DI sebalik duka akibat banjir besar yang melanda Tapanuli Selatan, Indonesia pada hujung November lalu, terselit sebuah kisah menyentuh hati melibatkan seorang pendidik di sebuah sekolah.
Seorang guru bernama Nur Ali tampil sebagai simbol keikhlasan apabila sanggup mendermakan tanah milik peribadinya seluas 7,500 meter persegi bagi tujuan pembinaan sebuah sekolah di Angkola Selatan, Tapanuli Selatan.
Kisah murni itu tular di media sosial dan meraih perhatian ramai selepas dikongsikan di media sosial.
BACA LAGI: Dulu cari rezeki tepi jalan, 'silver man' Indonesia kini jadi model profesional
BACA LAGI: Tunggu capai usia mumayyiz, pilih masjid lebih besar elak anak 'buas' ganggu jemaah solat

Sumbangan Nur Ali mampu membuka mata orang ramai tentang nilai pengorbanan dan keikhlasan seorang pendidik. — Agensi
Di sebalik keputusan besar itu, tersimpan perjalanan hidup panjang Nur Ali yang pernah bekerja di beberapa tempat termasuk Arab Saudi.
Pengalaman tersebut banyak membuka matanya tentang kepentingan pendidikan, khususnya pendidikan agama.
"Dahulu, di Angkola Selatan, Indonesia belum terdapat sekolah.
"Sejak itu timbul niat saya dan suami, sekiranya suatu hari kami dikurniakan rezeki untuk membeli tanah, kami ingin menghibahkannya bagi pembinaan sekolah," katanya.
Niat tersebut akhirnya direalisasikan apabila Nur Ali bersama suaminya berjaya membeli tanah berkenaan dan menghibahkannya secara rasmi kepada negara melalui Kementerian Agama di Indonesia.
Beliau menegaskan bahawa tanah itu tidak pernah diniatkan untuk diwariskan kepada keluarga, sebaliknya dimanfaatkan buat generasi akan datang.
"Saya mahu sekolah ini menjadi milik umat dan negara.
"Jika diuruskan oleh Kementerian Agama, Insya-ALLAH ia mampu bertahan lama dan terus berkhidmat kepada pendidikan anak-anak," ujarnya.
Nur Ali berharap madrasah yang bakal dibina itu kelak dapat melahirkan generasi muda yang berilmu, berakhlak mulia dan mampu memberi sumbangan kepada agama serta negara.
"Melalui pendidikan, anak-anak bangsa boleh menjadi insan yang berguna kepada agama, nusa dan bangsa.
"Seperti semboyan kita, ikhlas beramal," ujarnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
