Pernah berlakon bersama Shah Rukh Khan, cita-cita asal 'King' Ridzuan Hashim rupanya pemain bola sepak


  • Hiburan
  • Sabtu, 06 Mei 2023

Ridzuan Hashim berlakon dengan Shah Rukh Khan dalam filem Don 2.

INDUSTRI hiburan tanah air dikejutkan dengan pemergian pelakon Ridzuan Hashim dipercayai akibat sakit jantung pada Khamis.

Memulakan kerjaya dalam bidang lakonan seawal tahun 1980-an, Allahyarham Ridzuan atau nama lengkapnya Mohd Redzuan Hashim, 62, pada awalnya bercita-cita untuk menjadi pemain bola sepak.

Arwah dikatakan menyertai Pasukan Melayu Wilayah Persekutuan. Bagaimanapun disebabkan beberapa tentangan, perkara itu tidak dapat direalisasikan.

Pakej sebagai jejaka tampan, dengan kelebihan tinggi lampai membuatkan dirinya mudah untuk menceburkan diri dalam bidang seni.

Berikut antara filem yang dibintangi oleh aktor tersebut sejak awal pembabitan dalam dunia seni hingga karya terakhir.

Hati Bukan Kristal, 1990

Diarahkan oleh Raja Ahmad Alauddin sementara skrip dihasilkan menerusi gandingan Adibah Amin dan Datuk Habsah Hassan pada 1990.

Karya ini menceritakan tentang kehidupan wartawan yang optimis kepada kerjaya mereka dalam menyampaikan berita kepada masyarakat.

Membawakan watak sebagai Razief, Ridzuan memegang peranan sebagai wartawan meja jenayah yang cuba untuk menyelesaikan kes pelacuran dan sugar daddy.

Selain itu, filem tersebut turut dibintangi oleh Erma Fatima, Adibah Amin, Zaiton Sameon, Datuk Shah Rezza, Imuda, A.Rahim dan Cik Puan Julia Rais.

Ghazal Untuk Rabiah, 1997

Membawakan watak antagonis, Ridzuan memegang peranan sebagai Eddy yang merupakan seorang sugar daddy kepada Rabiah lakonan Wilma Muhammad.

Dalam filem ini, Ridzuan berlakon bersama bekas isterinya Didie Alias yang memegang watak sebagai isteri Eddy.

MySpy, 2009

majoriti2023 (79)

Diarahkan oleh Datuk Afdlin Shauki, Ridzuan membawakan watak sebagai Datuk O yang merupakan seorang jutawan dan terlibat dalam aktiviti jenayah.

Kegiatan haram Datuk O diketahui selepas isterinya, Datin Mariana lakonan Maria Farida yang mengesyaki dirinya mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain.

Selain Ridzuan dan Maria, filem tersebut turut dibintangi oleh Datuk AC Mizal, Harun Salim Bachik, Hannah Tan, Daphne Iking, Adlin Aman Ramlie, Jalil Hamid, Mamat Khalid dan Que Haida.

KL Gangster, 2011

majoriti2023 (78)

Nama Ridzuan Hashim meledak selepas membawakan watak King dalam filem KL Gangster arahan Syamsul Yusof.

Membariskan pelakon antaranya Datuk Aaron Aziz, Syamsul Yusof, Datuk Adi Putra, Soffi Jikan, Zizan Razak, Adam Corrie, Ku Faridah, Sheera Iskandar dan Zack Taipan.

Menceritakan King sebagai ketua gangster di Kuala Lumpur mempunyai anak tiri bernama Shark.

Don 2, 2011

majoriti2023 (80)

Membuat kemunculan khas dalam filem Bollywood, Don 2, Ridzuan membawakan watak sebagai Jaruwan yang merupakan seorang ketua kongsi gelap.

Perkara itu tentu sahaja menjadi kebanggaan Ridzuan apabila berkongsi layar bersama aktor popular dunia, Shah Rukh Khan.

Daddyku Gangster, 2022

majoriti2023 (76)

Filem aksi komedi ini menjadi antara karya terakhir Ridzuan di layar perak.

Ditayangkan pada 2022, membawakan watak sebagai Zaki yang terlibat dengan aktiviti kongsi gelap.

Filem arahan Ismail Bob Hashim ini dibintangi oleh Zul Huzaimy, Faizal Hussein, Adeline Tsen, Jay Iswazir, Reen Rahim dan Zalif Sidek. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram