Bapa tular bawa anak hidap penyakit kronik ke hospital tunggang motosikal terharu dapat perhatian PM Anwar


  • Primer
  • Selasa, 21 Mei 2024

Kesukaran yang dihadapi keluarga Azlan kini mendapat perhatian Perdana Menteri.

KESUSAHAN dihadapi sepasang suami isteri yang tular selepas terpaksa membawa bayinya berusia 11 bulan yang menghadapi masalah kesihatan serius dengan menaiki motosikal kini mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Politik Perdana Menteri Ahmad Farhan Fauzi menerusi hantaran di Facebooknya pada Rabu.

"Mohon sesiapa yang mempunyai info dan maklumat tentang keluarga ini untuk salurkan kepada saya di ruangan komen di bawah agar kami dapat menghubungi mereka. Hal ini telah mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan insya-ALLAH pihak kami akan membantu keluarga ini dalam menambah baik kehidupan seharian mereka," ujarnya.

BACA LAGI: Dua reformasi pilihan raya lebih mendesak berbanding isu pelantikan ahli, Pengerusi SPR

BACA LAGI: Iklan kerja kosong PBT terima kecaman, ramai anggap sekadar wayang padahal dah ada calon kabel

Terdahulu, tular foto memaparkan sepasang suami isteri yang membawa anaknya yang mengalami masalah paru-paru dan bergantung kepada alat pernafasan menaiki motosikal untuk menghantarnya ke hospital.

Difahamkan, pasangan itu, Mohd Azlan Ishak, 36, dan isterinya Norhidayu Halim, 35, dari Taman Kota Nelayan, Kuala Kedah tidak mampu membayar tambang teksi kerana mempunyai sumber pendapatan terhad sebagai pembantu di pelantar ikan dengan gaji harian RM50 sehari.

Keadaan itu menyebabkan mereka perlu berulang-alik ke hospital menaiki motosikal bagi mengambil ubat.

Dalam pada itu, Azlan ketika dihubungi Majoriti berkata, dia amat terharu dan bersyukur kerana keadaan yang dialami oleh keluarganya itu mendapat perhatian daripada Perdana Menteri sendiri.

"Saya sangat berterima kasih banyak kerana Perdana Menteri sudi untuk memberikan perhatian terhadap situasi yang dihadapi oleh anak saya ketika ini," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram