[VIDEO] Larangan Jakim jelas, tapi umat Islam dikesan berarak rai Thaipusam di Pulau Pinang


  • Tular
  • Selasa, 07 Feb 2023

Tangkap layar video memaparkan sekumpulan individu Islam mengikut perarakan agama lain.

SEBAGAI sebuah negara yang terdiri daripada kepelbagaian kaum dan agama, Malaysia meraikan sambutan pelbagai perayaan.

Ini termasuk mengisytiharkan cuti umum kepada rakyat negara ini ketika hari perayaan berkenaan.

Malah, ada juga dalam kalangan rakyat negara ini yang memakai baju perayaan agama lain ketika sambutannya serta berkunjung ke rumah, sebagai salah satu amalan hormat-menghormati.

Namun, di sebalik keghairahan meraikan perayaan agama lain, umat Islam khususnya tidak boleh melanggar batas dan syarak yang ditetapkan dalam agama.

Baru-baru ini, tular sebuah video memaparkan, sekumpulan individu dipercayai umat Islam termasuk kanak-kanak dan wanita menyertai perarakan keagamaan orang bukan Islam bersama pedati sambil melaungkan ungkapan tertentu.

Lebih menyedihkan, perarakan itu turut disertai oleh wanita bertudung walaupun Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) dengan jelas melarang perbuatan itu dalam kalangan umat Islam.

Difahamkan, kejadian yang berlaku pada waktu malam itu berlaku di Pulau Pinang.

Sehingga kini, tiada sebarang pengesahan daripada pihak berwajib berhubung perkara itu.

Pada masa sama, perkara itu mendapat perhatian daripada Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

Memetik laporan media tempatan, Wan Salim mengakui kesal melihat ada umat Islam menyertai aktiviti berkait dengan upacara keagamaan bukan Islam, walaupun larangan mengenainya sudah dikeluarkan.

Beliau berkata, perbuatan mereka menyertai aktiviti berkaitan upacara keagamaan seumpama itu termasuk perarakan, dibimbangi merosak keimanan kepada agama Islam.

Sebelum ini, Kerajaan Johor akan mewartakan Fatwa Orang Islam Hadir Ke Upacara Ritual Perayaan Penganut Agama Bukan Islam dalam masa terdekat, bagi membolehkan umat Islam di negeri itu mempunyai garis panduan sebelum menyertai sesuatu majlis perayaan agama bukan Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid dilapor berkata, fatwa yang diperkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, itu akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) bagi mendapatkan kelulusan sebelum diwartakan.

Katanya, selepas fatwa berkenaan diwartakan, individu yang melanggar garis panduan berkenaan boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 9 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram