Iftar... Jangan harapkan azan semata-mata — Mufti Terengganu


  • Mukmin
  • Selasa, 05 Apr 2022

INDIVIDU yang tidak sengaja berbuka awal pada Ahad, perlu qada puasa masing-masing selepas Tawau FM menyiarkan azan Maghrib sebanyak dua kali. — Gambar hiasan

UMAT Islam perlu yakin waktu sebenar berbuka puasa sebelum melakukannya, kata Prof Madya Dr. Mohamad Sabri Haron.

Mufti Terengganu itu berkata, keyakinan umat Islam untuk berbuka sepatutnya bukan hanya bergantung kepada kepada azan semata-mata.

Beliau berkata, hal ini disebabkan banyak petanda lain termasuk merujuk jadual berbuka puasa yang banyak diedarkan kepada orang ramai.

"Zaman sekarang pun banyak kemudahan sendiri, yang mana setiap orang ada telefon bimbit dan mereka boleh tengok betul ke tidak (waktu) azan itu.

"Nanti kalau budak-budak mainkan azan pun dah terus buka. Kadang-kadang ada orang mungkin gila (tidak waras) dan main-mainkan azan. Jadi kena telitilah benda ni. Bila yakin betul-betul baru berbuka,” katanya kepada Majoriti.

Belau berkata demikian bagi mengulas mengenai tindakan seorang penyampai radio Tawau FM yang mengakui tidak sengaja melakukan kesilapan teknikal, apabila menyiarkan azan Maghrib sebanyak dua kali iaitu sekitar pukul 6.16 petang dan 6.20 petang pada hari pertama umat Islam menyambut bulan Ramadan.

Penyampai radio itu, Mohd Safwan Junit dilaporkan berkata, azan yang sepatutnya disiarkan pada pukul 6.20 petang telah dikumandangkan lebih awal dari waktunya.

Tindakannya sekali gus menyebabkan ramai warga Tawau di Sabah secara tidak sengaja berbuka puasa lebih awal daripada waktu sebenar.

Beliau bagaimanapun telah membuat permohonan maaf secara terbuka atas keterlanjurannya di Facebook.

Mengulas lanjut, Mohamad Sabri berpandangan umat Islam yang telah berbuka awal berbanding waktu sebenar perlu menggantikan atau qada puasa mereka.

Beliau berkata, terdapat kes sama pada tahun lepas dan ia perlu diambil iktibar oleh umat Islam.

"Perkara ini (waktu berbuka) kena biar betul-betul yakin dan sahih dulu baru boleh berbuka.

"Kalau tak ada keyakinan tak boleh lagi," jelasnya.

Terdahulu, kejadian serupa terjadi pada tahun lalu apabila kenyataan bahawa para jemaah yang berbuka puasa bergantung kepada azan Maghrib di Masjid Al Khairiyah, Taman Seri Gombak, Gombak, Selangor pada bulan Ramadan tahun lalu terbatal puasa.

Masalah teknikal paparan jam digital di masjid pada 17 April 2021 itu menyebabkan azan Maghrib dilaungkan tiga minit lebih awal, dan ia hanya disedari apabila ahli jawatankuasa masjid melihat jam masing-masing. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram