Penjimatan subsidi sahaja tidak cukup, perlu ada rombakan sistem percukaian — Pakar ekonomi


  • Massa
  • Isnin, 27 Mei 2024

Pada ketika ini, nisbah cukai berbanding KDNK di Malaysia disifatkan masih rendah iaitu sekitar 12.5 peratus berbanding negara maju lain yang kadar nisbahnya mencapai antara 35 hingga 39 peratus. — Gambar hiasan

KERAJAAN tidak boleh bergantung semata-mata terhadap penjimatan bakal diperoleh daripada penyasaran semula subsidi bahan api sekiranya mahu kembali memulihkan kedudukan fiskal negara.

Pensyarah Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai, perbelanjaan kerajaan dijangka akan terus mengalami defisit sekiranya negara tidak memperkenalkan sebarang perubahan terhadap sistem percukaian termasuk dengan memperkenalkan cukai baharu.

Menurut beliau, pada ketika ini, nisbah cukai berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di Malaysia disifatkan masih rendah iaitu sekitar 12.5 peratus berbanding negara maju lain yang kadar nisbahnya mencapai antara 35 hingga 39 peratus.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Dulu setinggan Indonesia, sekarang Rohingya pula 'conquer' Kuala Lumpur'

BACA LAGI: Lesen memandu jauh lebih mahal berbanding gaji minimum, desak wujudkan subsidi bersasar atau tetapkan harga siling

"Ini memberikan isyarat bahawa kita di Malaysia ini kurang mencukai. Jumlah kutipan cukai kita tidak cukup, kerana itu kita mengalami defisit fiskal setiap tahun, di mana pendapatan kita tidak cukup untuk menampung perbelanjaan.

"Kita perlu tingkatkan pendapatan kita. Alternatifnya (jika tidak perkenal cukai baharu), kita boleh cuba kurangkan perbelanjaan. Tapi itu sangat susah sebab kita ada bermacam keperluan termasuk bagi menyediakan subsidi dan bantuan kepada rakyat.

"Jadi kita sebenarnya perlu merombak sistem percukaian kita. Ini memerlukan satu usaha lebih serius dan melihat kesemua semua aspek percukaian dan kemudian kemukakan satu cadangan komprehensif untuk wujudkan satu cukai lebih produktif, adil dan saksama," katanya kepada Majoriti.

2714491

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu yang memaklumkan kerajaan ketika ini tidak bercadang memperkenalkan instrumen percukaian baharu.

Sebaliknya, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pentadbiran kerajaan kini menumpukan untuk melaksanakan rasionalisasi subsidi lebih adil bagi memenuhi keperluan rakyat.

Anwar berkata, kerajaan tidak mahu memperkenal intrumen percukaian baharu, sebaliknya melakukan penyasaran subsidi lebih adil dan menepati keperluan rakyat.

Mengulas lanjut, Barjoyai berkata, jumlah penjimatan yang diperoleh hasil penyasaran subsidi itu disifatkan jauh daripada mencukupi sekiranya kerajaan mahu memulihkan tahap fiskal negara yang sekian lama berada di bawah defisit.

"Contohnya diesel sekarang ini kita belanja sampai RM14 bilion untuk subsidi. Tapi bila kita cuba nak buat rasionalisasi, kita tak dapat balik RM14 bilion itu. Kerajaan hanya sasar dapat jimat RM4 bilion.

"Begitu juga kalau dia selaraskan semula subsidi petrol. Hari ini kita beri subsidi RM35 bilion, tapi kita takkan dapat 35 bilion. Mungkin kita hanya dapat balik dalam RM15 bilion atau RM20 bilion.

"Jadi makna banyak lagi perlu kita lakukan kecuali kalau kita hapuskan semua subsidi dan bantuan yang diberikan. Baru kita boleh jimatkan sampai RM50 bilion (jumlah keseluruhan subsidi). Tapi itu bukan matlamat kita," katanya.

1842443

Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai

Rombakan sistem percukaian

Menyentuh mengenai rombakan terhadap sistem percukaian di dalam negara yang boleh dilaksanakan, Barjoyai berkata, langkah tersebut boleh dilaksanakan dengan memberikan tumpuan terhadap kumpulan berpendapatan tinggi di dalam negara.

Ia antara lain dengan memperkenalkan cukai baharu seperti cukai terhadap dividen dan juga keuntungan jual beli saham.

"Saya rasa kumpulan berpendapatan tinggi di Malaysia masih membayar cukai sangat rendah. Ada mereka yang tidak pernah bayar cukai kerana pendapatan mereka memang tidak pernah dicukai di Malaysia.

"Contohnya mereka yang dapat dividen. Kalau mereka hanya pemegang saham dalam syarikat tersenarai, tiap-tiap tahun dia dapat dividen, tapi dia tak perlu bayar cukai sebab dividen tidak dicukai di Malaysia.

"Begitu juga orang yang secara profesional duduk di rumah tapi lakukan jual beli saham. Keuntungan daripada jualan saham itu juga tidak dicukai sebab itu dianggap sebagai keuntungan modal.

"Jadi ini merupakan asas sumber di mana cukai boleh dikenakan dan kita boleh dapat tingkatkan hasil cukai untuk pendapatan negara," ujar beliau.

Pada masa sama, Barjoyai turut menegaskan usaha merombak percukaian negara itu tidak semestinya membawa maksud kerajaan perlu kembali memperkenalkan sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST) bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

1608048

Barjoyai berkata, sistem SST sedia ada yang diguna pakai ketika ini sudah mempunyai kebaikan yang tersendiri untuk membantu negara memperoleh pendapatan percukaian.

Ini kerana menurutnya, sistem SST sedia ada yang diguna pakai ketika ini sudah mempunyai kebaikan yang tersendiri untuk membantu negara memperoleh pendapatan percukaian.

Sekiranya kerajaan mahu meningkatkan lagi hasil daripada cukai kepenggunaan tersebut, beliau berkata, ia boleh dilakukan dengan melaksanakan penambahbaikan terhadap beberapa kelemahan yang wujud dalam sistem berkenaan.

"Contohnya sekarang masalah paling utama untuk SST ialah kenaikan harga barang yang disebabkan oleh cukai atas cukai yang dikenakan menyebabkan pengguna terpaksa membayar cukai berganda.

"Ini boleh dielakkan sekiranya kita ubah peraturan SST misalnya dengan tidak mengenakan cukai ke atas input.

"Kemudian untuk pastikan kita ada rekod terperinci terhadap seluruh rantaian urus niaga, kerajaan mungkin boleh buat penambahbaikan dengan pastikan setiap peruncit misalnya perlu ada rekod lengkap tentang urus niaga dilakukan," katanya.

Barjoyai menambah, langkah untuk mengembalikan sistem cukai kepenggunaan kepada GST dilihat tidak begitu sesuai pada waktu ini kerana ia hanya akan melibatkan banyak kos pelaburan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram