"SETIAP kali ditanya status rumah, automatik mengalir air mata,".
Itu antara luahan pembeli unit Residensi Hektar Gombak yang masih menghitung detik untuk menjejakkan kaki ke kediaman baharu yang dibeli sejak enam tahun lalu.
Wan Nor Nadia adalah salah seorang daripada 2,400 pembeli yang masih belum menerima kunci rumah idaman mereka yang sepatutnya diserahkan pada 3 Mei 2022.
Mahu tidak mahu penyerahan itu terpaksa ditangguhkan atas faktor penularan wabak Covid-19.
Difahamkan, pemaju diberikan masa tambahan dan tarikh penyerahan kunci diubah kepada 19 Mac 2023 namun sehingga ke hari ini, projek berstatus Tanah Rizab Melayu itu masih belum siap.
Menerusi satu hantaran di laman Facebook, Wan Nor Nadia berkata, dia sudah pun membuat bayaran ansuran sejak Disember 2018, manakala bayaran penuh bermula Disember 2022.
"Yang lalui sahaja tahu apa yang dilalui. Jawapannya ada pada gambar.
"Nampak seolah-olah hampir siap, tapi sebenarnya dah terbengkalai hampir setahun lebih," katanya.
BACA LAGI: [VIDEO] Dah anggap macam keluarga, instafamous terkejut tengok CCTV anak kena dera pengasuh
Keadaan di tapak pembinaan Residensi Hektar Gombak pada 26 Januari lalu. — Facebook/Wan Nor Nadia
BACA LAGI: [VIDEO] Dah anggap macam keluarga, instafamous terkejut tengok CCTV anak kena dera pengasuh
Luah wanita itu lagi, meskipun berat, dia menganggap semua ini adalah ujian daripada ALLAH SWT.
"Salah satu ujian dunia ALLAH nak uji dalam bentuk harta. Mungkin ramai yang nampak dan fikir, kerja peguam tapi buat kerja sambilan bagai jual perkakas dapur, kita ini mengejar dunia semata.
"Hakikatnya, dengan kos sara hidup yang tinggi, ditambah anak-anak sedang membesar dan macam-macam lagi, saya kena terus kuat untuk keluarga," luahnya.
Untuk rekod, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengklasifikasikan Residensi Hektar Gombak yang terletak di Gombak, Selangor itu sebagai projek perumahan 'sakit'.
Mengulas lanjut mengenai perumahan kondominium tersebut, Wan Nor Nadia memaklumkan, ia merupakan salah satu projek perumahan di bawah program Kerajaan Persekutuan iaitu Kementerian Wilayah Persekutuan (Residensi Wilayah) yang dimajukan oleh pemaju Hektar Aneka Sdn Bhd dan dilesenkan di bawah Akta Pemajuan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118).
Pembeli-pembeli unit Residensi Hektar Gombak masih menghitung hari untuk menjejakkan kaki ke kediaman baharu. — Facebook/Residensi Hektar Gombak
Katanya, dia membeli rumah berkenaan atas beberapa faktor antaranya disebabkan rumah itu adalah di bawah projek kerajaan, jadi masalah sebegini tidak sepatutnya berlaku.
"Lokasinya juga strategik, (hanya) 10 kilometer (km) saja untuk saya ulang-alik ke tempat kerja di Bukit Bintang.
"Rumah tersebut juga memiliki ciri-ciri Islamik dan pemiliknya semua Melayu.
"(Melihat) keadaan kewangan pada tahun 2018, kami layak untuk beli rumah ini memandangkan ada beberapa komitmen lain seperti pinjaman kereta, sewa rumah dan kos sara hidup di Kuala Lumpur yang sememangnya tinggi," jelasnya lagi.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah dilaporkan berkata, Residensi Hektar Gombak diklasifikasikan sebagai projek sakit kerana mengalami kelewatan berbanding jadual kerja yang ditetapkan dalam Perjanjian Jual Beli (PJB) dan gagal untuk disiapkan dalam tempoh PJB.
Status kemajuan sebenar di tapak kekal sebanyak 84.75 peratus dan kerja-kerja di tapak hanya minimum serta tidak memberikan kemajuan yang signifikan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram