KOMPOSER dan penyanyi, Hafiz Hamidun menganggap kehadiran Ramadan kali ini memberikan kegembiraan berganda buatnya apabila anak jagaannya kini sah berstatus anak angkat.
Dia yang sudah dua tahun menjaga Hamdee Hafiz gembira apabila permohonan untuk mendapatkan hak sebagai bapa angkat di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berjalan lancar.
"Alhamdulillah, selepas lebih dua tahun Hamdee dalam jagaan saya, rasmi Hamdee sebagai anak angkat saya. Urusan di JPN pun dipermudahkan. Syukur.
"Terima kasih kepada semua yang terus mendoakan Hamdee. Semoga Hamdee akan terus dapat kasih sayang yang sempurna sampailah dewasa nanti," katanya.
Dia yang membuat pendedahan tersebut melalui Instagram miliknya bersyukur kerana berjaya melalui segala proses pendaftaran tersebut tanpa sebarang masalah berbangkit.
Sejak dua tahun lalu, Hafiz tidak pernah sesekali menyorokkan kehadiran Hamdee dan mereka sering kali memuat naik gambar dan video bersama.
Rata-rata peminat dan rakan artis gembira dengan berita tersebut dan berharap Hamdee akan menjadi anak yang baik dan menjadi orang berguna pada masa hadapan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram