Penduduk Kedah harap OPA berjaya, penuhi keperluan harian


  • Massa
  • Isnin, 29 Jul 2024

Paras takungan di Empangan Muda mencatatkan 8.36 peratus dan Empangan Pedu 40.87 peratus setakat ini. — Gambar fail

PENDUDUK Kedah khususnya di sekitar Kuala Nerang berharap agara Operasi Pembenihan Awan (OPA) dapat meningkatkan paras air di Empangan Muda dan Empangan Pedu yang semakin menyusut, sekali gus memenuhi keperluan masyarakat di negeri itu.

Memetik laporan Buletin TV3, paras takungan di Empangan Muda mencatatkan 8.36 peratus dan Empangan Pedu 40.87 peratus setakat ini.

Hasil tinjauan orang ramai, rata-tara penduduk menyuarakan kebimbangan terhadap penyusutan paras air di Tasik Pedu yang membekalkan air kepada Empangan Pedu.

Penduduk Arman Che Ya, 43, berkata, dia menyedari kehadiran pesawat yang berlegar di udara dan tidak mengetahui tentang operasi pembenihan awan itu.

Namun selepas dimaklumkan rakannya, Arman menaruh harapan agar OPA dapat menambah takungan air.

Malah katanya, jika paras air terus menyusut, tanah perkuburan lama yang sebelum ini ditenggelami air di Tasik itu boleh dilihat.

"Kalau tidak ada hujan lepas ni mungkin boleh nampaklah,” katanya.

BACA LAGI: Empangan Muda makin susut, takungan air tidak sampai 10 peratus

BACA LAGI: Paras air Empangan Bukit Merah meningkat, namun masih tak cukup tampung keperluan agrikultur di Perak

Seorang lagi penduduk, Nadia Farhana Mohd Raznan juga meluahkan harapan serupa, menyatakan keperluan air untuk kegunaan domestik dan pertanian.

“Saya harap OPA hari ini (Isnin) berjaya, walaupun ramai yang seronok lihat empangan kering tapi kita perlu risau juga sebab empangan ini menakung air untuk kegunaan domestik dan pertanian.

“Saya lihat ada pesawat berlegar-legar kira-kira 15 minit, cuaca hari ini pun nampak redup, saya pun harap pembenihan awan ini berjaya dan hujan akan turun berterusan untuk bantu tingkatkan kembali paras air di empangan,” katanya yang berasal dari Alor Setar.

air25-o_HMfield_image_listing_th.var_1721901466

Paras takungan di tiga empangan utama di Kedah kini berada pada tahap 45 peratus, sedikit penurunan daripada 47 peratus yang dicatatkan sebelum ini, namun masih dikategorikan sebagai normal berbanding rekod terendah sebelum ini. — Buletin TV3

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid, mengumumkan bahawa OPA akan dilaksanakan di Kedah dan Perak selama tiga hari berturut-turut.

Beliau berkata operasi itu bagi meningkatkan paras air di Empangan Bukit Merah, Perak dan Empangan Muda, Kedah untuk tujuan pertanian dan kegunaan air domestik.

Berdasarkan tinjauan di Tasik Pedu, pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilihat beroperasi untuk OPA sekitar 1.50 tengah hari pada Isnin.

Menurut Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), paras takungan di tiga empangan utama di Kedah kini berada pada tahap 45 peratus, sedikit penurunan daripada 47 peratus yang dicatatkan sebelum ini, namun masih dikategorikan sebagai normal berbanding rekod terendah sebelum ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram