KEDATANGAN Ramadan menjadi antara perkara yang paling dinantikan oleh seluruh umat Islam.
Masakan tidak, kerana bulan mulia ini ALLAH SWT akan menggandakan setiap amal ibadah yang dilakukan.
Paling utama, lakukannya dengan penuh ikhlas kerana ALLAH SWT. Semoga setiap amalan yang dilakukan itu mendapat rahmat dan keredaan ILAHI.
Oleh itu lakukan seberapa banyak amal kebaikan seperti solat, berdoa, bersedekah dan menjaga adab percakapan tidak mengira sama ada pertuturan lisan atau kata-kata di media sosial.
Ambil kesempatan Ramadan untuk berbuat baik dan tidak menggunakan kata-kata nista sehingga mampu menguris hati atau menyebabkan pergaduhan antara pihak tertentu.
Ebit Lew menasihatkan agar tidak mudah menilai keperibadian seseorang sekiranya individu itu memilih untuk berubah menjadi lebih baik.
Pendakwah selebriti popular, Ustaz Ebit Lew, berkata, gunalah kata-kata pujian sebagai tanda sokongan buat mereka yang berusaha untuk mengubah diri ke arah kebaikan.
“Katakanlah kepada mereka masya-ALLAH tahniah. Semoga akan terus berkekalan atau istiqomah. Jangan pula mengeluarkan perkataan yang mungkin menguris hati mereka.
“Cuba untuk melakukan kebaikan seberapa banyak yang termampu. Memang benar langkah pertama itu selalunya sulit, tetapi insya-ALLAH setiap usaha dilakukan akan mendapat balasan.
“Jangan takut untuk berubah ke arah kebaikan kerana Ramadan boleh menjadi permulaan terbaik untuk kita perbetulkan kesilapan dan buka buku baru,” katanya kepada Majoriti.
Rebut peluang untuk melakukan seberapa banyak kebaikan pada bulan Ramadan sehingga menjadi kebiasaan.
Meskipun sudah berusaha mengubah ke arah kebaikan, namun ada juga yang berkemungkinan berdepan dengan kegagalan sekali gus kembali menjalani kehidupan seperti sebelumnya.
Kata Ebit, apabila perkara itu berlaku, perkara utama ialah jangan pernah mengaku kalah dan terus berusaha untuk menjadi lebih baik.
“Setiap perkara yang kita lakukan tentu sahaja ada cabarannya tersendiri. Memang bukan mudah untuk berubah sekelip mata. Tetapi lakukan dengan perlahan-lahan.
“Kalau dulu tidak tutup aurat, sekarang mula perlahan-lahan untuk menutup aurat sehingga menjadi sempurna. Jaga solat dan banyakkan berdoa.
“Kalau Ramadan rajin pergi ke masjid untuk menunaikan solat tarawih dan berjemaah, apa kata jadikan itu amalan selepas ini. Ramadan berakhir bukan bererti kita berhenti kunjungi masjid. Terus jadikan itu sebagai amalan dan rutin setiap kali solat berjemaah,” terangnya.
Ringkasnya, berilah sokongan kepada mereka yang berusaha untuk berubah ke arah kebaikan. Biarpun segelintirnya tewas, jangan jadikan mereka sebagan sasaran untuk melepaskan kata-kata menyakitkan hati.
Beri ruang dan nasihat agar mereka mendapat reda ALLAH. Bukan sahaja mereka yang tidak solat, minum arak, berbuat maksiat, tidak tutup aurat, tetapi kita semua perlu terus istiqomah melakukan amal kebaikan. Sesungguhnya manusia itu bukan sempurna dan tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram