Selesai akad nikah, imam masjid minta pasangan tular urus nasab anak


  • Massa
  • Selasa, 28 Mei 2024

Azlan dan Hidayu sah bergelar suami isteri selepas dinikahkan oleh Imam Masjid Al Maarufi selepas solat Asar dengan sekali lafaz. — Instagram/Sinar Harian

PASANGAN tular yang membawa bayi menggunakan alat pernafasan dengan menaiki motosikal akhirnya selamat dinikahkan di Masjid Al Maarufi Seberang Kota, Kuala Kedah, Kedah pada Selasa (28 Mei).

Mohd Azlan Ishak, 36, dan Nor Hidayu Halim, 34, sah bergelar suami isteri selepas dinikahkan oleh Imam Masjid Al Maarufi selepas solat Asar dengan sekali lafaz.

Nor Hidayu yang memakai baju sedondon putih dengan Mohd Azlan menerima mas kahwin RM1,000 dan sebentuk cincin emas.

BACA LAGI: JKM digesa campur tangan, bela nasib bayi pasangan didakwa ketagih dadah, 'scammer' sejak 2016

BACA LAGI: Mak ayah adik Aariz Zafran hilangkan diri, tinggalkan nenek hidap angin ahmar sendirian

Sebelum ini, pasangan tersebut tular selepas gambar mereka membawa bayi lelaki memakai alat bantuan pernafasan dengan menaiki motosikal mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun timbul kontroversi apabila pasangan berkenaan diarahkan berpisah kerana tiada hubungan perkahwinan.

Menurut laporan Sinar Harian, Muhammad Hazamer yang juga Pengerusi Masjid Al Maarufi Seberang Kota berkata, pihaknya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang membantu memudahkan urusan pernikahan pasangan tersebut.

Menurutnya, masyarakat diharapkan agar terus memberikan sokongan kepada pasangan berkenaan untuk meneruskan kehidupan baharu.

"Mereka ini sudah berusaha untuk menghalalkan hubungan dan seharusnya kita menolong mereka dengan tidak berbicara yang buruk tentang status perkahwinan mereka ini.

"Selepas selesai urusan akad nikah ini, saya nasihatkan dia juga untuk selesaikan urusan nasab anaknya pula," katanya.

Muhammad Hazamer berkata, pasangan tersebut terpaksa difaraqkan (dipisah) buat sementara waktu dan pihaknya akan cuba membantu untuk melengkapkan dokumen dan proses pernikahan mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram