Bolehkah bangun sahur hanya minum segelas air putih dan sebiji kurma? Ketahui pandangan ulama


  • Mukmin
  • Jumaat, 07 Apr 2023

Bersahur merupakan salah satu sunnah Rasullah SAW dan tidak pernah ditinggalkan oleh Nabi dan para sahabat Baginda. — Gambar hiasan

APABILA tibanya Ramadan, dua perkara yang dititkberatkan iaitu waktu berbuka dan bersahur. Bukan sahaja soal ketepatan waktu agar tidak membatalkan puasa, tetapi keberkatan dalam menikmati hidangan itu juga perlu diberi perhatian.

Sudah tentu waktu berbuka menjadi detik paling dinantikan sementelah pula seharian tidak makan dan minum. Namun, bagaimana pula dengan bersahur yang ada sebilangannya mengambil mudah kerana tidak mahu mengganggu waktu tidur?

Sebilangan umat Islam dijangka meluangkan masa kira-kira satu jam sebelum azan Subuh berkumandang bagi menyempurnakan sahur mereka. Masa yang ada digunakan untuk membuat persiapan sama ada memasak atau memanaskan baki makanan selepas berbuka.

2018_05_17_46131_1526549557._large

Bangun bersahur dengan hanya memakan sebiji kurma juga sudah mendapat keberkatan ALLAH.

Bagaimanapun, terdapat juga mereka yang hanya bangun tidur semata-mata untuk minum seteguk air putih dan sebiji kurma.

Pensyarah Pengajian Islam Universtiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), Mohamad Dininazmi Sabri, berkata, sahur adalah tuntutan sunnah yang paling besar dalam amalan Nabi Muhammad SAW dan baginda tidak pernah meninggalkannya.

Sahur juga menjadi pemisah antara amalan berpuasa agama Islam dengan pengikut agama lain. Perkara ini dapat dilihat dalam sabda Rasullullah:"Pemisah, perbezaan di antara puasa kita dengan ahli kitab adalah dengan bersahur." (Hadis riwayat Abu Daud)

majoriti2023 (66)

Mohamad Dininazmi

"Nabi menyebut, bersahurlah kerana dalam bersahur itu ada keberkatan. Apa yang dimaksudkan dengan keberkatan itu ialah bersahur dapat memberi tenaga dan membantu seseorang menjalani hari-hari puasa tanpa rasa penat.

"Apabila badan kuat, tidak lemah, melakukan ibadah juga boleh buat, lebih-lebih lagi Ramadan ini ALLAH akan menggandakan setiap amal dan kebaikan yang dilakukan," jelasnya kepada Majoriti.

Tambahnya lagi, jangan pernah meninggalkan sahur meskipun sekadar minum segelas air putih bersama sebiji kurma.

"Bersahur ini merupakan amalan sunnah yang boleh mendapat pahala jika melakukannya. Biarpun dengan hanya sebiji kurma atau segelas air kosong. Itu juga dikirakan sebagai bersahur," ujarnya.

Sementara itu, Mohamad Dininazmi memberitahu, puasa bagi mereka yang enggan bersahur tidak akan terbatal.

muslim-family-break-fasting-together-home-180486498

Ambil peluang untuk mendapatkan keredaan ALLAH sepanjang bulan Ramadan dengan bangun bersahur.

"Mereka boleh berpuasa seperti biasa, tetapi keberkatan dan nikmat dalam bersahur itu tiada. Ingat, bersahur ini merupakan sunnah Rasulullah.

"Tidak salah bangun awal sedikit untuk tunaikan solat Subuh dengan menjamah makanan. Biarpun makanan yang diambil itu sedikit, tetapi pahala dan rahmat ALLAH itu sangat besar," terangnya.

Secara ringkasnya, ambil peluang pada waktu sahur untuk beristighfar dan memohon keampunan daripada ALLAH SWT. Tidak salah korbankan sedikit masa di Ramadan yang hanya tiba sekali setahun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram