
KEDATANGAN bulan Ramadan tentu sekali dinanti-nantikan umat Islam untuk sama-sama memanfaatkannya bagi mengejar pahala kebaikan melalui amal ibadah termasuk membaca Al-Quran.
Walau sesibuk mana sekali pun, pasti ada yang akan berusaha untuk mencari masa di bulan mulia ini bagi mengkhatam kalam suci ini dengan mengikuti tadarus beramai-ramai ataupun secara sendirian.
Berkongsi teknik dan rahsia menghabiskan Al-Quran dalam masa 30 hari di bulan Ramadan, pendakwah selebriti, Imam Muda Asyraf atau nama sebenarnya Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan berkongsi beberapa tip untuk yang berhajat khatam kalam ALLAH itu.
Ruang khas
Asyraf berkata, bagi memulakan perjalanan khatam Al-Quran itu seeloknya mempunyai ruang khas ataupun musollah untuk beribadat yang mana segala kelengkapan terletak di situ.
"Di setiap rumah perlu ada mihrab ataupun bahasa yang mudah kita faham ialah musollah. Kalau kita kerja ada workspace dan kerana ruang kerja itulah akan beri semangat untuk kita kerja dengan lebih efisen, kondusif.
"Jadi sebab itulah ruang solat diperlukan dalam rumah. Situ letak sejadah, letak telekung, ada tasbih. Jadi ia memudahkan kita membaca Al-Quran. Bila kita lalu saja nampak tempat itu kita akan baca Al-Quran," katanya pada Majoriti.
Gunakan mushaf
Berkongsi tip kedua, pemenang musim pertama Imam Muda itu berkata, untuk seseorang itu fokus dalam mengaji amat disarankan mempunyai Al-Quran sendiri dan elakkan daripada mengguna telefon pintar.
Menurutnya, menggunakan telefon untuk membaca Quran dibolehkan namun lebih baik memegang mushaf kerana ia lebih teliti dan membantu fokus untuk khatam kitab suci itu.
"Sudah semestinya kita tidak boleh buka benda lain bila pegang Quran. Kalau telefon, sempat buka Instagram, Facebook. Jadi kalau boleh gunalah mushaf," jelasnya.
Buat jadual
Selain itu, Asyraf berkata, bagi sesiapa berhajat untuk khatam Al-Quran adalah digalakkan untuk membuat jadual ataupun pembahagian muka surat mengikut waktu solat.
"Satu Quran ada 604 muka surat bererti perlu bahagi kepada 30 hari. Satu juzuk bersamaan 20 muka surat. Habiskan 20 muka surat sehari. Dalam satu waktu solat, kita boleh baca sekurangnya empat muka surat. Lepas solat baca 2 muka surat dan sebelum solat pula 2 helai.
"Maksudnya, kita akan baca satu juzuk satu hari. Jadi buatlah ikut waktu solat. Kalau tak sempat waktu solat, boleh buat waktu lain.
"Digalakkan juga kalau kita nak bagi bacaan dengan baik, rasa selesa dan seronok ketika baca Al-Quran, bacalah pada waktu malam kerana lidah kita lebih bagus pada waktu malam," tambahnya.
Biar ada semakan
Katanya, sesiapa ingin membaca Al-Quran bersama rakan adalah digalakkan bagi membantu menyemak bacaan tetapi hanya pada bilangan yang sedikit iaitu sebanyak dua orang sahaja.
"Sebab Ramadan ini kita digalakkan tadarus. Ada rakan, kita baca dia tolong semak. Jangan ramai-ramai sangat sebab nanti tidak menyeluruh bacaan kita.
"Kalau berdua dengan rakan, kita baca dia boleh nampak. Itu kalau nak tadarus. Kalau sendiri kaedahnya empat muka surat satu waktu solat," katanya.
Dalam pada itu, Asyraf turut menjelaskan bahawa khatam Al-Quran dalam bulan Ramadan adalah dituntut kerana pada bulan puasalah turunnya kitab suci umat Islam itu.
"Semua ulama-ulama melazimi Al-Quran dalam bulan puasa sebab bulan Ramadan ini juga Nabi Muhammad SAW bertadarus dengan Jibril sampai khatam.
"Kalau seseorang itu tidak berhajat untuk khatam tetapi luangkan masa dengan baca tafsir dan mentaddabur Al-Quran. Ianya boleh kerana apa yang penting adalah dirinya bersama Al-Quran," jelasnya.
Jadi tiada alasan untuk umat Islam tidak mendekatkan diri dengan Al-Quran kerana besar hikmahnya terutama di bulan mulia ini.
Tidak kira masa, jadikanlah ia amalan yang rutin untuk mendapat manfaat di dunia dan akhirat. InsyaALLAH. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram