SEJAK kebelakangan ini, penonton kerap disajikan dengan filem yang mengangkat kisah kecurangan melibatkan pasangan suami isteri, baik di Malaysia mahupun naskhah dari seberang.
Terbaharu, karya berjudul Ipar Adalah Maut yang berkisar tentang kehidupan bahagia suami isteri yang mengalami konflik selepas kemunculan adik kepada si isteri yang diminta untuk tinggal bersama mereka di bawah satu bumbung.
Sebut sahaja tinggal di dalam satu rumah sahaja, pasti ramai sudah membayangkan bagaimana pengakhiran filem adaptasi kisah sebenar itu.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Budak itu bukan anak saya,' ipar maut 'in real life' wujud di Pulau Pinang
Ipar Adalah Maut diangkat daripada kisah benar.
Meskipun sesama keluarga, tinggal serumah bersama ipar-duai tanpa kewujudan mahram sama sekali dilarang dalam Islam dan perlu dijauhi bagi menutup pintu fitnah (sadd al-dzari’ah).
Hukum itu turut ditegaskan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menerusi Irsyad al-Fatwa Siri ke-639: Hukum Ipar-Duai berlainan jantina tinggal serumah yang dimuat naik di laman web rasmi miliknya.
Mengulas lanjut, artikel itu memaklumkan, larangan tersebut dibuat sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelak timbulnya sebarang kerosakan (mafsadah) yang besar pada masa akan datang.
"Adapun, tidak mengapa ipar-duai tumpang tidur bermalam yang berasingan bilik selagi adanya mahram di sisi ipar-duai dan aman daripada fitnah.
"Mahram yang wajib ada ialah daripada pihak perempuan bukan lelaki," katanya.
Jelas PMWP, status antara ipar-duai adalah haram muaqqat iaitu haram untuk dinikahi dalam tempoh waktu tertentu.
Justeru, mereka perlu memelihara batasan aurat dan adab pergaulan ketika berinteraksi antara satu sama lain bukan seperti mahram yang lain.
"Mereka turut tidak dibenarkan berkhalwat (berdua-duaan) apatah lagi bersentuhan kulit," ujarnya.
Ia berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Berhati-hatilah kamu ketika masuk menemui wanita, lalu seorang lelaki Ansar berkata: Wahai Rasulullah, bagaimana pendapat engkau tentang ipar? Baginda bersabda: Ipar adalah maut," — Riwayat al-Bukhari (5232) Riwayat al-Muslim (2172).
Perbuatan berdua-duaan antara ipar-duai yang berlainan jantina dalam serumah tanpa ditemani orang ketiga atau mahram adalah haram. — Gambar hiasan
Jelas pejabat mufti itu lagi, Rasulullah SAW menyatakan, ipar adalah maut (al-hamwu al-maut) dalam hadis tersebut membawa maksud kebimbangan, iaitu fitnah melibatkan ipar-duai lebih bahaya berbanding dengan orang lain.
"Maksud al-Maut dalam hadis ialah kebinasaan dan kemusnahan dalam kehidupan yang mana ipar-duai lebih utama dilarang berkhalwat.
"Ini kerana berdua-duaan dengan ipar-duai membawa kepada fitnah dan kebinasaan dalam agama.
"Perbuatan berdua-duaan antara ipar-duai yang berlainan jantina dalam serumah tanpa ditemani orang ketiga atau mahram adalah haram kerana boleh menimbulkan syak dan fitnah seperti hadis yang dikemukakan dengan menyebutkan ipar sebagai al-maut," tambahnya.
Majoriti sebelum ini juga melaporkan kisah tentang kemusnahan mahligai perkahwinan dua beradik selepas episod kecurangan pasangan masing-masing selama lebih lima tahun lalu terbongkar.
Mangsa yang dikenali sebagai Putra, 38, meluahkan kekecewaannya selepas mendapat tahu anak perempuan yang ditatang bagai minyak yang penuh selama ini ternyata bukanlah puteri kandungnya.
Sebaliknya, budak perempuan berusia tiga tahun, mesra disapa Putri itu adalah anak kepada bekas adik iparnya sendiri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram