Ledakan motif haiwan, gaya rimba kuasai pentas fesyen musim baharu


  • Gaya
  • Isnin, 26 Jan 2026

Gaya koleksi terkini ditampilkan penuh elegan dan klasik. Dari kiri: Chanel, Fendi dan Frragamo. — Agensi

PENTAS peragaan dunia kini menyaksikan peralihan drastik apabila corak belang harimau dan motif ular sawa mula mengambil alih dominasi corak harimau bintang yang sering menjadi pilihan utama pereka fesyen antarabangsa bagi musim ini.

Kehadiran elemen eksotik itu diterjemahkan melalui koleksi rumah fesyen terkemuka seperti Chanel yang menampilkan belang harimau, manakala Stella McCartney memilih corak ular sawa.

Lebih unik, Fendi mencuri tumpuan dengan penggunaan kulit ikan 'hagfish' yang jarang diterokai dalam industri pembuatan pakaian.

BACA LAGI: Ketagihan membeli-belah ancaman 'oniomania' terhadap remaja

BACA LAGI: Evolusi kediaman 2026, antara sentuhan klasik dan seni pencahayaan

Sama ada menggunakan bahan asli atau sekadar cetakan, pesona kulit haiwan diakui memberikan impak glamor dan aura berani yang tiada tandingan.

Sifatnya yang versatil menjadikannya trend malar hijau sentiasa relevan merentasi zaman.

Keunikan itu dizahirkan menerusi koleksi Musim Luruh/Sejuk 2025 oleh Fendi yang mempertaruhkan skirt, but dan beg tangan mini daripada kulit 'hagfish'.

Koleksi berwarna coklat gelap dan karamel itu menampilkan motif 'chevron' yang diinspirasikan daripada arkib rekaan lama jenama Itali tersebut.

Tidak ketinggalan, Fendi turut mempamerkan sut skirt padanan but dan beg daripada kulit ular 'karung', iaitu spesies ular air dari Asia Tenggara.

Menariknya, material tersebut dicetak pula dengan motif harimau bintang bagi memberikan impak visual yang lebih dramatik.

Bagi musim Bunga/Panas 2026, Ferragamo menghidupkan semula cetakan arkib harimau bintang era 1920-an.

Busana sutera rona hijau dan kuning itu tampil mewah dengan perincian simpulan di pinggang serta potongan leher yang rendah, dipadankan bersama beg berbulu kuning.

Jenama Roberto Cavalli pula mengekalkan identiti 'garang' mereka melalui padanan blaus dan jaket bercorak harimau bintang.

Gaya tersebut tampil lebih menyerlah apabila dipadankan dengan seluar potongan lebar bermotifkan aliran lava gunung berapi yang memberikan kesan berani.

Stella McCartney pula membawakan elemen dramatik era 1980-an menerusi gaun koktel bercorak ular sawa dalam rona coklat.

Rekaan tersebut turut menonjolkan potongan bahu yang lebar bagi mencipta siluet yang lebih tegak dan berkuasa.

Menyokong kelestarian alam, beg tangan ikonik 'Falabella' oleh McCartney kini dihasilkan menggunakan 'Yatay M'.

Ia merupakan alternatif kulit vegan berasaskan kulat miselium dan bahan kitar semula yang mampu menyerupai tekstur kulit ular serta burung unta dengan sempurna.

Trend itu tidak hanya terhad kepada wanita apabila Valentino memperkenalkan kemeja bercorak kuda belang untuk koleksi lelaki musim Bunga/Panas 2026.

Rekaan dengan kolar tinggi dan berzip itu memberikan imej kontemporari yang sofistikated buat si pemakai.

Kemuncak gaya eksotik itu diperlihatkan oleh Chanel dalam pertunjukan 'Metiers D’art 2026' menerusi gaun sendat bermotifkan belang harimau jingga dan hitam.

Apa yang memukau, corak tersebut dihasilkan dengan tekstur timbul yang boleh dirasai melalui sentuhan.

Kepelbagaian inovasi dan keberanian pereka dalam mengolah motif hidupan liar ini membuktikan bahawa fesyen bertemakan alam semula jadi akan terus menjadi simbol kemewahan dan keanggunan yang tidak ditelan zaman. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram