Ringkas tapi berkesan, remaja cipta 'smart earpiece' konsep anting-anting, beri amaran kecemasan


  • Sukses
  • Rabu, 28 Jan 2026

Idea bernas Bohlale Mphahlele mampu menyelamatkan nyawa orang ramai terutama golongan wanita. — Agensi

SEORANG remaja perempuan berusia 17 tahun dari Afrika Selatan mengejutkan ramai apabila tampil dengan ciptaan inovatifnya yang berpotensi menyelamatkan nyawa.

Bohlale Mphahlele, pelajar dari SJ van der Merwe Technical High School di Limpopo dilaporkan mencipta satu peranti keselamatan yang direka khas untuk melindungi wanita dan kanak-kanak daripada keganasan dan pemerdagangan manusia.

Ciptaan yang dinamakan Alerting Earpiece itu direka seperti anting-anting biasa, namun dilengkapi teknologi canggih untuk situasi kecemasan.

BACA LAGI: Dobi layan diri laksana program sokongan kebajikan, beri insentif bulanan RM500 buat ibu bapa tunggal bekerja

BACA LAGI: Olah jadi pes, kurma, epal antara pemanis alternatif asli, pengganti gula pasir

Peranti itu dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan yang mampu memberi amaran ketika berada dalam kecemasan. — Agensi

Menurut Polis Perkhidmatan Afrika Selatan (SAPS), lebih 120,000 kes jenayah ganas terhadap wanita dan kanak-kanak dilaporkan dalam tempoh setahun.

Angka sebenar juga dipercayai jauh lebih tinggi kerana ramai mangsa tidak membuat laporan akibat ketakutan dan stigma sosial.

Keadaan itu sekali gus mendorong Mphahlele untuk mengambil tindakan lanjut.

Beliau menyedari keperluan mendesak untuk alat perlindungan yang praktikal, mudah digunakan dan mampu memberi perlindungan masa nyata kepada golongan berpotensi.

Peranti tersebut beroperasi dengan cara yang ringkas tetapi berkesan.

Dengan menekan butang tersembunyi, peranti itu mampu merakam gambar penyerang secara senyap melalui kamera tersembunyi.

Ia kemudiannya menghantar isyarat kecemasan berserta lokasi mangsa secara langsung kepada kenalan dipercayai dan pihak berkuasa.

Selain mempercepatkan tindak balas, peranti itu juga menyediakan bukti penting untuk tindakan undang-undang.

Rekaan inovatif tersebut secara tidak langsung dapat melayakkan Mphahlele untuk memenangi pingat gangsa dalam kategori kejuruteraan-elektronik di Ekspo Eskom untuk Saintis Muda.

Para juri pada masa sama memuji pendekatannya yang ringkas namun memberi impak besar dalam menangani isu sosial kritikal.

Mphahlele berkata, inspirasinya datang daripada peningkatan kes penderaan, khususnya melibatkan wanita dan kanak-kanak.

"Teknologi bukan sekadar untuk memudahkan hidup, tetapi juga untuk melindungi golongan yang terdedah," jelasnya.

Pencapaian beliau disifatkan sebagai contoh teladan dan pencetus perubahan yang positif. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram