PROGRAM My Future Leaders 2026 anjuran Yayasan Allammiyyah dengan kerjasama Petronas baru-baru ini menghimpunkan pelajar cemerlang terpilih dari Ma’ahad Tahfiz Negeri Pahang.
Program itu dibangunkan berteraskan satu prinsip teras jelas melalui pendedahan awal kepada persekitaran berprestasi tinggi dan standard global dan cara berfikir yang betul.
Ia dilaksanakan dalam satu ekosistem pembelajaran sebenar yang menyatukan nilai, ilmu serta realiti dunia profesional.
BACA LAGI: Simpan niat dengan suami, guru derma tanah sendiri lebih 7,000 meter bina sekolah
BACA LAGI: Dulu cari rezeki tepi jalan, 'silver man' Indonesia kini jadi model profesional

Program yang diadakan bersama pelajar cemerlang terpilih dari Ma’ahad Tahfiz Negeri Pahang.
Sebagai sebahagian daripada pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman, para peserta memulakan program dengan lawatan pembelajaran ke Skybridge dan Observation Deck Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur.
Lawatan tersebut turut memberi pendedahan langsung kepada skala pemikiran global, ketepatan pelaksanaan serta disiplin organisasi sebuah syarikat nasional yang beroperasi di pentas dunia.
Ia disusuli dengan taklimat korporat Petronas dan sesi motivasi yang menekankan kepentingan berfikir besar, bertindak berani serta membina ketahanan jangka panjang dalam menghadapi cabaran kompleks masa depan.
Majlis kemudiannya menyaksikan pengurniaan sumbangan oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Yayasan Allammiyyah sebagai simbol pelaburan strategik terhadap potensi generasi masa depan negara.

Program yang diisi dengan sesi lawatan di Menara Berkembar Petronas.
Sumbangan itu juga bukan sekadar bantuan, namun satu bentuk komitmen terhadap pembinaan kapasiti insan jangka panjang.
Menurut Pengasas dan Pemegang Amanah Yayasan Allammiyyah, Muhamad Najmi Mohd Aris, pembangunan bakat tidak seharusnya menunggu sehingga seseorang berada di puncak kerjaya.
Beliau yang juga merupakan anak jati kelahiran Pekan, Pahang itu berkata, sebaliknya, pendedahan awal kepada persekitaran berprestasi tinggi seperti Petronas adalah kunci kepada pembentukan cara berfikir yang tepat, keberanian membuat keputusan, serta keupayaan menyelesaikan masalah pada skala besar.
Beliau menegaskan, My Future Leaders 2026 dirangka sebagai inisiatif jangka panjang yang berfokus kepada mempercepatkan pembangunan kepimpinan melalui pengalaman dunia sebenar, dengan matlamat memendekkan jurang masa antara potensi dan pencapaian sebenar, khususnya dalam kalangan kanak-kanak Pahang dan seluruh generasi muda di Malaysia.

Sumbangan turut diberikan kepada para peserta.
Ditubuhkan pada 2014, Yayasan Allammiyyah memberi tumpuan kepada pembangunan pendidikan, khususnya institusi pendidikan tradisional, pelajar berpotensi tinggi dan golongan kurang berkemampuan.
Matlamatnya bukan sahaja untuk kekal relevan, malah mampu bersaing dan mencipta nilai dalam landskap global yang bergerak pantas.
Majlis itu sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Institusi Diraja Pahang, Yayasan Allammiyyah dan Petronas dalam membina barisan pemimpin baharu yang berfikiran jauh ke hadapan, berpaksikan nilai, serta berupaya mencipta impak sebenar kepada negara dan dunia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
