Benarkah langit merah petanda kiamat?


  • Mukmin
  • Sabtu, 02 Apr 2022

SALAH satu gambar yang dikongsi warganet pemandangan langit berwarna merah pada waktu senja. — Facebook

TIADA siapa yang mampu menidakkan kebesaran Yang Maha Esa, itu pasti! Apa sahaja di muka bumi ini, malahan warna langit yang terbentang luas saat matahari terbit dan terbenam juga tanda ciptaan-Nya.

Umat Islam yang masih diberi peluang bernafas tentu sekali mahu merasai kenikmatan hidup dan meyaksikan langit yang indah dengan warna alam menakjubkan itu adalah suatu rahmat.

Baru-baru ini, ramai yang berkongsi gambar-gambar pada waktu senja dan kebanyakannya merakam pemandangan langit berwarna merah saat matahari tenggelam.

Namun, di sebalik kecantikan rona waktu senja itu, ada juga segelintir yang risau sehingga mendakwa ia berkaitan dengan kemarau, kebuluran serta tanda-tanda kecil akan berlakunya kiamat berdasarkan sebuah hadis.

"Ramai update langit merah sehari dua lepas. Kita perhati bulan puasa ni, kalau nampak tiang merah setiap hari di bulan Ramadan, nabi pesan suruh siap makanan untuk setahun. Dalam erti kata lain, sediakan untuk satu tahun.

"Apabila kamu perhatikan tiang-tiang berwarna merah menjulang tinggi pada ketika terbit matahari di sebelah timur, pada setiap hari pada bulan Ramadan, maka simpan makanan untuk jangka masa setahun, kerana kamu berada pada tahun kelaparan, kemarau dan kebuluran. — [H.R At-Thabrani]," demikian dicatat pengguna Facebook, Pakar diari hati.

WhatsApp Image 2022-04-01 at 21.57.42

TANGKAP layar hantaran berhubung langit merah berkenaan.

Mengulas dakwaan dan kesahihan hadis berkenaan,pengguna Facebook, Ustaz Amir Abd Rahim berkata, potongan ayat itu adalah hadis munkar iaitu hadis yang tertolak.

Lafaz asal bermaksud: “Apabila kamu melihat cahaya mentari merah di ufuk timur dalam bulan Ramadan, maka simpanlah makanan untuk tempoh setahun kerana ia merupakan tahun kelaparan” — (HR Thabarani)

“Hadis ini disebut oleh Syeikh Mashhūr bin Ḥasan Āl Salmān dalam kitab himpunan hadis-hadis lemah dan palsu beliau berjudul Silsilah al-Aḥādīth al-Ḍa‘īfah wal-Mawḍū‘ah Mujarradah ‘An al-Takhrīj, di halaman 1393, hadis nombor 7072.

“Kitab ini adalah ringkasan kepada kitab Silsilah al-Aḥādīth al-Ḍa‘īfah wal-Mawḍū‘ah karya Syeikh Muḥammad Nāṣir al-Dīn al-Albānī (m. 1420H)," katanya.

Hasil semakan Majoriti di laman semakhadis.com juga mengesahkan hadis yang tersebar itu ialah hadis munkar iaitu termasuk dalam kalangan hadis yang tertolak.

Dalam pada itu, Felo Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISSI) yang juga pendakwah bebas, Ustaz Abd Rahman Tajudin berkongsi beberapa tanda-tanda kiamat kecil supaya lebih jelas dan difahami.

Tanda-tanda kiamat kecil;

1) Tiga gerhana iaitu masing-masing gerhana di timur, barat dan di Jazirah Arab.

2) Muncul pelbagai wabak penyakit amat dahsyat dan mengerikan di seluruh dunia yang belum pernah dilihat pada kaum terdahulu melainkan akan menimpa kepada umat akhir zaman.

3) Masjid yang dibina tersergam indah tetapi menjadi sunyi sepi dan banyak berlaku kematian mendadak.

4) Timbul fitnah di al-Najd (kini Riyadh, Arab Saudi), berlaku banyak pertumpahan darah dan fitnah terhadap umat Islam seperti malam yang gelap dan penduduk Makkah serta Madinah akan berpaling dari Islam, yakni menjadi murtad dan keluar dari agama Islam. Namun Sayyidina Salman al-Farisi R.A. dan pengikutnya dari Parsi akan menggantikan kaum murtad tersebut.

5) Paras air laut menaik.

6) Air hujan disekat mengakibatkan kemarau.

7) Terjadinya "Dukhan" iaitu seluruh dunia ditutupi debu selama 40 hari.

8) Keluar Dajjal iaitu pemuda yang buta sebelah mata dan berambut kerinting yang akan membuat kejahatan seluruh dunia. Di dahinya tertulis "Kafir" dalam bahasa Arab.

9) Kehadiran Imam Mahdi menjadi pemimpin dan khalifah perang akhir zaman berserta pasukannya yang membawa panji-panji hitam yang akan memerangi Dajjal.

10) Turunnya Nabi Isa 'alaihis salam membunuh Dajjal, membunuh khinzir, menghancurkan salib, menghapuskan riba dan jizyah.

11) Akan ada angin lembut tetapi mematikan menyelubungi dunia yang mengambil nyawa semua orang beriman.

12) Keluar Yakjuj dan Makjuj yang akan meminum air sungai hingga habis dan membunuh manusia serta haiwan di muka bumi dan menghancurkan apa sahaja yang mereka jumpai.

13) Keluar sejenis binatang dari perut bumi yang digelar Dabbatul Ardhi.

14) Matahari terbit dari arah barat.

15) Tiga kali gempa bumi masing-masing di timur, barat dan yang ketiga di Semenanjung Arab.

16) Tenggelamnya daratan di bahagian timur dan barat.

17) Keluarnya api dari Yaman mengiringi manusia.

18) Tiupan Sangkakala pertama bermulanya Kiamat Besar.

"Yang selain daripada tanda-tanda diatas tidak dapat dipastikan, Wallahu a’lam," demikian kata Ustaz Abdul Rahman mengakhiri bicara sekali gus menjelaskan langit merah bukannya tanda berlakunya kiamat.

Apa yang pasti, setiap umat Islam perlu yakin akan kekuasan dan kebesaran ALLAH SWT.

Hanya amalan sepanjang hidup di dunia ini menjadi bekalan untuk lebih bahagia di negeri abadi nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram