Didik diri imarahkan masjid, bukan 'seronok' raikan upacara agama lain 


  • Mukmin
  • Jumaat, 10 Feb 2023

Tangkap layar menunjukkan sekumpulan lelaki, wanita dan kanak-kanak dipercayai beragama Islam menyertai acara perarakan ketika sambutan bukan orang Islam.

BUDAYA hidup bermasyarakat dalam kalangan penduduk berbilang kaum sudah menjadi satu perkara sinonim dan dibanggakan oleh warga setempat.

Tidak hanya itu, Malaysia turut memberikan kebebasan kepada semua penganut untuk mempercayai dan mengamalkan ajaran agama masing-masing seperti dalam Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan yang melindungi kebebasan beragama dan menyatakan setiap individu berhak menganuti dan mengamalkan agamanya.

Justeru itu tidak ada batasan untuk mereka melaksanakan tanggungjawab dalam agama masing-masing khususnya ketika meraikan sebarang sambutan melibatkan upacara keagamaan.

Bagaimanapun itu bukan tiket untuk umat Islam melibatkan diri atau menyambut perayaan keagamaan lain terutama melibatkan sebarang tindakan terkait ucapan atau gerakan fizikal.

Perkara itu dinyatakan oleh Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman yang tegas membantah tindakan segelintir umat Islam beriya-riya menyertai perayaan agama lain.

Joss Sticks Temple Asian Praying

Sebaiknya individu beragama Islam tidak melibatkan diri dengan sebarang aktiviti melibatkan perayaan sambutan agama lain. — Gambar hiasan

Tegasnya, perbuatan itu boleh menjurus ke arah syirik kerana mengiyakan agama lain dan haram bagi mereka yang melakukannya.

"Fatwa pun sudah dikeluarkan. Meraikan agama lain itu boleh menyebabkan berlakunya syirik kerana seolah-olah 'menyembah' Tuhan lain.

"Bagi mereka yang sudah terlibat, sebaiknya bertaubat, beristighfar dan berjanji agar tidak mengulangi perkara sama.

"Sekali lagi dinasihatkan kepada umat Islam, tidak salah untuk menghormati agama lain, asalkan tidak melampaui batas sehingga membuatkan tindakan atau percakapan seperti mengiyakan agama lain selain Islam," katanya kepada Majoriti.

majoriti2023 (4)

Datuk Seri Abdul Rahman Osman

Tambah Abdul Rahman, umat Islam seharusnya digalakkan untuk menghadirkan diri ke acara agama atau melakukan solat berjemaah di masjid.

Katanya, mendirikan solat berjemaah antara yang membantu untuk mendidik hati agar tidak terlibat dengan perkara yang tidak memesongkan akidah.

“Saya mengharapkan lebih fokus kepada aktiviti melibatkan agama Islam, terutamanya golongan belia. Cuba pergi ke masjid, solat berjemaah pada waktu Subuh dan lebih baik pergi ke semua waktu.

“Apabila kita mengimarahkan masjid, itu salah satu cara yang boleh menguatkan keimanan. Insya-ALLAH semoga perkara begitu dapat mengelakkan diri daripada melakukan perkara bertentangan dengan agama,” terangnya.

side-view-man-woman-praying-temple-with-burning-incense

Islam melarang umatnya menyambut atau menyertai upacara agama lain.

Terdahulu Majoriti melaporkan tular rakaman video menunjukkan sekumpulan masyarakat dipercayai Melayu beragama Islam termasuk wanita dan kanak-kanak menyertai perarakan keagamaan orang bukan Islam bersama pedati sambil melaungkan ungkapan tertentu.

Difahamkan, kejadian yang berlaku pada waktu malam di Pulau Pinang itu turut mendapat larangan daripada Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim).

Terdahulu Kerajaan Johor akan mewartakan Fatwa Orang Islam Hadir Ke Upacara Ritual Perayaan Penganut Agama Bukan Islam bagi membolehkan umat Islam di negeri itu mempunyai garis panduan sebelum menyertai sesuatu majlis perayaan agama bukan Islam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram