Tak sampai setahun kahwin dah cerai gara-gara dengkur, peguam syarie dedah kes perceraian tak masuk akal di Selangor


  • Mukmin
  • Jumaat, 19 Jul 2024

Pasangan suami isteri bercerai gara-gara bunyi dengkuran yang kuat. — Gambar hiasan

BERDENGKUR sewaktu tidur sekatil bersama pasangan antara punca penceraian yang berlaku di Selangor.

Seorang peguam syarie, Irsamuddin Ikhsan menjelaskan bahawa kes berkenaan bukanlah satu cerita dongeng ataupun dalam drama semata-mata tetapi benar-benar wujud di kehidupan nyata apabila dia perlu mengendalikan kes terbabit.

Irsamuddin berkata, pasangan suami isteri yang tidak didedahkan namanya itu baru sahaja menjalani kehidupan rumah tangga tidak lebih daripada setahun.

BACA LAGI: Suami hilang setahun rupanya bernikah lain di Indonesia, peguam syarie kongsi kes isteri tuntut fasakh

BACA LAGI: Suami kantoi 'nikah kampung' dengan adik kandung, kisah poligami tanpa pengetahuan isteri wajar jadi iktibar

WhatsApp Image 2024-07-18 at 10.42.43 PM

Irsamuddin Ikhsan merupakan peguam syarie bagi firma guaman Irsamuddin Fitri dan Associates.

"Si isteri ini ada masalah susah tidur, jadi apabila dengar suami dia dengkur jadi lebih susah untuk tidur," katanya kepada Majoriti.

Kesukaran untuk tidur itu seterusnya mengakibatkan si isteri susah untuk jalani hari-harinya dengan sebaik mungkin.

"Si isteri tak boleh nak laksanakan kerja dia apabila tak cukup tidur," katanya lagi..

Tidak hanya itu, Irsamuddin berkata, keadaan itu semakin parah apabila si isteri terpaksa menjalani rawatan di hospital secara berkala kerana penyakit insomnia yang dialami.

Perkara itu juga menyebabkan mereka mulai berpisah katil iaitu tidur secara asing meskipun masih berstatus sebagai suami isteri.

"Mereka berbincang untuk tidur asing. Masih serumah cuma tidur berlainan bilik," katanya.

Meskipun begitu, Irsamuddin berkata, masalah yang pada mulanya hanya kerana tidur berdengkur kini menyebabkan segala hal dalam rumah tangga menjadi serba tidak kena.

"Puncanya daripada situ. Tetapi menjadi besar sehingga berlaku pergaduhan dan sebagainya," katanya.

"Apabila tidak cukup tidur, lepas itu tidur pun berasingan. Hubungan antara suami isteri akan jadi lain. Ayat mudahnya adalah jauh hati.

"Jadi apabila keadaan sebegitu sebenarnya pihak isteri itu memang nak bercerai tetapi situasi kes yang saya kendalikan ini pihak suami yang memfailkan terlebih dahulu," katanya.

Irsamuddin berkata, si suami akhirnya memfailkan tuntutan penceraian ke atas isterinya.

"Saya mewakili si isteri iaitu pihak defendan bersetuju dengan permohonan cerai yang difailkan oleh pihak suami," katanya.

WhatsApp Image 2024-07-18 at 10.48.58 PM

Pasangan suami isteri memutuskan untuk tidur berasingan gara-gara tidak tahan mendengar bunyi dengkuran. — Gambar hiasan

Bagaimanapun, dalam kes berkenaan, si suami meletakkan beberapa syarat sewaktu memohon penceraian di Mahkamah Rendah Syariah.

"Antara syarat yang dikemukakan adalah menggugurkan hak-hak mutaah dan nafkah idah terhadap isteri.

"Mutaah ialah suatu pembayaran sagu hati yang diberikan oleh bekas suami kepada bekas isterinya selepas mereka bercerai sama ada berupa wang ataupun barang.

"Menggugurkan nafkah idah pula maksudnya wanita yang baru bercerai melepaskan haknya untuk menerima nafkah daripada bekas suaminya dalam tempoh idah itu," katanya.

WhatsApp Image 2024-07-18 at 10.51.36 PM

Isteri tidak tahan mendengar dengkuran suami. — Gambar hiasan

Namun, dalam kes berkenaan, Irsamuddin berkata, si isteri tidak bersetuju atas syarat yang dikemukakan si suami dan menyebabkan syarat berkenaan terbatal.

"Perjanjian hanya boleh direkodkan sebagai perintah mahkamah jika kedua-dua pihak bersetuju. Kalau ada pihak yang tidak setuju tidak boleh direkodkan.

"Isteri tak setuju untuk gugurkan hak-hak mutaah dan nafkah idah. Hanya bersetuju untuk bercerai. Jadi si suami tetap kena beri nafkah idah dan hak mutaah selepas bercerai," katanya.

Apabila si isteri tidak bersetuju dengan syarat yang dikenakan, terjadinya tuntutan nusyuz terhadap isterinya.

"Si suami buat tuntutan nusyuz atas alasan si isteri tidak melayani suami. Kes ini masih di peringkat sebutan iaitu dibawa ke mahkamah syariah untuk perbicaraan.

"Jadi untuk ulaskan lebih lanjut mengenai nusyuz masih terlalu awal," katanya.

Bagaimanapun, pasangan berkenaan akhirnya disahkan bercerai pada akhir bulan Jun 2024. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram