[VIDEO] Video lama rombongan lawat surau didakwa tempat Nabi Khidir solat subuh tular kembali


  • Tular
  • Ahad, 07 Jul 2024

Tangkap layar memaparkan sekumpulan individu membuat lawatan di dalam sebuah surau lama di Kampong Paloh, Terengganu pada tahun 2019.

TINDAKAN sekumpulan individu memohon 'keberkatan' daripada tiang kayu di dalam sebuah surau lama di Kampong Paloh, Terengganu menjadi bualan dalam kalangan warga maya.

Hasil tinjauan Majoriti bagaimanapun mendapati rakaman tersebut adalah video lama pada tahun 2019 yang ditularkan semula baru-baru ini.

Berdasarkan video tersebut, selain bersolat di dalam surau berkenaan, peserta rombongan yang terdiri daripada sekumpulan lelaki dan perempuan dilihat bersandar dan menyentuh tiang itu dengan telapak tangan seolah-olah ingin meminta keberkatan.

BACA LAGI: Sampai doakan malapetaka buat pemimpin sendiri, komen melampau kes pokok tumbang ditegur

BACA LAGI: Bulu kucing melekat di sejadah, pakaian, ketahui syarat sah solat

Tiang tersebut dianggap istimewa susulan wujud dakwaan mengatakan bahawa ia menjadi tempat Nabi Khidir AS bersandar ketika berjumpa dengan agamawan bernama Tok Ku Paloh.

Untuk makluman, Tok Ku Paloh atau nama sebenarnya, Sayyid Abdul Rahman Sayyid Muhammad Al-Idrus cukup terkenal di Terengganu kerana telah banyak berjasa kepada agama, bangsa dan tanah air.

Malah, dikatakan surau yang terletak berhampiran Muzium Negeri Terengganu tersebut dibangunkan oleh pejuang Islam itu.

Menurut maklumat yang dikongsikan di laman Facebook, ada yang mendakwa, semasa hayat Tok Ku Paloh, Nabi Khidir AS pernah datang untuk menunaikan solat subuh di situ sekurang-kurangnya dua kali.

"Peristiwa pertama berlaku semasa Tok ku Paloh tidak sembahyang berjemaah bersama dengan murid-muridnya.

"Jemaah mendapati ada orang asing yang berserban (dan memakai) jubah menjadi imam pada pagi itu. Selesai solat, orang yang tidak dikenali tersebut duduk bersandar di tiang sebelah kanan surau, sambil berwirid sebelum pergi menghilangkan diri,"

"Kali kedua Nabi Khidir AS datang berjemaah subuh di situ adalah ketika Tok ku Paloh menjadi imam," katanya.

Bagaimanapun, kesahihan kisah berkenaan belum dapat dipastikan sehingga kini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram