DUNIA digital baru-baru ini dikejutkan dengan kisah transformasi seorang pemuda di Indonesia dikenali sebagai 'silver man' yang kini mencuri perhatian industri fesyen.
Michael O atau Mike Octavian sebelum ini mencari rezeki dengan menggayakan dirinya seperti manusia perak.
Dengan seluruh tubuhnya yang dicat perak, beliau sanggup berdiri di persimpangan lampu isyarat demi mendapatkan sumbangan orang ramai.
BACA LAGI: Galas 2 tanggungjawab, Natasha Khan buktikan akademik, fesyen mampu jalan serentak
BACA LAGI: Setia sampai 5 tahun, pekerja syarikat automotif ganti bonus 'cash' dengan unit pangsapuri

Michael O kini giat melibatkan diri dalam dunia peragaan profesional. — Agensi
Michael juga merupakan antara individu yang sering dianggap sekadar sebahagian daripada landskap jalanan kota.
Namun, di sebalik cat perak menutupi tubuhnya, tersimpan potensi besar yang tidak disedari ramai.
Michael memiliki postur tubuh ideal, raut wajah berkarakter serta karisma semula jadi yang selama ini tidak pernah mendapat peluang untuk diketengahkan.
Perubahan besar dalam hidup Michael bermula apabila pasukan dari Captain Barbershop melihat kelibatnya di sekitar jalanan.
Menyedari potensi luar biasa yang dimiliki pemuda tersebut, Michael kemudiannya diajak untuk menjalani transformasi penampilan termasuk merapikan rambut serta membersihkan wajah daripada cat perak yang selama ini menjadi simbol kehidupannya.
Proses transformasi tersebut dirakam dan dimuat naik di media sosial.
Video tersebut sekali gus tular dan menarik perhatian warganet dari pelbagai lapisan masyarakat.
Tahun 2024 menjadi titik perubahan besar dalam kehidupan Michael apabila sebuah jenama fesyen terkenal menawarkannya peluang untuk bekerjasama.
Tawaran tersebut membuka laluan Michael ke dunia fesyen profesional yang sebelum ini tidak pernah terlintas dalam fikirannya.
Dengan ketinggian sekitar 181 sentimeter serta bentuk tubuh yang seimbang, Michael kemudiannya menyertai sebuah agensi peragaan dan memulakan kerjaya sebagai model profesional.
Sejak itu, beliau terlibat dalam pelbagai sesi fotografi komersial, editorial fesyen serta pertunjukan pentas peragaan.
Lampu isyarat yang suatu ketika dahulu menjadi 'pentas' kehidupannya kini digantikan dengan pentas peragaan dan sorotan kamera. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
