Niat puasa hanya kerana ALLAH SWT


  • Mukmin
  • Ahad, 03 Apr 2022

UMAT Islam akan berbuka selepas menunaikan ibadah puasa pada setiap hari pada bulan Ramadan. — Gambar hiasan

RAMADAN yang hadir pada setiap tahun pasti menggembirakan seluruh umat Islam seluruh dunia kerana ia merupakan bulan yang mulia dan memberi seribu makna.

Pada bulan Ramadan, umat Islam wajib berpuasa menahan segala yang membatalkan ibadah puasa seperti menahan makan dan minum, tidak menuruti hawa nafsu dan menjaga perbuatan tidak baik selama berpuasa.

Bulan Ramadan juga membuka peluang kepada umat Islam untuk melipat gandakan amalan, selain mengharap rahmat dan keampunan dari-Nya.

Bulan ini juga dikatakan cukup istimewa berbanding bulan-bulan lain kerana ganjaran pahala lebih besar dijanjikan bagi setiap amalan yang dilakukan.

Setiap malam pada bulan Ramadan, umat Islam perlu berniat berpuasa untuk keesokan harinya.

Niat berpuasa harian adalah seperti: "Sahaja aku puasa esok hari pada bulan Ramadan tahun ini kerana ALLAH Taala."

Namun, umat Islam dilarang untuk berpuasa atas niat lain termasuk untuk berdiet dan sihat.

Sebaliknya, Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, umat Islam disarankan untuk berniat puasa hanya kerana ALLAH SWT.

"Ini kerana dalam niat puasa sebenar telah dinyatakan 'Sahaja aku berpuasa niat kerana ALLAH SWT.

"Di samping kita niat kerana ALLAH SWT, mudah-mudahan dengan berpuasa itu sihat badan tidak mengapa.

"Tapi kalau niat nak sihat tak boleh sebab kita buat sesuatu kerana ALLAH SWT, kita tak boleh campurkan ibadah kita dengan benda lain. Misalnya, kita sembahyang dekat masjid dengan niat nak tunjuk dekat orang, tak boleh begitu," katanya kepada Majoriti.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, sekiranya umat Islam berpuasa dengan niat kerana sihat, maka mereka tidak dapat pahala ganjaran.

"Rasulullah SAW sendiri bersabda, siapa puasa dia sihat dan memberi kesihatan.

"Tapi bukan kita puasa kerana sihat," jelasnya.

Sabda Rasulullah SAW: "Berpuasalah kamu nescaya kamu sihat."Hadis Riwayat Ahmad, al-Tabrani, Ibnu al-Sunniy dan Abu Naim

Ketika ditanya mengenai cara mendapatkan keberkatan ketika berpuasa, Abdul Rahman berkata, ia boleh diperolehi dengan memohon kepada ALLAH SWT.

Tambahnya, keberkatan itu datang apabila seseorang ikhlas berpuasa kerana ALLAH SWT.

"Kita buat (puasa) dengan mengikut syarat dan sebagainya dan kita berdoa kepada ALLAH supaya amalan kita diterima, yang itulah InsyaALLAH dapatlah keberkatan.

"Orang soleh ni berdoa kepada ALLAH SWT supaya dapat bertemu di Ramadan sebab puasa, dia mohon amalan itu diterima oleh ALLAH SWT," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram