TRAGEDI melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai tertinggal di dalam kereta ibunya baru-baru ini sekali lagi menimbulkan kebimbangan ramai.
Kejadian yang berlaku ketika ibu mangsa bekerja itu bukan sahaja meruntun jiwa, malah mencetuskan perbincangan hangat tentang keperluan langkah pencegahan lebih berkesan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Kes berkenaan turut dilihat sebagai peringatan bahawa perubahan rutin harian dan kesibukan kerja boleh menyumbang kepada situasi tidak dijangka.
BACA LAGI: Ringkas tapi berkesan, remaja cipta 'smart earpiece' konsep anting-anting, beri amaran kecemasan

Insiden yang menyayat hati seluruh rakyat Malaysia.
Susulan itu, orang ramai menyeru agar ibu bapa, penjaga serta pihak taska dan pengasuh mengambil pendekatan lebih proaktif.
Ia termasuk meningkatkan komunikasi harian dan memanfaatkan teknologi sebagai medium meningkatkan langkah keselamatan anak.
Seorang pengguna akaun Threads @shafikashikin tampil berkongsi pandangan dan langkah pencegahan yang boleh diamalkan ibu bapa.
Menurutnya, meskipun kebanyakan kenderaan moden kini dilengkapi sistem peringatan untuk memeriksa tempat duduk belakang selepas enjin dimatikan, ramai pemandu masih terlepas pandang kerana faktor kebiasaan dan kecuaian.
Justeru, beliau mencadangkan agar ibu bapa membiasakan diri meletakkan barangan penting seperti telefon bimbit atau beg tangan berdekatan tempat duduk anak.
"Barang tersebut adalah perkara yang tidak mungkin dilupakan sebab kalau tertinggal sekejap kita boleh sedar.
"Jadi, masa nak ambil barang penting automatik akan nampak anak. Mungkin orang akan anggap cara ini tak berguna.
"Tetapi, percayalah perkara ringkas ini yang mungkin boleh selamatkan anak daripada kecuaian sendiri," sarannya.
Pada masa sama, beliau turut menyeru pihak taska atau pengasuh supaya lebih proaktif dengan menghubungi ibu bapa sekiranya kanak-kanak tidak hadir.
Beliau juga menekankan kepentingan komunikasi antara ibu dan bapa, khususnya waktu pagi berkaitan keadaan anak.
Sementara itu, seorang lagi pengguna @dafinaafiqah mencadangkan ibu bapa mendaftarkan anak ke pusat jagaan atau sekolah yang menggunakan aplikasi digital bagi memantau kehadiran dan aktiviti harian anak.
"Walaupun pada hari sibuk saya tak sempat buka aplikasi, notifikasi yang masuk sudah cukup untuk beri kepastian anak saya berada di sekolah.
"Contohnya, kepastian anak sudah mandi, makan, tidur dan minum susu," cadangnya.
Meskipun terlihat kecil, langkah tersebut mampu memberi kesan besar dalam melindungi sesebuah keluarga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
