Teruskan legasi keluarga, Haris sahut cabaran demi martabat warisan labu sayong 


Haris menguruskan perniagaan labu sayong bersama isterinya, Hanis di Kuala Kangsar, Perak.

DIANGGARKAN penggunaan labu sayong mula aktif digunakan sekitar 1900. Fungsinya untuk menyimpan air minuman agar lebih dingin dan tahan lama.

Perkembangan dunia teknologi seterusnya membuatkan penggunaan bekas tembikar itu semakin berkurangan dan sering dijadikan sebagai perhiasan rumah mahupun cenderahati.

Disebabkan konsepnya yang menggunakan kaedah lama atau ‘old school’, pembuatan dan individu meminati labu sayong sering dikaitkan sinonim dengan warga emas.

Namun, persepsi begitu tidak lagi boleh digunapakai terutama apabila golongan muda turut bergiat aktif dalam pembuatan sekali gus mengekalkan amalan tradisional itu agar tidak lapuk ditelan dek zaman.

majoriti2023 (2)

Menurut Muhamad Haris Yusof, 31, dia sudah lali dengan pandangan masyarakat yang melihat aktiviti penghasilan labu sayong lebih tertumpu kepada individu sudah berusia lanjut.

Katanya, perkara itu dianggap sebagai cabaran dan pembakar semangat bagi membuktikan dirinya antara pelapis yang berusaha memartabatkan labu sayong daripada dilupakan terutama generasi muda.

“Itu semua sudah biasa dan saya tidak peduli pun dengan apa orang lain kata. Saya minat dengan perkara ini dan sentiasa berusaha untuk menghasilkan produk terbaik dan memberi manfaat kepada masyarakat.

“Kami pembuat labu sayong ini turut saling bertukar pandangan dalam soal penghasilan labu sayong agar bersesuaian dengan cita rasa pengguna semasa,” katanya kepada Majoriti.

Awal pembabitan

Muhamad Haris atau mesra disapa sebagai Haris itu turut berkongsi tentang bagaimana dia boleh berada dalam bidang pembuatan seni tembikar itu.

Jelas Haris, dia sebelum ini memiliki kerjaya dan berkhidmat di sebuah syarikat swasta di ibu kota mengambil keputusan berhenti kerja dan meneruskan perniagaan labu sayong di Perak.

majoriti2023 (1)

Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim turut berkenan mencemar duli melihat proses penghasilan labu sayong di premis milik Haris dan isteri.

Keputusan itu dibuat selepas dia mendirikan rumah tangga dengan Nurhanis Mohd Nasir, 31, pada 2017. Kedua-dua mengambil kata sepakat untuk meneruskan pengusahaan sebagai penyambung legasi.

“Keluarga mentua sudah memulakan perniagaan ini sekitar 2000, sebelum saya dan isteri mengambil alihnya. Sebelum ini saya hanya mengetahui tentang kewujudan labu sayong, tetapi bukan kepada pembuatan.

“Saya mengambil masa sekitar enam bulan untuk memahirkan diri dan mempelajari teknik pembuatan labu sayong dengan mentua dan rakannya yang turut menjalankan perniagaan sama,” jelasnya.

Haris turut mendalami ilmu tentang pembuatan tembikar secara dalam talian bagi mengetahui penghasilan produk tersebut di luar negara.

WhatsApp Image 2022-12-29 at 10.56.49 AM (1)

Perkara itu penting baginya sentiasa meningkatkan kualiti dan idea kreatif dalam mempelbagaikan penggunaan bekas tembikar.

Sasaran

Setelah lebih lima tahun aktif, Haris berasa kagum dan gembira apabila pembuatan bekas tembikar atau labu sayong tidak hanya tertumpu kepada individu berusia sahaja.

Bahkan, golongan belia dan remaja khususnya pelajar sekolah turut tertarik dengan pembuatan labu sayong.

Disebabkan itu, Haris sentiasa berusaha untuk melakukan penambahbaikan dari segi ukiran dan corak moden, namun tetap mengekalkan ciri-ciri asli.

“Selalunya corak seperti bunga lawang, cengkih dan rebung digunakan, tetapi saya pula tampil dengan gaya berbeza iaitu menggunakan logo yang dikenali ramai.

“Permintaan terhadap labu sayong untuk dijadikan cenderahati juga sudah semakin meningkat. Saya juga menyediaan variasi pilihan saiz dan kegunaan agar dapat dijadikan sebagai hadiah,” ujarnya.

WhatsApp Image 2022-12-29 at 10.56.48 AM (1)

Haris turut merancang dan masih dalam proses kajian untuk menghasilkan bakhoor (bukhoor) daripada bekas tembikar.

Selain memasarkan di seluruh Malaysia termasuk Singapura dan Brunei, Haris turut menyediakan bengkel dan membuka lawatan orang ramai untuk melihat pembuatan kraftangan tersebut.

Lokasinya bertempat di Kraf Hanis Labu Sayong Mehans Enterprise di Sayong Lembah, Kuala Kangsar, Perak.

Untuk fakta, terdapat tiga cara menghasilkan labu sayong iaitu:

Picit

Mengambil ketulan tanah liat yang sudah diproses kemudian memicit dan membentuknya menggunakan tangan.

Throwing

Ketulan tanah liat yang diproses akan diletakkan di atas mesin dan kemudian membentuknya dengan menggunakan tangan.

Acuan

Tanah liat cair akan dituangkan ke dalam bekas khas dan dibiarkan selama beberapa hari agar acuan mengeras. Acuan yang sudah siap akan menjalani proses ukir dan kemudiannya dibakar.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram