PENYANYI dan pelakon, Ella dan suami, Azhar Ghazali mengalami kerugian sekitar RM10,000 akibat tanaman cili mereka di Puncak Alam, Selangor musnah akibat banjir pada tahun lalu.
Azhar, 42, berkata, pihaknya kini melakukan penanaman semula pokok selepas berehat selama dua bulan ekoran berdepan dengan musim tengkujuh.
“Kita mendapat khidmat nasihat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia agar berehat sekejap sebelum membuat penanaman semula. Habis musim hujan itu, kita melakukan selenggaraan semula dan kekemasan untuk proses penanaman pokok.
“Ketika banjir pada 2022, tanaman termasuk alat pengesan dan sistem saluran air turut musnah. Dianggarkan jumlah keseluruhan kerugian sebanyak RM10,000,” katanya kepada Majoriti.
Gambar Ella sewaktu awal penaman tanaman cili milik mereka sekitar dua tahun lalu.
Meskipun begitu, pasangan terbabit tidak melihat perkara tersebut sebagai halangan untuk mereka menghentikan usaha dalam bidang pertanian.
Sebaliknya, mereka terus kekal positif dan berusaha untuk berdaya saing dan menerokai peluang tanaman secara meluas.
“Gangguan dan masalah itu memang ada, tetapi niat kami menceburi bidang ini untuk menambah ilmu pengetahuan dan berkongsi dengan orang lain,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Azhar dan Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, 56, memberitahu mereka kini sedang dalam proses untuk meluaskan peluang mereka kepada tanaman nanas.
Melihat kepada permintaan dan peluang yang ada, Azhar mengharapkan perkara tersebut dapat direalisasikan sekali gus berpotensi untuk menjadi sumber pendapatan utama mereka.
“Kami kini sedang dalam perbincangan dengan beberapa pihak untuk proses penanaman nanas. Buat masa sekarang kami masih dalam proses untuk mengenal pasti lokasi dan cara penanaman.
“Bukan sahaja lokasi, tetapi kami juga sedang dalam proses kajian untuk mengetahui teknologi yang sesuai untuk digunakan kelak,” terangnya.
Penuhi permintaan
Selepas mengusahakan tanaman cili, Ella dan Azhar kini sedang mengenal pasti peluang untuk menceburi tanaman nanas.
Selain bercakap soal masa depan, Azhar juga mengatakan hasil tanaman cili yang mula diusahakan sejak 2020 itu mendapat permintaan yang tinggi dalam pasaran.
Buat masa ini, hasil yang dituai dipasarkan kepada pemborong di Pasar Borong Selayang, Selangor dan sebuah cawangan pasar raya tempatan.
“Permintaan itu memang tinggi, tetapi kami tidak dapat untuk memenuhi semua itu. Ada juga sebuah syarikat jenama makanan terkenal ingin membeli semua cili kami, tetapi kami tidak mempunyai kapasiti mengikut kehendak mereka,” terangnya yang turut berkhidmat sebagai juruterbang.
Untuk rekod, keluasan tanaman cili pasangan terbabit dianggarkan seluas tiga ekar dan menggunakan sistem kawalan komputer untuk pemantau dan siraman.
Bagaimanapun, bagi kaedah meracun, mereka masih menggunakan khidmat tenaga manusia untuk melakukannya secara tradisional. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram