Philosophy Sage
Namun jangan terkejut ya sebenarnya ada keperibadian individu yang dapat dicontohi, beliau bukan sahaja terkaya di dunia malah membelanjakan harta ke jalan ALLAH.
Walaupun disesuaikan dengan inflasi, kekayaannya masih jauh melebihi gabungan kekayaan Jeff Bezos, Elon Musk, dan Bill Gates.
Rata-rata orang belum pernah mendengar tentangnya. Siapakah beliau?
Menurut Philosophy Sage, sejarawan menganggarkan kekayaan Mansa Musa adalah sekitar $400 bilion dalam nilai dolar pada masa sekarang.
"Jumlah itu melebihi hasil gabungan keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara-negara seperti Norway dan Ireland.
"Dengan memiliki kekayaan yang hampir tidak terhad, Mansa Musa mempunyai kuasa untuk merealisasikan apa sahaja yang diinginkannya pada bila-bila masa," memetik sumber.
Nak tahu apa yang dilakukannya?
Dalam penulisan tersebut menyatakan Mansa Musa memerintah Empayar Mali di Afrika Barat pada abad ke-14, khususnya pada tahun 1300-an.
Mansa Musa, seorang penguasa yang dikenali bukan hanya kerana kekuasaan politiknya, tetapi juga kerana memiliki kekayaan yang luar biasa.
Kisah Mansa Musa sering dianggap sebagai salah satu cerita kekayaan terbesar dalam sejarah.
"Pada puncak kejayaannya, empayar yang diperintahnya meliputi kawasan seluas 500,000 kilometer persegi dan mengandungi kira-kira 5 peratus daripada populasi dunia pada masa itu.
"Pemerintahan itu semakin meningkat pesat semasa zaman kegemilangan perdagangan Afrika.
"Kunci utama kekayaan Empayar Mali adalah bekalan emas dan garam yang melimpah.
"Di bawah pemerintahannya, Mali tidak hanya menjadi pusat perdagangan emas dan garam, tetapi juga pusat pembelajaran dan budaya.
"Namun, kekayaan Mansa Musa mencapai puncaknya ketika dia melakukan perjalanan haji ke Mekah sejauh 2700 batu pada tahun 1324.
"Perjalanan haji ini adalah salah satu ekspedisi yang paling terkenal dalam sejarah," memetik sumber.
Ahli sejarah menyatakan bahawa Mansa Musa berangkat dengan rombongan yang sangat besar melibatkan ribuan pengikut, termasuk hamba, tentara, dan pembantu, serta membawa sejumlah besar emas.
Konvoi perjalanannya termasuklah, 100 ekor gajah. 60,000 individu termasuk lelaki dan wanita, 80 ekor unta yang membawa 21,000kg emas dan 12,000 hamba yang masing-masing membawa 2kg emas.
Bangunan masjid Djinguereber, Mali adalah peninggalan zaman kegemilangan Empayar Mali, sebuah kerajaan Islam di Afrika Barat. — nationalgeographic
"Konvoi itu diibaratkan sebagai sebuah 'bandar bergerak' yang meluas hingga ke ufuk.
"Kekayaan Empayar Mali datang dari bekalan emas dan garam yang sangat luas.
"Separuh daripada semua emas yang wujud di Eropah, Afrika, dan Asia pada masa itu berasal dari hanya tiga lombong emas di Mali.
"Garam juga sangat bernilai, sehinggakan beratnya bernilai di beberapa kawasan Afrika yang kekurangan garam.
"Dalam perjalanan itu, beliau tidak hanya menunjukkan kekayaannya kepada dunia tetapi juga menyebabkan inflasi emas di wilayah yang dilaluinya," memetik sumber.
Merujuk sumber tersebut, dikatakan Mansa Musa memberi begitu banyak emas sehingga menyebabkan harga emas jatuh di bandar-bandar besar seperti Kaherah, Madinah, dan Mekah.
"Kedermawanannya yang luar biasa itu menyebabkan kemelesetan harga emas selama satu dekad.
"Selain itu, kekayaan tidak terhingga itu membolehkan Mansa Musa membina sebuah masjid baru setiap Jumaat sepanjang perjalanan dua tahun itu.
"Perjalanan haji Mansa Musa bukan sahaja meningkatkan reputasi Empayar Mali tetapi juga meletakkan empayar itu di peta dunia secara langsung," tulis petikan tersebut.
Memetik hadis ada menyatakan:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : لَيْسَ الْغِنَى عَنْ كَثْرَةِ الْعَرَضِ وَلَكِنَّ الْغِنَى غِنَى النَّفْسِ.
]صحيح البخاري , كتاب الرقاق , باب الغنى غنى النفس , حديث رقم 6446[
]صحيح مسلم ، كتاب الزكاة , باب ليس الغنى عن كثرة العرض , حديث رقم 1051]
Maksudnya: Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW bersabda: “Bukanlah kekayaan itu kerana banyaknya harta, akan tetapi kekayaan itu adalah kaya hati (jiwa)."
(Hadith riwayat al-Bukhari, No.hadith : 6446, Muslim, No.hadith : 1051, at-Tirmizi, No.hadith : 2373, Ibnu Majah, No.hadith : 4137 Ahmad, No.hadith : 7015, 7240)
Jika kita lihat, lawatan Mansa Musa ke Mekah untuk menunaikan haji adalah perbuatan kuat daripada keimanan dan ketakwaan beliau.
Haji merupakan salah satu daripada rukun Islam, dan pelaksanaan haji oleh Mansa Musa menunjukkan komitmennya terhadap ajaran agama Islam.
Semasa lawatannya, Mansa Musa menunjukkan kemurahan hati yang melimpah, termasuk memberi emas kepada penduduk Kaherah dan pembesar Mesir.
Dalam konteks Islam, tindakan itu bukan sahaja mencerminkan kekayaannya tetapi juga cerminan sikap dermawan dalam Islam apabila memberikan sedekah dan menyumbang kepada masyarakat adalah amalan yang sangat dihargai.
Menurut Philosophy Sage, beliau muncul dalam Atlas Catalan 1375, salah satu peta dunia yang paling penting pada abad ke-14, apabila dia digambarkan memegang syiling emas.
"Kekayaan dan pengaruhnya menarik ribuan penyokong, pemikir, dan artis dari seluruh dunia ke Mali.
"Semasa perjalanan pulangnya dari Mekah, Mansa Musa menakluk bandar Timbuktu (sebuah kota yang terletak di Sungai Niger) dan mengubahnya menjadi pusat perdagangan, budaya, dan pembelajaran global.
"Selain itu, beliau membayar 200kg emas untuk membina Masjid Djinguereber di Timbuktu, yang masih berdiri sehingga kini.
"Universiti Timbuktu, Sankore Madrasah, mempunyai 25,000 pelajar dari pelbagai negara dan perpustakaannya menyimpan lebih daripada 1 juta buku, melebihi Perpustakaan Besar Alexandria pada puncak kejayaannya.
"Namun, penemuan semula Timbuktu oleh orang Eropah hanya berlaku pada tahun 1830-an.
"Pemerintahan Mansa Musa berlangsung selama 25 tahun sehingga kematiannya pada tahun 1337, pada umur 57 tahun.
"Kisah kekayaan dan pengaruhnya tersebar jauh melebihi Afrika, memukau Timur Tengah dan Eropah.
"Namun di Barat, legasinya sering diabaikan berbanding industrialis seperti Andrew Carnegie," tulis sumber.
Carnegie, seorang industrialis dan dermawan Amerika yang terkenal dengan kekayaannya dari industri keluli serta sumbangannya dalam mendirikan perpustakaan dan institusi pendidikan.
Artikel itu turut menyatakan walaupun statusnya sebagai individu terkaya dalam sejarah, Mansa Musa hampir tidak dikenali di luar Afrika.
Mansa Musa muncul dalam Atlas Catalan 1375, salah satu peta dunia yang paling penting pada abad ke-14, digambarkan sedang memegang syiling emas. — Mentalfloss
"Kisahnya menunjukkan kecenderungan Eurocentric dalam pendidikan sejarah.
"Satu pemikiran yang percaya bahawa Eropah adalah pusat kecemerlangan peradaban dan merupakan pendorong kepada kemajuan di sesuatu kawasan atau di seluruh dunia.
"Bayangkan betapa berbezanya dunia jika lebih ramai orang mengetahui tentang kebijaksanaan dan kepimpinan berwawasan Mansa Musa.
"Kisah Mansa Musa adalah mengenai kekayaan yang tidak dapat dibayangkan, kepercayaan Islam, pengajian, perlindungan budaya, dan kedermawanan.
"Sebagai orang terkaya dalam sejarah, beliau menunjukkan bagaimana perdagangan dan kekayaan boleh mengubah dunia apabila berada di tangan seorang pemimpin yang memiliki pandangan atau wawasan masa depan yang luas," memetik artikel.
Memetik sumber Pardee School of Global Studies menerusi catatan oleh Al-Umari yang melawat Kaherah menyatakan pada tahun 1324, Mansa Musa, melakukan perjalanan haji ke Kaherah.
Al-Umari, yang melawat Kaherah, menulis tentang kemewahan dan kemurahan hati Mansa Musa.
Al-Umari mencatat bagaimana Mansa Musa, walaupun mampu berbahasa Arab beliau enggan mengikut protokol diraja Mesir dan hanya mahu fokus pada ziarahnya.
"Apabila dia akhirnya bertemu dengan Sultan Mesir, dia menolak untuk mencium tanah tetapi bersujud sebagai tanda penghormatan kepada Tuhan," tulisnya.
Dari kisah tersebut, dapat kita pelajari bahawa Mansa Musa tetap menunjukkan rasa hormat kepada Sultan Mesir dengan cara yang sesuai dengan keyakinan agama Islam.
Sujudnya di hadapan Sultan sebagai tanda penghormatan memperlihatkan kesetiaannya kepada ALLAH, menunjukkan bahawa dalam semua tindakan dan interaksi beliau, prinsip-prinsip Islam tetap menjadi panduan utama.
Sementara itu, perkara tersebut dapat disokong menerusi satu teori dalam penulisan artikel Himpunan Mahasiswa Ilmu Ekonomi UGM (HIMIESPA) yang menjelaskan andaian bahawa Mansa Musa mengagihkan emas secara besar-besaran mengakibatkan kenaikan harga barangan biasa di Mesir (Kaherah) sebanyak empat hingga lima kali ganda.
"Ini kerana peningkatan jumlah wang yang beredar menyebabkan inflasi dan penurunan nilai wang.
Friedman (1956) menjelaskan bahawa inflasi monetari dalam kes itu disebabkan oleh pertumbuhan penawaran wang yang melebihi pertumbuhan barangan dan perkhidmatan, dengan faktor lain seperti penawaran dan permintaan mempunyai kesan yang lebih kecil.
"Teori Dasar Monetari adalah teori ekonomi yang menekankan hubungan antara penawaran wang, inflasi, dan pertumbuhan ekonomi dalam sesebuah negara," petikan artikel.
Kajian Dede Hijriani (2016) juga menunjukkan korelasi positif antara penawaran wang dan inflasi.
Tindakan Mansa Musa yang memberikan sejumlah besar emas kepada Mesir menyebabkan kejatuhan nilai emas di sana selama 12 tahun (Harris & Charlie, 2020).
Pengajaran dari kisah tersebut dalam konteks Islam, tindakan menderma dan membantu orang lain adalah sangat dihargai, tetapi kesan ekonomi yang tidak dijangka dari pengagihan wang yang besar juga menunjukkan bahawa niat baik perlu diimbangi dengan pemahaman mendalam tentang kesan ekonomi.
Penulisan itu mengulas lanjut bahawa pentingnya merancang dan melaksanakan tindakan amal dengan berhati-hati untuk mengelakkan akibat negatif, sambil tetap mengutamakan prinsip-prinsip agama.
Berdasarkan artikel, pendekatan moden untuk mengatasi masalah inflasi, seperti dasar monetari ketat, juga boleh dipertimbangkan sebagai cara untuk mengimbangi kesan ekonomi tanpa mengabaikan prinsip-prinsip amal dan kebaikan.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram