Orang ramai jangan dahului mahkamah berhubung status anak pasangan tular di Kedah — Pendakwah


  • Massa
  • Rabu, 29 Mei 2024

Anak tak sah taraf berkenaan akan dinasabkan kepada ibunya meskipun ujian DNA mengesahkan identiti bapanya. — Gambar hiasan

PASANGAN yang mempunyai anak dengan status keturunan diragui perlu melakukan pengurusan nasab bagi kanak-kanak tersebut di Mahkamah Syariah dan melalui pihak berkuasa yang berautoriti, kata pendakwah terkenal, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim.

Beliau yang juga pensyarah Fiqh Fatwa Semasa di Pusat Kajian Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, langkah itu amat penting bagi memastikan status keturunan dan masa depan anak berkenaan.

"Perkara ini perlu disahkan di pihak Mahkamah Syariah dan perlu rujuk kepada pihak berautoriti. Oleh demikian, semua ini akan ditentukan pihak berautoriti sama ada anak itu anak mereka atau sebaliknya atau anak itu boleh dibinkan kepada mereka atau sebaliknya.

"Tiada siapa boleh menentukan nasab anak ini kecuali pihak berautoriti. Jadi nasihat saya kepada orang ramai agar tidak mendahului mahkamah dan serah kepada mahkamah termasuk Jabatan Pendaftaran Negara," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Penjimatan subsidi sahaja tidak cukup, perlu ada rombakan sistem percukaian — Pakar ekonomi

BACA LAGI: Malaysia tak cukup pakar pokok — PArM

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai isu melibatkan pasangan yang tular baru-baru ini selepas mereka dirakam membawa seorang bayi lelaki dengan membawa alat bantuan pernafasan dengan menaiki motosikal untuk ke hospital.

Insiden tersebut mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

2639631

Pensyarah Fiqh Fatwa Semasa di Pusat Kajian Syariah, Fakulti Pengajian Islam UKM, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim

Isu tersebut bagaimanapun menimbulkan kontroversi selepas pasangan tersebut dilaporkan masih belum berkahwin.

Susulan daripada itu, kedua-dua mereka kemudiannya dikenali sebagai Mohd Azlan Ishak, 36, dan Nor Hidayu Halim, 34, dilaporkan sudah mendirikan perkahwinan pada Selasa.

Pada masa sama, ketika majlis pernikahan yang berlangsung di Masjid Al Maarufi Seberang Kota, Kuala Kedah, Kedah, jurunikah pasangan terbabit turut menasihatkan mereka supaya menyelesaikan urusan nasab bayi berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohd Izhar berkata, Islam sangat menekankan terhadap aspek nasab atau keturunan bagi seseorang individu termasuk kanak-kanak yang baru dilahirkan.

"Dalam keadaan seperti ini, nasab anak-anak ini perlu dijelaskan secara bertulis supaya masa depan anak itu terjamin. Kita tidak mahu perkara-perkara yang terlarang berlaku kepada anak-anak ini setelah mereka dewasa.

"Sebab contohnya kalau kita gunakan wali daripada orang bukan sepatutnya disebabkan nasab yang tak jelas, maka saya khuatir ia akan menyebabkan perkahwinan anak ini tidak sah dan ia akan berikan kesan tidak baik kepada keluarga dan seumpamanya.

"Jadi oleh sebab itu kena balik kepada undang-undang dan hukum syarak dalam menentukan nasab anak tersebut," ujarnya.

Dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-57 pada 2003 menetapkan seseorang anak tak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menentukan kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak tersebut.

2719224

Azlan dan Hidayu sah bergelar suami isteri selepas dinikahkan oleh Imam Masjid Al Maarufi selepas solat Asar dengan sekali lafaz. — Instagram/Sinar Harian

Fatwa tersebut turut menetapkan dua definisi anak tak sah taraf iaitu pertama, anak dilahirkan di luar nikah sama ada akibat zina atau rogol dan bukan daripada persetubuhan syubhah atau bukan daripada anak perhambaan serta kedua, anak dilahirkan kurang dari enam bulan dua lahzah (saat) mengikut dari tarikh bersetubuh.

Dalam pada itu menjelaskan mengenai kedudukan nasab anak tersebut, Mufti Wilayah Persekutuan menerusi soal jawab yang dikongsikan di laman webnya berkata, anak tak sah taraf berkenaan akan dinasabkan kepada ibunya meskipun ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan identiti bapanya.

"Apabila dilahirkan, anak anak tidak sah taraf tetap dianggap sebagai manusia tetapi dinafikan hak sebagai anak, faraid, dan wali perkahwinan. Secara alternatif, anak berkenaan dinasabkan kepada ibunya, wasiat boleh diberikan dan wali perkahwinan adalah wali hakim.

"Jika lelaki yang berzina itu berkahwin dengan ibunya, dia dianggap sebagai bapa tiri yang membolehkan mereka berdua berkhalwat, bersalaman dan mendedahkan aurat seperti hukum mahram muabbad (haram untuk dinikahi selama-lamanya)," ujar kenyataan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram