'Boleh jatuh haram', pendakwah bimbang salah guna gambar 'generate' AI undang fitnah


  • Mukmin
  • Isnin, 29 Jul 2024

Hukum salah guna gambar 'generate' AI adalah haram jika membawa kepada kemudaratan terhadap agama dan menjatuhkan maruah umat islam.

SEIRING perkembangan pesat teknologi dunia, banyak perkara yang sebelum ini dianggap mustahil kini menjadi semakin mudah untuk dilaksanakan.

Teknologi kecerdasan buatan (AI) yang mampu memberikan gambaran tentang situasi atau wajah seseorang semakin menarik perhatian ramai.

Platform penghasilan gambar menggunakan teknologi AI kini boleh di salah guna kerana ia boleh dihasilkan oleh sesiapa sahaja.

BACA LAGI: Campur ayat al-Quran dengan muzik 'jedaq jedug' bukan cara mulia pikat cintai kalam suci

BACA LAGI: Bukan tak boleh berwuduk dalam tandas, hati-hati lafaz niat elak jatuh hukum makruh

Persoalannya apakah hukum dan pandangan berkaitan penyalahgunaan gambar 'generate' AI yang kini menjadi kebimbangan orang ramai sehingga dapat mencetuskan fitnah terhadap agama Islam.

Tampil memberi penjelasan lanjut, Timbalan Dekan Jaringan Industri dan Masyarakat, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, teknologi AI pada masa kini menyakinkan masyarakat bahawa perbuatan fasik itu semakin berleluasa dalam kalangan manusia ataupun komuniti.

"Penggunaan gambar 'generate' AI boleh memberi gambaran yang tidak benar hingga boleh menimbulkan fitnah.

"Ia termasuk situasi memaparkan seorang wanita berhijab dan lelaki berpakaian Islamik berada dalam bar atau mana-mana kawasan yang dilarang serta bercanggah dengan syariat dan adat agama Islam," katanya.

Memetik ayat Al-quran surah Al-Hujurat ayat 6.

يٰٓايُها الذِين اٰمنُوٓا اِن جاۤءكُم فاسِقۢ بِنباٍ فتبينُوٓا ان تُصِيبُوا قوماۢ بِجهالةٍ فتُصبِحُوا علٰى ما فعلتُم نٰدِمِين

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa suatu berita, maka telitilah kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum karena kebodohan (kecerobohan), yang akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu.

"Kita sebagai mahkluk yang mempunyai akal dan agama haruslah mengenal pasti terlebih dahulu apa sahaja gambar, maklumat, percakapan yang kita dapat melalui media sosial sama ada benar atau tidak.

"Kita khuatir AI akan dilihat menjadi platform yang disalahguna oleh mana-mana pihak terbabit atau tertentu untuk menjatuhkan maruah individu.

"Jadi hal ini adalah sangat penting untuk kita memperhalusi dan mengambil iktibar daripada isu gambar AI yang telah tersebar dalam kalangan masyarakat ini," katanya ketika di wawancara Majoriti.

6140683866474659412

Antara 'generate' AI yang di salah guna oleh pengguna media sosial.

Mengulas lanjut berkenaan dengan hukum hakam, Mohd Izhar Ariff menegaskan jika gambar-gambar mahupun suara-suara AI telah digunakan tanpa keizinan pemiliknya sehingga membawa kepada fitnah maka hukumnya haram.

Hal ini adalah kerana boleh menimbulkan kekecohan, perbalahan, fitnah dalam kalangan orang Islam.

"Sekiranya seseorang itu menghasilkan gambar dan suara AI dan kemudiannya digunakan pada saluran yang betul untuk penyebaran dakwah, maklumat, dan bertujuan menegur dan membawa orang ke arah kebaikan, maka ini sebenarnya harus," katanya.

Beliau berpandangan bahawa penggunaan AI tidak dapat diharamkan secara keseluruhan kerana perlu melihat jua sejauh mana ia mendatangkan kebaikan.

"Sekiranya ia mendatangkan kebaikan maka hukumnya harus, dan sekiranya mendatangkan keburukan maka hukumnya menjadi haram," tambahnya.

Mengulas berkenaan individu yang kerap kali berkongsi gambar yang dihasilkan menerusi AI, Mohd Izhar Ariff yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah (ALPA) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) itu berkata, hukumnya adalah haram jika membawa kepada kemudaratan terhadap agama dan menjatuhkan maruah umat islam.

6140683866474659414

Gambar 'generate' AI yang memaparkan wanita berhijab di bar dikhuatiri timbul fitnah di sisi agama.

"Kita faham bahawa orang Islam tidak boleh berada dalam bar, tidak boleh berada dalam lingkungan peminum-peminum arak.

"Tapi AI ini memberi kesan menjatuhkan dan menunjukkan bahawa Islam itu tidak ada prinsip mungkin akan menyebabkan kepada perbalahan.

"Jadi nasihat saya, siapa sahaja yang mendapat gambar atau video suara-suara AI ini yang tidak kena dengan tempatnya, tidak sesuai untuk disebarkan, sepatutnya jangan kita sebar," katanya.

Beliau menekankan kepada masyarakat di luar sana agar berfikir terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang tindakan, penyebaran maklumat-maklumat atau gambar yang boleh menimbulkan fitnah dan tidak benar.

"Apatah lagi pada masa ini, orang menyalahgunakan menggunakan AI pada wajah, tubuh, suara, sedangkan perkara itu adalah fitnah semata-mata dan perlu kita berhati-hati sebelum membuat sebarang penyebaran maklumat," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram