SUNTIKAN vaksin dalam kalangan warga emas kini terbukti memberikan 'bonus' kesihatan luar jangka, melampaui fungsi utamanya dalam mencegah penyakit berjangkit.
Selain memberi perlindungan terhadap penyakit khusus seperti kayap, influenza dan virus pernafasan syncytial (RSV), kajian terbaharu mendedahkan manfaat tambahan atau ‘manfaat luar sasaran’ (off-target benefits) yang mampu meningkatkan kualiti hidup golongan veteran.
Pakar penyakit berjangkit dari Pusat Perubatan Universiti Vanderbilt, Dr. William Schaffner, menyatakan bahawa penyelidikan selama sedekad lalu menunjukkan vaksin berupaya mencegah komplikasi kesihatan yang lebih serius.
BACA LAGI: Ketagihan membeli-belah ancaman 'oniomania' terhadap remaja
BACA LAGI: Evolusi kediaman 2026, antara sentuhan klasik dan seni pencahayaan
Bagi pesakit warga emas, sistem imun yang kian merosot menjadikan mereka lebih rentan, namun pengambilan vaksin dilihat sebagai instrumen utama dalam mempromosikan penuaan sihat.
Antara manfaat paling ketara adalah perlindungan terhadap kesihatan kardiovaskular. Data sejak 25 tahun lalu membuktikan bahawa suntikan selesema (influenza) secara konsisten mengurangkan risiko serangan jantung dan strok.
Warga emas yang divaksinasi dilaporkan mempunyai kadar kemasukan ke hospital yang jauh lebih rendah akibat kegagalan jantung dan radang paru-paru (pneumonia).
Trend yang sama turut diperhatikan pada vaksin RSV. Walaupun vaksin ini baru tersedia pada 2023, kajian di Denmark menunjukkan penurunan sebanyak 10 peratus dalam kes kemasukan ke hospital berkaitan masalah jantung dan paru-paru.
Pakar menjangkakan keberkesanan vaksin RSV akan menyamai, malah mungkin mengatasi impak positif vaksin selesema dalam masa terdekat.
Selain jantung, perlindungan terhadap fungsi kognitif dan risiko demensia kini menjadi tumpuan utama penyelidik.
Dr. Stefania Maggi dari Majlis Penyelidikan Kebangsaan di Itali mendedahkan bahawa pelbagai vaksin dewasa dikaitkan dengan penurunan risiko penyakit Alzheimer.
Vaksinasi dianggap mampu menghalang kemerosotan fizikal dan mental yang sering dialami warga emas.
Kajian tular mengenai vaksin kayap (herpes zoster) menunjukkan kaitan kuat dengan penurunan kadar demensia sehingga 24 peratus.
Malah, eksperimen semula jadi di Wales membuktikan kumpulan yang layak menerima vaksin kayap mencatatkan penurunan kes demensia sebanyak 20 peratus berbanding mereka yang tidak layak atas faktor usia, sekali gus menolak teori bahawa ia sekadar kebetulan.
Keberkesanan ini tidak terhad kepada satu jenis vaksin sahaja.
Analisis melibatkan 104 juta peserta di peringkat global mendapati vaksin pneumokokal mengurangkan risiko Alzheimer sebanyak 36 peratus.
Manakala, vaksin Tdap (kancing gigi, difteria dan batuk kokol) yang biasanya diambil setiap 10 tahun, dikaitkan dengan pengurangan risiko demensia sehingga satu pertiga.
Pakar menjelaskan bahawa 'bonus' vaksin ini berpunca daripada keupayaan mencegah keradangan melampau.
Apabila badan melawan jangkitan kuman, keradangan yang berlaku boleh merosakkan saluran darah dan menyebabkan pembekuan darah yang mencetuskan strok.
Dengan mencegah jangkitan awal, kerosakan sistemik pada tubuh dapat dihindari sepenuhnya.
Selain itu, mengurangkan kekerapan kemasukan ke hospital adalah kritikal bagi warga emas.
Pesakit yang terlantar lama di wad berisiko tinggi mengalami kecelaruan mental (delirium) dan kemerosotan fizikal yang mendadak.
Vaksinasi secara tidak langsung bertindak sebagai perisai yang mengekalkan keupayaan berdikari golongan ini.
Walaupun manfaatnya jelas, kadar pengambilan vaksin di peringkat global, termasuk di Amerika Syarikat, masih berada pada tahap yang membimbangkan.
Data awal Januari 2026 menunjukkan ramai warga emas masih belum mendapatkan suntikan selesema tahunan dan vaksin COVID-19 terkini, manakala kadar pengambilan vaksin pneumokokal kekal rendah.
Ketidaktentuan polisi nasional dan pengaruh gerakan antiavaksin turut menyumbang kepada jurang ini.
Pakar kesihatan awam melahirkan kebimbangan bahawa tentangan terhadap vaksinasi bukan sahaja mendedahkan warga emas kepada penyakit asal, malah menyebabkan mereka kehilangan peluang untuk menikmati perlindungan tambahan terhadap organ kritikal yang lain.
Secara tuntas, pemerkasaan program vaksinasi dewasa adalah pelaburan kesihatan jangka panjang.
Dengan mencegah jangkitan utama, warga emas bukan sahaja terhindar daripada kesakitan fizikal yang perit, malah berupaya memelihara ketajaman minda dan kekuatan jantung untuk tahun-tahun mendatang. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
