DALAM kalender Hijrah, Ramadan merupakan bulan kesembilan dan menjadi waktu yang paling dinantikan oleh seluruh umat Islam di dunia.
Manakan tidak, Ramadan memberi peluang untuk memperbaiki dan mendekatkan diri dengan SANG PENCIPTA selain mendapatkan pahala berlipat ganda.
Setiap bulan Ramadan, umat Islam akan menjalani ibadah puasa selama 29 hingga 30 hari mengikut penetapan anak bulan.
Ketepatan tarikh awal Ramadan agak berbeza setiap tahun kerana kalender Islam (Hijrah) berdasarkan fasa bulan (anak bulan).
Setiap amalan mulia yang dilakukan kerana ALLAH akan dilipat gandakan pahalanya seperti melakukan sedekah, membaca al-Quran, mendengar kuliah agama, solat sunat tarawih dan berdoa.
Ramadan menjadi antara bulan yang paling dinantikan oleh seluruh umat Islam di seluruh dunia.
Golongan yang wajib berpuasa pada bulan Ramadan
- Umat Islam yang sihat dan tidak menghidap berpenyakit kronik
- Wanita tidak haid atau nifas
- Tidak gila
- Tidak uzur (warga emas)
- Baligh
- Tidak murtad
Niat puasa
Umat Islam perlu berniat untuk berpuasa keesokan harinya.
Lafaz niat puasa harian:
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ أَنْ أَدَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ لِلَّهِ تَعَالَى
Bahasa rumi: Nawaitu Souma Ghadin An Ada-‘i, Fardhi Syahri Ramadhana Hazihis Sanati Lillahi Taala
Maksudnya: Sahaja aku berpuasa esok hari pada bulan Ramadan tahun ini kerana ALLAH Taala.
Lafaz niat puasa sebulan:
نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ رَمَضَانَ كِلِّهِ لِلَّهِ تَعَالَى
Bahasa rumi: Nawaitu Souma Syahri Ramadhana Kul’lihi Lillahi Taala
Maksudnya: Sahaja aku berpuasa keseluruhan pada bulan Ramadhan kerana Allah Taala.
Memperbanyakkan amal ibadah antara yang perlu dilakukan sepanjang bulan Ramadan.
Persiapan sebelum Ramadan
Meningkatkan keimanan. Melakukan persediaan asas untuk menambahkan keimanan seperti lengkap solat lima waktu. Tidak melakukan perbuatan sia-sia seperti mengumpat dan merokok.
Melakukan persediaan fizikal dan jasmani. Meningkatkan tahap kesihatan yang optimum. Lakukan aktiviti fizikal yang dapat meningkatkan kesihatan diri agar menjadi lebih sihat. Mulakan dengan bersenam lebih kerap dan mengambil makanan tambahan atau vitamin agar lebih bertenaga.
Mendalami ilmu agama. Kerap menghadirkan diri ke kuliah agama. Belajar untuk melakukan ibadah yang lebih baik atau dengan lebih khusyuk.
Amalan bersedekah. Jadikan amalan bersedekah sebagai satu budaya dan kerap dilakukan. Uruskan kewangan dengan lebih bijak bagi mengelakkan pembaziran.
Sediakan kelengkapan beribadah. Bagi mengukuhkan lagi iman, sediakan kelengkapan ibadah dengan sempurna sama ada di rumah, tempat kerja atau ketika bermusafir kerana ia dapat membantu melakukan ibadah dengan lebih optimum.
Manfaat Ramadan
Rohani
- Mendidik diri agar menjauhi perkara mungkar.
- Mengajar erti bersederhana dan bersyukur.
- Mengawal nafsu daripada marah, boros berbelanja dan merendahkan diri.
- Mengajar diri untuk bersabar.
Kesihatan
- Mengawal kandungan gula dalam darah.
- Memperkuatkan sistem kekebalan tubuh (imunisasi).
- Proses detoks secara semula jadi.
- Membantu diri untuk melawan infeksi penyakit.
- Meningkatkan tahap kesihatan jantung.
- Melindungi kesihatan otak dan meningkatkan produktiviti sel saraf untuk membantu peningkatan fungsi kognitif.
- Membantu menurunkan berat badan.
Apakah yang dilakukan ketika bulan Ramadan
- Tidak makan dan minum
- Bersedekah kepada orang miskin atau asnaf.
- Melayani ibu bapa dengan lebih baik.
- Menyantuni anak yatim.
- Beri perhatian kepada kaum kerabat atau membantu ahli keluarga yang memerlukan.
- Menjaga lidah daripada perkara tidak baik
- Menutup mata (mengelakkan diri) daripada melihat sesuatu yang tidak sopan.
- Tidak mendengar perkara yang melalaikan.
- Bertaubat kepada ALLAH.
- Memperbanyakkan bacaan al-Quran.
- Hindari daripada mengumpat.
Ramadan turut memberi peluang kepada ahli keluarga untuk mengeratkan hubungan dengan cara berbuka puasa bersama.
Perkara yang membatalkan puasa;
- Makan minum
- Muntah dengan sengaja.
- Melakukan persetubuhan atau hubungan seksual pada siang hari (terbit fajar hingga terbenam matahari).
- Wanita datang haid, nifas
- Gila
- Murtad
- Mengeluarkan air mani
- Memasukkan sesuatu ke dalam rongga tubuh sehingga membatalkan puasa
- Kemarahan yang meluap-luap
Tanggungjawab dalam bulan Ramadan
Membayar zakat fitrah
Zakat fitrah ialah sedekah yang wajib dikeluarkan pada bulan Ramadan.
Melakukan bayaran zakat fitnah bermula pada tahun kedua hijrah iaitu apabila diwajibkan ke atas orang Islam yang berkemampuan.
Kanak-kanak, warga emas, wanita mahupun lelaki wajib mengeluarkan zakat fitrah.
Bagi yang berkeluarga, walinya bertanggungjawab iaitu bapa perlu mengeluarkan zakat mengikut jumlah yang ditetapkan.
Golongan penerima zakat
Fakir: Individu yang tidak mempunyai harta atau pekerjaan daripada sumber tetap. Jumlah diterima tidak sampai 50 peratus daripada keperluan harian dan tanggungannya dan tidak sampai 50 peratus daripada belanja hidup.
Miskin: Seseorang yang mempunyai pekerjaan atau hasil usaha hanya memenuhi sebahagian keperluan asas, tetapi tidak cukup untuk menampung keperluan harian orang-orang ditanggungnya.
Amil: Mereka yang terlibat secara langsung dengan institusi zakat sama ada individu atau organisasi bagi menguruskan dan mentadbir hal ehwal zakat termasuk pemungutan, agihan dan urusan kewangan dan sebagainya.
Mualaf: Mereka yang memeluk agama Islam.
Al-Riqab: Memerdekakan orang Islam daripada cengkaman perhambaan sama ada fizikal atau mental di bawah kawalan orang tertentu.
Al-Gharimin: Golongan yang berhutang untuk memenuhi keperluan asas bagi kemaslahan diri, keluarga, tanggungannya. Masyarakat yang memerlukan penyelesaian segera dan dibenarkan oleh hukum syarak.
Fisabilillah: Mana-mana atau pihak yang melibatkan diri dalam suatu atau aktiviti menegak, mempertahankan dan mendakwah agama Islam.
Ibnu Sabil: Umat Islam dalam perjalanan atau musafir yang dibenarkan syarak ke mana-mana negeri atau negara yang memerlukan bantuan.
Kurma menjadi antara hidangan yang sinonim pada bulan Ramadan.
Fidyah
Maksud fidyah ialah denda ke atas seseorang Islam yang telah baligh kerana melakukan sesuatu perkara yang melibatkan pelanggaran hukum puasa, haji dan perkara berkaitan.
Jika melibatkan hukum mengenai ibadah puasa, fidyah dikenakan kerana meninggalkan puasa wajib atas sebab tertentu atau sengaja melewatkan puasa ganti (qada) bulan Ramadan.
Hukum membayar fidyah ialah wajib mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.
Itu juga dianggap sebagai satu tanggungan (hutang) kepada ALLAH SWAT sekiranya tidak dilaksanakan.
Firman ALLAH dalam surah al-Baqarah, ayat 184 bermaksud: “Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu, maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir, (bolehlah dia berbuka), kemudian wajiblah digantikan puasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yagn dalam sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yagn ditentukan itu maka itu adalah suatu kebaikan baginya dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah, kalau kamu mengetahuinya.”
KIraan fidyah
(Bilangan hari yang ditinggal) x (Kadar fidyah) = Jumlah bayaran fidyah
Contoh: 7 hari x RM4 = RM28
(Bilangan hari yang ditinggalkan) x (kadar fidyah) x (bilangan tahun yang ditinggalkan) = Jumlah bayaran fidyah
Contoh: 7 hari x RM4 x 3 tahun = RM84
Golongan berhak mendapat fidyah
Fakir miskin atau asnaf.
Anak yatim.
Amil (Mereka yang terlibat secara langsung sama ada individu atau organisasi bagi menguruskan dan mentadbir, pemungutan, agihan dan urusan kewangan dan sebagainya.
Apa perlu dilakukan selepas Ramadan
- Istiqomah melakukan ibadah.
- Konsisten memberikan makan atau bantuan kepada fakir miskin.
- Memperbanyakkan doa dan solat taubat.
- Berusaha mencari sahabat yang baik untuk membimbing ke arah kebaikan.
- Lakukan amal kehidupan soleh.
Memperbanyakkan membaca al-Quran pada bulan Ramadan dapat menambahkan keimanan.
Mitos Ramadan
Wanita hamil tidak dibenarkan puasa langsung.
Ibu hamil cuba untuk dapat nasihat doktor sama ada boleh berpuasa atau tidak.
Solat Tarawih minimum lapan rakaat
Solat Tarawih merupakan solat sunat yang dilakukan pada bulan Ramadan. Rakaat minimum bagi semua solat sunat ialah dua rakaat.
Memandangkan solat Tarawih merupakan solat sunat, cuba sekadar melakukan dua rakaat sahaja.
Pada zaman Rasulullah SAW, solat Tarawih dilakukan sebanyak lapan supaya tidak menimbulkan beban. Bahkan Rasulullah sendiri tidak menetapkan berapa rakaat yang perlu dilakukan dalam solat tarawih.
Waktu sahur habis ketika waktu Imsak
Ada yang berpendapat waktu sahur akan tamat pada waktu Imsak, namun sebenarnya, Imsak itu sekadar pemberitahuan bahawa waktu Subuh sudah hampir dekat.
Sebaik sahaja masuk waktu Subuh atau kedengaran azan Subuh, itu maknanya waktu sahur sudah berakhir dan tidak boleh makan serta minum.
Lupa niat tidak boleh puasa
Lupa melafazkan niat puasa sehari sebelum puasa tidak akan membatalkan puasa
Paling utama kita sudah memasang niat untuk berpuasa pada keesokannya harinya.
Cara selamat, niat puasa selama sebulan bagi mengelakkan terlupa. Tetapi, itu tidak bermakna tidak melakukan lafaz niat berpuasa, kerana lafaz niat perlu dilakukan sekiranya terlupa.
Suntikan membatalkan puasa
Mendapat suntikan disebabkan perubatan tidak akan membatalkan puasa.
Guna alat sedut (inhaler) membatalkan puasa
Memasukkan objek asing ke dalam rongga mulut boleh membatalkan puasa. Namun, penggunaan alat sedut atau inhaler untuk tujuan kesihatan dan perubatan tidak membatalkan.
Gosok gigi makruh
Gosok gigi dan berkumuh adalah salah satu perbuatan yang dilakukan untuk kesihatan.
Namun, masih perlu diberi perhatian kerana bimbang akan tertelan air kumuhan tersebut.
Hadis riwayat Imam Tirmizi; “Rasulullah beberapa kali mengosok gigi menggunakan siwak (peralatan mencuci gigi pada zaman Nabi) ketika sedang dalam berpuasa.”
Amalan Ramadan yang makin dilupakan
Bunyi kentung atau beduk
Dahulu amalan membunyikan kentung atau beduk sebagai tanda bermulanya Ramadan atau berbuka puasa antara satu salah amalan yang sering dilakukan khusunya di kampung-kampung.
Pukulan kentung dengan nada berbeza daripada pukulan waktu solat menjadi tanda bahawa esok sudah masukkan waktu Ramadan.
Kanak-kanak keliling kampung
Tradisi sekumpulan kanak-kanak akan mengelilingi kampung untuk memaklumkan tibanya waktu berpuasa.
Mereka ini akan mula berarak dari masjid atau surau hingga ke hujung kampung untuk menyampaikan hebahan.
Amalan itu berbeza kini apabila segala maklumat boleh didapati secara dalam talian.
Malah membiarkan anak-anak kecil bermain di luar rumah tanpa pengawasan orang dewasa turut mengundang bahaya.
Bertukar juadah
Aktiviti bertukar hidangan sepanjang bulan Ramadan antara yang kerap dilakukan.
Perkara ini sudah dianggap biasa khususnya bagi mereka yang tinggal di kampung.
Namun, tidak dinafikan amalan ini masih diterapkan sehingga kini, namun kurang aktif berbanding dahulu.
Masyarakat kini sebahagiannya sibuk menguruskan kerja dan memilih untuk berbuka di kedai atau membeli menerusi pesanan p-hailing. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram