Evolusi kediaman 2026, antara sentuhan klasik dan seni pencahayaan


  • Hias
  • Jumaat, 23 Jan 2026

Sentuhan elemen warisan klasik yang digabungkan dengan seni pencahayaan moden kini menjadi teras utama evolusi reka bentuk kediaman bagi 2026.

PLATFORM reka bentuk kediaman terkemuka, Houzz, mendedahkan trend hiasan dalaman bagi 2026 yang menyaksikan peralihan ketara terhadap keseimbangan antara elemen karakter dan keselesaan.

Berdasarkan komen daripada komuniti pemilik rumah serta pakar profesional, tahun ini bakal memartabatkan identiti ruang lebih peribadi dan sofistikated.

Trend utama yang dijangka mendominasi ialah 'Heritage Maximalism'.

BACA LAGI: Hong Kong destinasi unik gabung gaya hidup konsep kembara alam, kota metropolitan

BACA LAGI: Rumah 'dollhouse' gergasi, keunikan seni bina Manhattan Nature di Chengdu

Menurut pakar trend Houzz, Kiya Kelly-Paine, gaya itu merupakan gabungan elemen warisan klasik dengan sentuhan kontemporari.

Ia melibatkan penggunaan palet warna yang berani, motif sejarah, serta perincian hiasan rumit bagi menghasilkan ruang tampak mewah namun kekal moden.

Pakar hiasan dalaman, Mel Massey, menyatakan pemilik kediaman kini lebih berani memilih kertas dinding bermotif padat dan fabrik upholsteri yang menonjol.

Penggunaan alatan visualisasi seperti papan mood kini menjadi kunci bagi membantu pemilik menggabungkan elemen dramatik tersebut tanpa menampakkan ruang yang berserabut.

Selain itu, konsep 'ruang tersembunyi' dan reka bentuk lancar semakin mendapat tempat.

Ciri-ciri pintar seperti bar minuman tersorok dan kabinet bina dalam yang boleh disembunyikan membantu menghasilkan rupa yang lebih kemas.

Pengasas Space Shack, Omar Bhatti, melihat peningkatan permintaan bagi pertukangan kayu tempahan khas yang disesuaikan mengikut gaya hidup unik pelanggan.

Dalam aspek perancangan pula, pemodelan 3D kini menjadi 'pelan biru' baharu dalam industri.

Teknologi itu memudahkan komunikasi antara pemilik dan pakar profesional untuk menetapkan jangkaan tepat sepanjang tempoh projek.

Ia membolehkan sebarang perubahan dilakukan secara proaktif sebelum kerja-kerja fizikal bermula.

Bagi mereka yang mengutamakan ketenangan, trend 'Soft Simplicity' atau kesederhanaan lembut terus menjadi pilihan utama.

Gaya yang sering dirujuk sebagai 'organik moden' itu mengutamakan penggunaan warna neutral berlapis, bahan organik, serta kemasan tekstur yang memberikan suasana hangat dan santai seperti berada di dalam sebuah tempat perlindungan.

Menariknya, tahun 2026 turut menyaksikan kebangkitan semula ton kayu gelap seperti walnut dan mahogani.

Data carian bagi 'kayu gelap' melonjak sebanyak 187 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Kayu berwarna gelap itu sering dipadankan dengan logam hangat atau batu bertekstur untuk mengimbangi kesan visual agar tidak terlalu berat.

Aspek ketelusan dalam projek pengubahsuaian juga menjadi fokus penting.

Penyelidikan menunjukkan hampir 41 peratus pemilik rumah mahukan garis masa yang lebih jelas dan komunikasi lebih baik daripada kontraktor.

Penggunaan platform komunikasi masa nyata kini dianggap keperluan bagi mengurangkan tekanan sepanjang proses pembinaan.

Akhir sekali, pencahayaan sebagai karya seni dijangka menjadi elemen transformatif di dalam rumah.

Lampu gantung arca daripada bahan alabaster atau kaca kini tidak lagi sekadar berfungsi sebagai sumber cahaya, malah bertindak sebagai titik tumpuan yang menambah nilai estetika dan drama pada sesebuah ruang. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram