Harga mahal, karipap angin? Mufti kongsi cara 'ajar' peniaga di bazar Ramadan


  • Mukmin
  • Jumaat, 08 Apr 2022

Orang ramai disarankan untuk memilih tempat lain sekiranya makana di bazar Ramadan mahal.

KENAIKAN harga makanan di bazar antara topik hangat dibincangkan oleh penduduk negara ini pada minggu pertama bulan Ramadan.

Rata-rata pengunjung bazar Ramadan mengeluh apabila harga makanan yang dijual dikatakan meningkat dan semakin mahal.

Sebelum ini, tinjauan media tempatan di perkarangan Stadium Sultan Muhamad IV, Kelantan mendapati, kenaikan antara 50 sen hingga RM2 berikutan peningkatan kos bahan mentah.

Harga ayam percik yang sebelum ini dijual antara RM8 hingga RM9 naik kepada RM10, manakala Roti John pula sebelum ini dijual antara RM6 hingga RM7 naik kepada RM8 selain, kenaikan membabitkan kuih muih terutama yang berasaskan telur.

Peniaga mengakui terpaksa menaikkan harga jualan disebabkan kos bahan mentah yang tinggi.

Sabri Haron

Mufti Terengganu, Prof Madya Dr Mohamad Sabri Haron mengulas tentang isu makanan mahal dan karipap oksigen.

Tampil mengulas mengenai perkara itu, Prof Madya Dr Mohamad Sabri Haron berkata, harga makanan adalah berdasarkan 'urf atau kesesuaian dengan keadaan semasa masyarakat.

Mufti Terengganu itu berkata, sekiranya harga makanan yang dijual didakwa mahal, maka masyarakat disarankan untuk mencari tempat yang lebih murah.

"Pembeli ada hak, dia boleh tengok kalau terlalu mahal maka boleh cari tempat lain.

"Penjual kalau tengok tak ada pembeli maka dia terpaksa menurunkan harga. Kalau tak ada pembeli siapa nak beli kerana barang tidak laku, maka dia akan kurangkan harga," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya, dalam keadaan sekarang semua pihak perlu melihat setiap perkara secara menyeluruh termasuk kos sewa tapak perniagaan dan modal perniagaan.

Jelasnya, penjual dan pembeli juga perlu mengambil kira kenaikan harga barang ketika ini.

"Benda ni susah nak cakap, tapi upah harga sewa (tapak) dah mahal takkan kita nak buat harga macam biasa kan.

"Jadi ia bergantung kepada kedua-dua pihak. Penjual tak boleh letak harga mahal sangat kerana jika tidak, tiada siapa nak beli. Pembeli pun kalau rasa mahal boleh cari tempat lain," jelasnya.

Karipap oksigen

Dalam perkembangan lain, Mohamad Sabri berkata, umum mengetahui bahawa kuih karipap perlu mempunyai inti lengkap.

Namun, 'karipap oksigen' antara perkara topik yang sering menjadi buah mulut orang ramai ketika tibanya bulan Ramadan.

Ia dipanggil begitu kerana keadaan karipap yang dari luar nampak kembung, tapi bila dimakan intinya hanya sedikit.

IMG_20200423_221824

'Karipap oksigen' antara topik popular apabila tiba bulan Ramadan.

Mohamad Sabri berkata, sekiranya tiada inti atau kuantiti inti sedikit, maka berlaku penipuan dan tidak adil kepada pembeli.

"Kalau berlaku penipuan sepatutnya kena minta ganti rugi. Tapi kalau orang menipu ni dia buat sekali macam tu sahaja.

"Bila orang tak reda maksudnya tak baiklah. Kalau berlaku macam tu, jumpa dia (penjual) balik tapi nak ganti sepenuhnya tak juga, sebab kos ditanggung penjual pun ada. Tapi kalau nak kurangkan harga tu mungkinlah," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram