SEKTOR pelancongan di Maghribi dan Mesir terus memacu momentum luar biasa apabila kedua-dua negara North Africa itu merekodkan jumlah ketibaan pelancong tertinggi dalam sejarah bagi 2025.
Perkembangan itu sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai destinasi paling popular di benua Afrika.
Data akhir tahun menunjukkan Maghribi mencatatkan 19.8 juta ketibaan, iaitu peningkatan sebanyak 14 peratus berbanding tahun sebelumnya.
BACA LAGI: Evolusi kediaman 2026, antara sentuhan klasik dan seni pencahayaan
BACA LAGI: Ketagihan membeli-belah ancaman 'oniomania' terhadap remaja
Pencapaian itu meletakkan Maghribi di kemuncak carta, diikuti rapat oleh Mesir yang merekodkan lonjakan drastik sebanyak 21 peratus dengan jumlah 19 juta pelancong.
Lonjakan itu menandakan fasa pemulihan ekonomi yang kukuh bagi kedua-dua negara pascapandemik.
Industri pelancongan kekal menjadi nadi utama ekonomi sebagai sumber pertukaran wang asing dan penyedia peluang pekerjaan, meskipun terpaksa berhadapan dengan kesan konflik geopolitik di rantau Arab yang berlarutan sejak dua tahun lalu.
Menteri Pelancongan Maghribi, Fatim-Zahra Ammor, menyifatkan angka tersebut sebagai "transformasi mendalam" bagi sektor berkenaan.
Untuk rekod, industri itu menyumbang kira-kira lapan peratus kepada ekonomi Maghribi yang bernilai AS$178 bilion (RM721.83 bilion).
Ketibaan pelancong ke Maghribi kini 50 peratus lebih tinggi berbanding sebelum pandemik.
Menariknya, industri itu tidak terjejas oleh kesan gempa bumi dahsyat di Marrakesh pada 2023, malah kawasan tumpuan seperti dataran ikonik di bandar itu kini sedang dalam proses naik taraf bagi menyambut lebih ramai pelawat.
Faktor utama kejayaan Maghribi adalah penambahan rangkaian penerbangan antarabangsa.
Royal Air Maroc merancang untuk meluaskan armada kepada 200 pesawat menjelang 2038, selain pembukaan laluan terus ke Amerika Syarikat dan China serta tawaran penerbangan kos rendah oleh Ryanair dari Eropah.
Kehadiran puluhan ribu peminat bola sepak ke kejohanan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) pada Disember 2025 turut memberi impak besar.
Maghribi kini menyasarkan sasaran lebih tinggi iaitu 26 juta pelancong menjelang tahun 2030, tahun di mana mereka bakal menjadi penganjur bersama Piala Dunia FIFA.
Di Mesir, industri pelancongannya turut mempamerkan daya tahan yang luar biasa walaupun berjiran dengan zon konflik di Gaza.
Tarikan utama tahun ini adalah pembukaan rasmi Muzium Agung Mesir (GEM) bernilai AS$1 bilion (RM4.05 bilion) yang terletak berhampiran Piramid Giza pada November 2025.
Selain tapak bersejarah, kawasan peranginan Laut Merah seperti Sharm El-Sheikh dan Hurghada kekal menjadi tumpuan. Kerajaan Mesir juga mula membangunkan kawasan pinggir laut Mediterranean bagi meningkatkan profil destinasi tersebut di peringkat antarabangsa, bukan sekadar untuk pasaran domestik semata-mata.
Bandar raya Kaherah turut melalui proses transformasi wajah baharu melalui pemulihan kawasan pusat bandar bersejarah dan kubu zaman abad ke-12.
Hotel-hotel mewah baharu yang dibuka kini membantu menampung limpahan pelancong yang semakin meningkat setiap bulan.
Menteri Pelancongan Mesir, Sherif Fathi, menyatakan keyakinan untuk mencapai sasaran lebih 20 juta pelancong pada tahun 2026.
Beliau mendedahkan bahawa kadar penghunian hotel di beberapa lokasi strategik telah mencapai tahap 100 peratus buat masa ini.
Dengan keunikan pelayaran Sungai Nil dan pelbagai tapak arkeologi, Mesir menetapkan visi jangka panjang untuk menarik 30 juta pelancong setahun menjelang 2031.
Persaingan sihat antara Maghribi dan Mesir ini secara tidak langsung meletakkan Afrika sebagai kuasa besar baharu dalam peta pelancongan global. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
