PENGGUNAAN gula dalam makanan seperti manisan atau pastri sebenarnya tidak perlu mengikut sukatan penuh seperti tertera di dalam resipi.
Menurut penulis buku masakan dari Jerman, Susann Kreihe, kebanyakan pastri masih terasa manis meskipun jumlah gula dikurangkan.
"Jika resipi mencadangkan 100 gram (g) gula, selalunya 75g sudah memadai," katanya.
BACA LAGI: Elak jadi ‘helicopter parents’, risiko jejas skil anak selesaikan masalah
BACA LAGI: Wanita raih untung puluhan juta jual aksesori guna sisa alat solek 'expired'

Penggunaan gula yang berlebihan boleh menjejaskan kesihatan. — Gambar hiasan
Susann bagaimanapun menegaskan bahawa tidak perlu untuk membuang gula sepenuhnya.
Ia kerana gula bukan sahaja berfungsi sebagai pemberi rasa, malah membantu membuka rongga doh serta menghasilkan tekstur yang lebih lembut dan sekata.
Sementara itu, pakar pemakanan profesional dan penulis, Sabine Voshage pula mengingatkan bahawa gula pasir boleh menyebabkan ketagihan jika diambil secara berlebihan.
"Mereka yang kerap mengambil gula dalam kuantiti tinggi berisiko mengalami obesiti dan kerosakan gigi.
"Pengambilan gula berlebihan juga boleh mengganggu keseimbangan bakteria baik dalam usus, sekali gus menyebabkan masalah seperti kembung perut, cirit-birit atau sembelit," jelasnya.

Pes kurma dijadikan sebagai pemanis dalam masakan. — Gambar hiasan
Alternatif pengganti gula
Menurutnya, rasa manis pada gula ternyata boleh digantikan dengan bahan semula jadi.
Antaranya adalah menggunakan kurma kering sebagai pemanis.
Kurma dipotong kecil, direndam dalam air dan kemudian dikisar sehingga lembut seperti pes.
Beliau turut berkongsi resipi biskut menggunakan pes kurma sebagai alternatif kepada gula.
Resipi biskut pes kurma
1. 100 gram kurma kering
2. 70 mililiter air
3. 150 gram tepung spelt jenis 630
4. 100 gram badam kisar
5. Setengah paket serbuk penaik krim tartar
6. Dua cubit garam semula jadi
7. 100 gram mentega organik keras
8. Semua bahan digaul dan diuli sehingga doh lembut, kemudian ditutup dan disejukkan selama 30 minit.
9. Doh dicanai setebal empat hingga lima milimeter, diterap mengikut bentuk pilihan dan dibakar pada suhu 180 darjah celsius selama kira-kira 15 minit.
Beliau pada masa sama mengingatkan bahawa tidak semua pemanis boleh menggantikan gula pasir secara nisbah satu lawan satu.
"Tiada jadual penukaran yang tepat, justeru pengguna disaran memilih resipi yang telah disesuaikan atau melakukan eksperimen sendiri," ulasnya.

Buah-buahan diolah sebagai pemanis dan pengganti gula pasir. — Gambar hiasan
Pemanis lain
Antara alternatif gula yang boleh digunakan dalam pembuatan pastri adalah:
1. Buah ara kering. Ia boleh dikisar menjadi pes seperti kurma.
2. Epal. Dimasak hingga lembut dan dikisar menjadi puri.
3. Pisang yang lebih masak, lebih manis rasanya.
4. Gula kelapa. Ia boleh memberi aroma karamel.
5. Gula birch atau xylitol. Ia sejenis gula penyeman semula jadi yang dihasilkan daripada kulit pokok birch. Gula tersebut rendah dalam indeks glikemik dan tidak meningkatkan kadar gula dalam darah.
6. Sirap beras. Kurang manis tetapi perlu kurangkan cecair dalam doh.
7. Madu. Doh akan cepat berubah warna keperangan dan perlu dipantau.
8. Sirap agave. Lebih manis daripada gula tetapi tinggi kalori, disarankan untuk digunakan secara terkawal. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
