KEMATIAN dalam keadaan baik sering dianggap sebagai satu pengakhiran yang dicemburui ramai, apatah lagi jika berlaku ketika seseorang sedang menunaikan ibadah.
Perkara itu turut mengundang rasa sebak ramai apabila seorang wanita dilaporkan meninggal dunia dalam penerbangan pulang ke tanah air selepas selesai menunaikan umrah.
Menurut perkongsian ahli keluarganya di laman TikTok, arwah sebelum itu berada dalam keadaan sihat sepanjang berada di Tanah Suci bersama kira-kira 40 jemaah lain.
BACA LAGI: Modal lebih RM30,000 lesap, 'over confident' pengasas kosmetik bangkit lepas sambung ijazah sarjana
Sepanjang menunaikan ibadah umrah, arwah dikatakan dikurniakan kesihatan yang baik dan berpeluang menziarahi semua tempat seperti yang dirancang.
Namun, ketika dalam penerbangan pulang dari Madinah ke Malaysia, arwah difahamkan menghembuskan nafas terakhirnya di dalam pesawat.
Kejadian berlaku ketika masuk waktu Subuh apabila arwah bangun untuk mengambil wuduk bagi menunaikan solat.
Menurutnya, arwah meninggal dunia dalam keadaan sedang berwuduk di tempat duduknya, satu pemergian yang dianggap sangat mulia dan menyentuh hati ahli keluarganya.
Selepas pesawat mendarat, jenazah dibawa ke Hospital Cyberjaya untuk urusan lanjut sebelum dimandikan dan dikapankan.
"Dari madinah selesai buat umrah bersama jemaah 40 orang, semasa buat umrah ALLAH bagi kesihatan yang baik dan boleh menziarahi semua tempat.
"Semasa atas kapal terbang masuk waktu subuh arwah mengambil wuduk untuk solat subuh tetapi ALLAH sayangkan arwah meninggal dalam keadaan berwuduk atas kerusinya," katanya.
Jenazah kemudian dibawa pulang ke Kelantan untuk dikebumikan.
Perkongsian itu nyata mengundang rasa sebak malah ramai menyifatkannya sebagai satu pengakhiran yang dicemburui, apatah lagi arwah pergi selepas menyempurnakan ibadah umrah.
Ramai turut mendoakan agar roh arwah dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
