PADA bulan Ramadan ini, tentunya ada yang ke klinik mengadu simptom-simptom sakit perut antaranya pedih hulu hati, kejang perut, kerap bersendawa (rasa masam), loya dan muntah, serta rasa panas di dada (heartburn).
Pengamal perubatan am, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan berkata, gejala tersebut adalah tanda-tanda dyspepsia atau keadaan yang mana pencernaan terjejas.
Menurutnya, ada beberapa punca berlaku dyspepsia termasuklah gastritis, peptic ulcer disease atau gastroesophageal reflux disease (GERD).
"Simptom dyspepsia secara umumnya mudah berlaku ketika berpuasa kerana perut kita kosong, tetapi perut tetap merembeskan asid. Ada orang, perutnya sangat sensitif dengan asid ini," katanya di Facebook.
Untuk itu, beliau berkongsi beberapa tip yang boleh diamalkan kepada individu yang diserang dyspepsia sepanjang berpuasa.
ELAKKAN
- Merokok.
- Minum kopi, teh, minuman berkarbonat.
- Makan juadah berempah, pedas dan berminyak.
- Ambil ubat tahan sakit (NSAID) berterusan.
- Makan terlalu banyak semasa berbuka.
- Baring atau tidur selepas berbuka dan sahur.
- Makan terlalu hampir waktu tidur.
MAKAN hidangan tinggi serat ketika bersahur dan kurangkan juadah berempah, pedas dan berminyak semasa berbuka bagi mengelakkan dyspepsia. — Gambar hiasan
AMALKAN
- Berbuka awal iaitu sejurus azan Maghrib.
- Sahur lewat dan bukan sebelum tidur.
- Makan porsi makanan secara kecil dan berulang.
- Sahur dengan makanan tinggi serat.
- Tidur yang mencukupi.
- Minum air kosong secukupnya.
- Bertenang atau kurangkan stres.
JUMPA DOKTOR APABILA PERLU
- Jika sakit perut yang sangat kuat, doktor akan beri ubat kurangkan rembesan asid dan ubat sokongan yang lain.
- Jika muntah ada darah segar, atau berwarna merah kehitaman. Itu tanda pendarahan di perut.
- Najis berwarna hitam legam. Juga tanda pendarahan di perut.
- Perlu cuti sakit, namun, doktor akan hanya beri jika anda benar-benar layak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram