Lisa Blackpink dilantik duta pelancongan Thailand, angkat budaya, sejarah peringkat antarabangsa


  • Sukses
  • Khamis, 29 Jan 2026

Lisa Blackpink dilantik sebagai duta pelancongan Thailand menerusi kempen 'Feel All The Feelings'. — Agensi

PIHAK Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) mengambil langkah strategik dengan melancarkan kempen pelancongan global Feel All the Feelings.

Kempen tersebut turut menampilkan penyanyi dan ahli kumpulan Blackpink, Lisa sebagai imej utama sektor pelancongan Thailand.

TAT yakin bahawa pemilik nama sebenar, Lalisa Manoban itu mampu mendedahkan nilai dan makna tersirat yang menjadikan negara itu sebuah destinasi pelancongan berkualiti serta dipercayai.

BACA LAGI: Letak barang penting sebelah anak, muat turun aplikasi khas elak risiko anak tertinggal dalam kereta

BACA LAGI: Ringkas tapi berkesan, remaja cipta 'smart earpiece' konsep anting-anting, beri amaran kecemasan

Kempen baharu yang dilancarkan oleh TAT bagi memperkukuhkan industri pelancongan Thailand. — Agensi

Gabenor TAT, Thapanee Kiatphaibool berkata, kempen itu juga bertujuan meletakkan Thailand sebagai destinasi pelancongan santai yang berkualiti bukan sekadar dengan tarikan visual semata-mata.

Menurutnya, pelancaran Duta Amazing Thailand kali ini diadakan secara besar-besaran di Wat Arun Ratchawararam Ratchaworamahawihan.

Ia merupakan sebuah mercu tanda budaya dan sejarah utama yang terkenal di peringkat antarabangsa.

Pemilihan lokasi tersebut mencerminkan imej Thailand yang unik, menggabungkan kehalusan tradisi dengan tenaga kreatif kontemporari secara harmoni.

"TAT percaya penceritaan tentang keindahan Thailand melalui perspektif Lisa akan membuka persepsi baharu.

"Ia membolehkan dunia melihat Thailand sebagai destinasi pelancongan berkualiti tinggi yang mempunyai kedalaman nilai melangkaui keindahan tempatnya.

"Thailand sarat dengan nilai tersembunyi dalam setiap pengalaman dan makna yang lahir daripada setiap detik perjalanan, sama ada melalui interaksi dengan masyarakat, budaya, cara hidup atau suasana di setiap destinasi," katanya.

Lisa Blackpink dipilih sebagai duta pelancongan Thailand. — Agensi

Mengulas lanjut, Thapanee berkata, ia secara tidak langsung menggalakkan rakyatnya untuk menjadi tuan rumah yang baik sambil mengukuhkan keyakinan pelancong melalui inisiatif Trusted Thailand.

"Kami mahu mencetuskan keinginan untuk melancong ke Thailand, kembali berkunjung dan berkongsi kisah pengalaman perjalanan mereka," jelasnya.

Konsep kempen itu diterjemahkan melalui siri filem iklan bertajuk Feel All The Feelings – Travel Thailand, Feel Every Feeling yang ditayangkan di YouTube Amazing Thailand.

Siri tersebut turut menampilkan selebriti terkenal Thailand lain iaitu Win Metawin Opas-iamkajorn, Gulf Kanawut Traipipattanapong dan Blue Pongtiwat Tangwancharoen.

Mereka akan berkongsi pengalaman dan perasaan ketika mengembara ke pelbagai destinasi indah di negara itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram